Tajaan makanan diteruskan di Hospital Sungai Buloh yang menyokong Malaysia membendung Covid-19
06 Jul 2021

 

KUALA LUMPUR, 6 Julai 2021 – McDonald’s Malaysia meneruskan tajaan makanannya untuk petugas kesihatan di Hospital Sungai Buloh, hari ini, sebagai sebahagian daripada sokongan dan penghargaan berterusannya terhadap petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menjamin keselamatan rakyat Malaysia ketika pandemik ini.

 

Hospital Sungai Buloh adalah antara beberapa hospital pertama yang menerima tajaan daripada McDonald’s sejak pandemik bermula, Hospital Sungai Buloh telah menerima lebih 10,000 hidangan untuk petugas perubatannya dari Mac 2020. Dalam aktiviti tajaan makanan yang telah diaktifkan semula pada awal Mei lalu, McDonald’s menaja 300 hidangan, tiga kali seminggu, dengan memastikan langkah keselamatan yang ketat dipatuhi ketika penghantaran makanan dibuat.

 

“Sebagai pusat rawatan utama pesakit Covid-19, petugas kesihatan kami di Hospital Sungai Buloh menjalankan tugas sepanjang waktu untuk menjaga dan memenuhi  keperluan pesakit-pesakit kami ,” kata Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Kuldip Kaur.

 

Mewakili pihak hospital, Dr Kuldip Kaur turut hadir untuk menerima bungkusan makanan daripada McDonald’s.

 

“Kami berterima kasih atas keprihatinan McDonald’s Malaysia, yang bermula sejak PKP pertama pada Mac 2020. Sumbangan makanan ini dapat meringankan beban petugas kami dan menceriakan hari mereka,” tambah beliau.

 

Dengan lebih 70 hospital merawat pesakit Covid-19 menerima manfaat daripada tajaan makanan ini, McDonald’s Malaysia akan terus komited dalam memainkan peranannya menyokong usaha kerajaan untuk memulihkan negara daripada pandemik.

 

“Hospital Sungai Buloh merupakan antara hospital pertama yang menerima sokongan McDonald’s ketika bermulanya pandemik Covid-19. Dalam menghadapi waktu-waktu  sukar ini, kami berterima kasih kepada petugas barisan hadapan yang terus berusaha memastikan kesejahteraan dan keselamatan kita semua. Kami akan terus memberi sokongan melalui inisiatif ini dalam tempoh yang lebih panjang, supaya kami dapat mendekati lebih ramai petugas barisan hadapan,” kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

 

Tajaan makanan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif #KitaBoleh yang diperkenalkan oleh restoran khidmat segera ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, yang bertujuan meningkatkan semangat seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersatu dan mengekalkan semangat juang walaupun pada waktu-waktu sukar.

 

-TAMAT-