Semua Penghantar Makanan McDonald’s Malaysia Kini Dilindungi PERKESO
18 Oct 2022

Kuala Lumpur, 17 Oktober 2022McDonald’s Malaysia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memastikan semua penghantar makanan McDonald’s melalui perkhidmatan McDelivery dicarum dan dilindungi dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO.

Langkah murni ini membolehkan penghantar makanan McDonald’s yang merupakan Orang Bekerja Sendiri (OBS) dan tergolong dalam kalangan 20 sektor informal di negara ini, mendapat perlindungan daripada bencana pekerjaan sendiri termasuk kemalangan dan penyakit pekerjaan sendiri.

Dengan termeterainya kerjasama ini juga, McDonald’s bakal menjadi syarikat makanan dan minuman (F&B) pertama di negara ini yang menjalin kerjasama dengan PERKESO menerusi caruman SKSPS untuk melindungi para penghantar makanannya.

Kolaborasi dua hala ini juga menyaksikan penghantar makanan tersebut menerima bantuan caruman SKSPS daripada Kerajaan menerusi inisiatif SPS Padanan Caruman di bawah Bajet 2022. Bantuan ini melibatkan pembiayaan oleh Kerajaan sebanyak RM186.20 (80%) daripada jumlah keseluruhan Pelan Caruman Kedua SKSPS sebanyak RM232.80, manakala OBS hanya perlu membayar baki RM46.60 (20%) sahaja untuk tempoh perlindungan selama setahun.

Namun begitu, sebagai sebuah syarikat yang prihatin, McDonald’s Malaysia mengambil keputusan menaja caruman tahun pertama berjumlah RM250,000 bagi memastikan kesemua 5,000 penghantar makanannya dilindungi di bawah SKSPS.

“Dari semasa ke semasa, McDonald’s sentiasa mencari jalan untuk mempertingkatkan manfaat atau pemberian insentif kepada para penghantar makanan kami. Walaupun mereka bekerja sendiri mengikut kesesuaian masa dan keperluan masing-masing, mereka adalah barisan hadapan yang memastikan keberkesanan perkhidmatan McDelivery kami, yang kini merupakan antara salah satu segmen perniagaan yang menjana jumlah jualan tertinggi untuk syarikat. Segala manfaat dan insentif termasuklah tajaan melalui SKSPS ini merupakan tanda penghargaan syarikat terhadap kerja keras mereka bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati hidangan McDonald’s kegemaran,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia

Majlis MoU antara McDonald’s Malaysia dan PERKESO yang disaksikan oleh Dato’ Sri Subahan Kamal, Pengerusi Lembaga PERKESO ini telah ditandatangani oleh Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia dan Dato' Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato' Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO. Ia turut disaksikan oleh Azhar Darbi, Naib Presiden Sumber Manusia, McDonald’s Malaysia dan John Riba Marin, Timbalan Ketua Eksekutif Operasi PERKESO.

“PERKESO kini giat melaksanakan pelbagai pendekatan strategik bagi memastikan lebih ramai OBS di negara ini mencarum dengan SKSPS. Berdasarkan statistik, terdapat 2.7 juta rakyat Malaysia yang bekerja sendiri, namun hanya 568,686 OBS sahaja yang berdaftar SKSPS sehingga 30 September 2022. Besarlah harapan saya agar majlis yang diadakan pada hari ini secara langsung dapat memberi kesedaran mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial dan menarik lebih ramai individu dan pihak-pihak lain seperti Kementerian, agensi Kerajaan, syarikat perniagaan dan persatuan NGO di luar sana untuk bekerjasama dengan kami bagi melindungi golongan OBS di Malaysia,” kata Dato’ Sri Subahan Kamal, Pengerusi Lembaga PERKESO.

SKSPS membolehkan OBS seperti penghantar makanan McDonald’s menikmati sebanyak lapan (8) faedah PERKESO seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional dan Faedah Pendidikan.

Jalinan kerjasama ini juga antara lain akan memanfaatkan sepenuhnya bidang kepakaran kedua-dua belah pihak termasuk menerusi perkongsian ilmu dan penyampaian perkhidmatan masing-masing bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai perlindungan keselamatan sosial secara berterusan demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

Previous Article
Sambutan Hari Jadi McDonald’s Ceriakan Anak Yatim
Kuala Lumpur, 2 Oktober 2022 – McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) M...
Next Article
Sambutan Hari Jadi McDonald’s Ukir Senyuman Anak Yatim
Seremban, 19 Oktober 2022 – McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malay...