McDonald’s Malaysia Raikan Masyarakat Sarawak, Anjurkan Aram Begulai Ngabang Ba Mekdi sempena Pesta Gawai
14 JUN 2025, BINTULU, SARAWAK – McDonald’s Malaysia meneruskan lagi usaha meraikan pelanggan-pelanggan setianya menerusi perayaan tempatan, kali ini ke Sarawak bagi memeriahkan sambutan Pesta Gawai dalam acara Aram Begulai Ngabang Ba Mekdi di McDonald’s Bintulu Pandu-Lalu.
Buat julung kalinya, McDonald’s Malaysia mengambil bahagian dalam sambutan Pesta Gawai dengan mempersembahkan dekorasi restoran berkonsepkan perayaan dan mengalu-alukan kedatangan masyarakat setempat ke restoran untuk meraikannya bersama-sama, selari dengan tradisi ‘ngabang’ atau kunjung-mengunjung semasa Gawai.
“McDonald’s Malaysia sentiasa mencari ruang untuk menyantuni komuniti kerana kami percaya bahawa kekuatan perniagaan terletak pada sokongan pelanggan. Sebagai sebuah syarikat tempatan, kami mahu seluruh masyarakat merasai bahawa McDonald’s Malaysia adalah sebahagian daripada mereka. Aram Begulai Ngabang Ba Mekdi merupakan cara kami menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada masyarakat Sarawak atas sokongan yang tidak putus-putus selama ini, yang membolehkan kami terus berkembang dengan kukuh di negeri ini,” kata Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.
Aram Begulai Ngabang Ba Mekdi telah disambut dengan penuh kemeriahan, menampilkan pelbagai aktiviti yang membangkitkan nostalgia dan menghiburkan komuniti. Antara acara menarik yang diadakan termasuk persembahan tarian tradisional Ngajat Induk, nyanyian istimewa daripada Tino Amee, Phoebe Chloe dan The Crew feat Philies, serta pertandingan pakaian tradisi terbaik yang menawarkan hadiah wang tunai. Pelbagai permainan menarik turut disediakan dengan hadiah berupa baucar makanan, menambahkan lagi keceriaan kepada para pelanggan yang hadir.
Bagi memeriahkan lagi suasana, sebanyak 1,500 set Spicy Chicken McDeluxe kegemaran ramai telah diedarkan secara percuma kepada para tetamu di lokasi acara. Pada sebelah malam, para pengunjung turut diraikan dengan pertunjukan laser yang menakjubkan sebagai penutup tirai perayaan ini.
Meraikan perayaan tempatan merupakan antara usaha utama McDonald’s Malaysia tahun ini, yang berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang di restoran-restoran McDonald’s terpilih. Antara inisiatif tersebut termasuk Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Mekdi pada Februari, Rumah Terbuka Raya Mekdi pada April, dan Aramai Bersama Mekdi sempena Pesta Kaamatan pada Mei lalu.
Bukan sekadar itu, setiap tahun hampir 10,000 aktiviti kemasyarakatan dijalankan oleh McDonald’s Malaysia menerusi lebih 370 restorannya di seluruh negara. Antaranya meraikan Tahun Baru Cina dengan warga emas, menyantuni komuniti di masjid dan surau pada bulan Ramadan, meraikan cikgu-cikgu pada hari guru, menyambut hari jadi anak-anak yatim dan pelbagai lagi aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti yang memerlukan.
###
McDonald’s Malaysia menganjurkan Aram Begulai Ngabang Ba Mekdi sempena Pesta Gawai di McDonald’s Bintulu, Sabtu lalu
Bagi memeriahkan sambutan, sebanyak 1,500 set Spicy Chicken McDeluxe diedarkan secara percuma kepada pengunjung yang hadir ke Aram Begulai Ngabang Ba Mekdi
Pelbagai permainan tradisi disertai oleh pengunjung yang hadir bagi memeriahkan suasana
Menambah lagi kemeriahan, pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan tradisi dan nyanyian oleh selebriti tempatan
Acara berakhir dengan pertunjukan laser