McDonald’s Malaysia Dianugerahkan Halal Prominent Brand Excellence Award
06 Jul 2023

PETALING JAYA, 6 Julai 2023 - McDonald’s Malaysia menerima Halal Prominent Brand Excellence Award, dalam majlis World Halal Excellence Awards (WHEA) 2022, yang dianjurkan oleh Halal Development Corporation Berhad (HDC) semalam. 

Anugerah yang dirangkul oleh McDonald’s Malaysia merupakan pengiktirafan atas kecemerlangan syarikat khidmat segera terkemuka tersebut melaksanakan strategi penjenamaan inovatif selaras dengan Integriti Halal, yang bukan sahaja mengangkat syarikat berkenaan sebagai jenama utama pilihan ramai, tetapi juga menarik pelbagai kerjasama dalam rangkaian industri.

“Anugerah yang dirangkul hari ini adalah satu pencapaian yang sangat bermakna buat McDonald’s Malaysia. Ini adalah hasil komitmen dan dedikasi tidak berbelah bahagi setiap warga kerja syarikat yang bertungkus-lumus memastikan aspek Halal sentiasa diutamakan dalam setiap aspek perniagaan kami. Bagi kami, Halal bukan sahaja pada produk makanan yang kami sediakan, tetapi juga amalan perniagaan kami yang sangat mementingkan kualiti dan kebersihan, serta mampu membawa kesejahteraan kepada masyarakat,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

World Halal Excellence Awards (WHEA) merupakan acara tahunan berprestij yang dianjurkan untuk mengiktiraf, menghargai sumbangan dan pencapaian cemerlang oleh pemain industri halal negara.

Majlis World Halal Excellence Awards (WHEA) 2022 yang diadakan telah dihadiri dan disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

“Dari segi penyediaan makanan, kami memastikan semua pembekal kami, tidak kira dari dalam mahupun luar negara, memegang status Halal dan mempunyai piawaian kebersihan dan kualiti yang terbaik. Selain itu, pekerja kami yang terlibat dalam penyediaan makanan wajib terlibat dalam kursus Halal dan kualiti makanan yang ditetapkan. Malah, syarikat mempunyai proses pemantauan standard  dimana Audit Halal dalaman dilakukan pada setiap restoran dan bekerjasama rapat dengan pihak JAKIM bagi memastikan pemantauan berkala dan menyeluruh dilaksanakan,” tambah Dato’ Azmir Jaafar.

McDonald’s Malaysia sebelum ini pernah memenangi Anugerah Kecemerlangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Halal di Persidangan Halal Sedunia 2019 yang dianjurkan oleh HDC.

- TAMAT -

Previous Article
McDonald’s Malaysia & Kementerian Pendidikan Malaysia Iktiraf 25 Guru Luar Biasa
MELAKA, 15 Mei 2023 – McDonald’s Malaysia hari ini mengumumkan 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi (...
Next Article
McDonald's Malaysia and KL Tower Celebrate an Iconic International French Fry Day
KUALA LUMPUR, 13 JULY 2023 – In a momentous celebration of International French Fry Day, McDonald's...