McDonald's Malaysia dekati komuniti di Perlis.
07 Dec 2018

KANGAR, 4 Disember 2018 - McDonald's Malaysia menganjurkan satu acara komuniti di McDonald's Kangar pada petang Selasa. Semasa majlis tersebut, McDonald’s Malaysia mengumumkan sumbangan berjumlah RM533,900 melibatkan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan kurang berkemampuan dan miskin tegar di Perlis.

Inisiatif-inisiatif yang diumumkan termasuk sumbangan zakat, pelantikan belia asnaf ke program perantisan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald’s, dan penyerahan pek "Kembali ke Sekolah" kepada 730 kanak-kanak sekolah rendah dari keluarga miskin bandar di Perlis untuk persiapan sesi persekolahan 2019.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan mencemar duli merasmikan majlis tersebut, yang diadakan sempena Program Kayuhan “MAIPs Peduli” yang kini memasuki kali ke-92 penganjurannya. Baginda menghadiri majlis ini selepas melakukan lawatan berbasikal ke sekitar kampung-kampung untuk menyerahkan zakat kepada mereka yang memerlukan.

Selaku  Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), baginda diiringi oleh pegawai-pegawai kanan MAIPs termasuk ketua pegawai eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor.

"Kami berbangga dapat melibatkan diri dalam program kemasyarakatan seperti ini untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan. Kami telah berbasikal di sekitar kampung-kampung sejak petang tadi, dan amat gembira ia diakhiri pula dengan program kemasyarakatan anjuran McDonald's Malaysia. Acara ini merupakan contoh bagaimana organisasi perniagaan dan organisasi bukan berasaskan keuntungan dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban rakyat," kata Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Semasa majlis tersebut, McDonald's Malaysia turut memenuhi kewajipan zakatnya kepada negeri Perlis.

"McDonald’s Malaysia, di bawah pemilikan baharu Kumpulan Reza, telah memenuhi kewajipan zakatnya sejak tahun lalu, kerana ia merupakan entiti perniagaan yang 100% dimiliki oleh umat Islam. Kumpulan Reza adalah syarikat yang memiliki dan mengurus kesemua cawangan McDonald’s di wilayah barat dan selatan Arab Saudi secara eksklusif sejak 20 tahun lalu," kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar.

Program perantisan McDonald's Malaysia

Program perantisan McDonald’s adalah sebahagian daripada Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah Kementerian Sumber Manusia. Pensijilan SLDN oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (DSD). Ia merupakan salah satu usaha restoran khidmat segera ini untuk meningkatkan piawaian pembangunan modal insan syarikat serta memupuk bakat baharu.

"Kami mengalu-alukan para belia dari golongan asnaf di negeri Perlis untuk menyertai program perantisan kami. Tempoh latihan adalah selama 18 bulan di mana para perantis akan menerima latihan praktikal dan pembelajaran teori di dalam kelas. Sebaik sahaja mereka menamatkan program ini, mereka layak untuk bekerja di restoran McDonald's sepenuh masa. Di samping itu, program ini juga membolehkan mereka untuk mempelajari kemahiran sepanjang hayat," kata Azmir.

Selain mendapat manfaat dari penajaan penuh program latihan, setiap perantis juga diberi elaun bulanan sebanyak RM1,200, faedah perubatan dan insurans, serta makanan percuma.

Program "Kembali ke Sekolah"

Majlis ini turut menyaksikan penyerahan pek “Kembali ke Sekolah” yang merupakan program tahunan yang dilaksanakan oleh McDonald's Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Program "Kembali ke Sekolah" turut mendapat sokongan francaisi McDonald’s dan rakan-rakan perniagaan McDonald’s, di mana ia bertujuan menghulurkan bantuan kepada lebih 17,000 kanak-kanak sekolah rendah dari golongan miskin bandar di seluruh negara dengan pemberian set pakaian sekolah baharu. Setiap kanak-kanak menerima 1 set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut sekolah, dan sebuah beg sekolah untuk persediaan memulakan sesi persekolahan tahun 2019. Keseluruhan sumbangan di bawah program "Kembali ke Sokolah" tahun ini dianggarkan melebihi RM1.7 juta. Di Perlis, lebih daripada 730 kanak-kanak sekolah rendah dari golongan miskin bandar menerima pek ini. 

Menurut Azmir, program "Kembali ke Sekolah" adalah amat penting untuk McDonald's dan RMHC kerana ia memberi bantuan kepada kanak-kanak sekolah rendah dari keluarga yang kurang berkemampuan dan miskin bandar.

“Kami berharap usaha ini akan membantu mengurangkan beban kewangan keluarga yang terlibat dan memberi motivasi kepada anak-anak ini untuk memulakan tahun persekolahan yang baharu dengan penuh keyakinan. Hal ini amat penting kerana mereka adalah pemimpin masa depan negara kita,” tambah Azmir.