Rumah Ronald McDonald HCTM-UKM Sambut Ulang Tahun ke-20
27 Aug 2019

KUALA LUMPUR, 22 Ogos 2019 – Rumah Ronald McDonald (RRM) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) menyambut ulang tahun yang ke-20 hari ini. Sejak ia ditubuhkan pada tahun 1999 oleh Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia), hampir 1,300 keluarga pesakit pediatrik dari seluruh negara telah menginap di rumah ini. RRM di sini merupakan rumah penginapan dalam hospital yang pertama di rantau ASEAN untuk membantu meringankan beban keluarga pesakit pediatrik yang perlu menjalani rawatan di HCTM-UKM. 

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri Perdana Menteri Malaysia ketika mengimbau kenangan merasmikan pembukaan rumah ini 20 tahun lalu berkata, “Saya amat berbangga melihat komitmen berterusan yang ditunjukkan oleh RMHC Malaysia dan HCTM-UKM dalam usaha membantu keluarga-keluarga pesakit pediatrik di sini untuk berada dekat dengan anak-anak mereka yang menjalani rawatan. 20 tahun bukanlah tempoh yang singkat, dan dalam tempoh masa ini, saya terharu dengan komitmen dan sokongan semua pihak dalam memastikan kemudahan seperti ini dapat dikekalkan demi membantu kanak-kanak yang berada dalam situasi yang kritikal dan keluarga mereka.”

RRM di HCTM-UKM ini ketika awal pembinaannya telah menelan belanja sebanyak RM2 juta hasil sumbangan pelbagai pihak termasuklah orang awam dan syarikat-syarikat korporat. Sehingga kini, rumah ini telah melalui penaiktarafan dan penambahbaikan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2004 dan 2014, juga hasil sumbangan dari rakyat Malaysia yang prihatin melalui tabung sumbangan RMHC Malaysia di semua restoran McDonald’s di seluruh negara dan melalui tajaan terus. 

Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia berkata, “Konsep unik ‘home away from home’ rumah ini merupakan usaha murni RMHC Malaysia bagi membolehkan ibu bapa dan penjaga memberi tumpuan sepenuhnya terhadap proses pemulihan anak mereka. Kami juga berharap agar melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, kerajaan negeri dan mana-mana penyedia perkhidmatan kesihatan khususnya hospital-hospital yang berkepadatan tinggi, kami boleh memperluaskan lagi program ini untuk dimanfaatkan oleh keluarga pesakit di seluruh Malaysia.”

Kerjasama rapat pihak RMHC Malaysia dengan pelbagai pihak termasuklah syarikat-syarikat korporat, badan-badan bukan kerajaan dan individu-individu telah sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada keluarga dan pesakit kanak-kanak yang menggunakan kemudahan di rumah ini. Selain wang tunai, pihak RMHC Malaysia turut menerima pelbagai jenis sumbangan berupa barangan seperti bahan makanan kering dan basah, barangan keperluan harian dan lain-lain lagi. 

Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, “HCTM-UKM sebagai sebuah hospital terkemuka di Malaysia menerima lebih 20,000 pesakit pediatrik setiap tahun. Selain meringankan beban pesakit dan keluarga mereka, kewujudan Rumah Ronald McDonald ini secara tidak langsung meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan di sini.”

Rumah Ronald McDonald merupakan program global RMHC yang kini menjangkau 370 buah di seluruh dunia. RMHC Malaysia khususnya memberi tumpuan kepada 4 program utama untuk membantu kanak-kanak di Malaysia iaitu Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, ‘Gift of Smile’ dan Pek Kembali ke Sekolah. Semua program ini meliputi 3 bidang utama RMHC Malaysia iaitu Kesihatan, Pendidikan dan Kebajikan. 

Fakta Ringkas Rumah Ronald McDonald, HCTM-UKM:

• Bayaran penginapan: RM5 untuk satu malam

• Bilangan bilik tidur: 19 (boleh memuatkan 19 keluarga dalam satu-satu masa) 

• Bilangan katil: 57 katil

• Kemudahan lain yang disediakan: Ruang makan, ruang istirahat, surau, dapur, bilik dobi, bilik dan taman permainan, perpustakaan, gim mini dan bilik komputer 

• Aktiviti menarik yang dijalankan: Hari keluarga, kelas masakan sihat, kelas kecergasan, sambutan hari jadi untuk pesakit kanak-kanak dan sambutan-sambutan perayaan 

Baru-baru ini, RMHC Malaysia juga telah merasmikan pembukaan Rumah Ronald McDonald kedua di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, untuk meringankan beban keluarga pesakit kanak-kanak di Kelantan dan kawasan Pantai Timur. 

Hubungi cawangan Rumah Ronald McDonald di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM-UKM), Kuala Lumpur di talian 03-9173 5994 atau ibu pejabat RMHC Malaysia di talian 03-7843 3388 jika anda berminat untuk menyumbang wang tunai atau menjadi sukarelawan untuk RMHC Malaysia.