RMHC Malaysia dan Kelab Lions Antarabangsa jalin kerjasama strategik untuk Kesedaran Kanser Kanak-kanak
17 Feb 2020
RMHC Malaysia dan Kelab Lions Antarabangsa jalin kerjasama  strategik untuk Kesedaran Kanser Kanak-kanak's image'

KUALA LUMPUR, 14 Februari 2020 – Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dan Kelab Lions Antarabangsa menandatangani satu perjanjian persefahaman (MoU) bagi inisiatif Kesedaran Kanser Kanak-kanak, hari ini. Jalinan kerjasama strategik ini membolehkan kedua-dua pihak berganding bahu memenuhi keperluan pesakit kanser kanak-kanak di Malaysia. Inisiatif antara dua badan bukan kerajaan gergasi ini akan turut memberi manfaat kepada keluarga pesakit pediatrik yang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM), Kuala Lumpur.

Menerusi kerjasama strategik ini, Kelab Lions Antarabangsa menyumbang dana lebih RM150,000 bagi menaiktaraf Rumah Ronald McDonald di HCTM-UKM. Dana ini merupakan dana terkumpul hasil sumbangan pelbagai pihak sejak Oktober tahun lalu khusus bagi inisiatif ini. Ia secara langsung membolehkan keluarga pesakit pediatrik yang dirawat di HCTM-UKM, termasuk pesakit kanser kanak-kanak menikmati kemudahan yang lebih selesa. Rumah Ronald McDonald di HCTM-UKM merupakan salah satu program teras RMHC Malaysia yang menyediakan kemudahan penginapan sementara kepada keluarga pesakit pediatrik di hospital tersebut.

Kerjasama strategik ini akan berlangsung untuk tiga tahun seterusnya, dimana mulai hari ini, Kelab Lions Antarabangsa akan terus memastikan taman permainan kanak-kanak di rumah ini dapat dikekalkan dengan baik. Taman permainan kanak-kanak di rumah ini secara rasminya menjadi ‘taman angkat’ Kelab Lions International yang dikenali sebagai Lions Wonderland. 

Menurut Dato’ Javern Lim Chong Hee, Gabenor Daerah, Kelab Lions Antarabangsa Daerah 308B1 Malaysia, “Kelab Lions Antarabangsa sentiasa mencari peluang untuk menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak kearah meningkatkan kehidupan pesakit kanser kanak-kanak dan keluarga mereka. Kami amat memahami saat-saat sukar yang perlu dihadapi mereka dan besarlah harapan kami agar jalinan kerjasama dengan RMHC Malaysia secara langsung membuka mata ramai pihak di luar sana tentang kanser di kalangan kanak-kanak.”

Sebagai sebuah hospital pengajar yang mempunyai kepakaran perubatan pediatrik, HCTM-UKM menerima lebih 20,000 kes pediatrik setiap tahun, sama ada pesakit dalam atau pesakit luar. Bagi tahun 2019 sahaja, HCTM-UKM menerima lebih 900 kes melibatkan kanak-kanak yang menghidap kanser. Sejak ditubuhkan pada tahun 1999, Rumah Ronald McDonald di HCTM-UKM telah memberi manfaat kepada lebih 1,500 keluarga khususnya golongan berpendapatan rendah yang perlu menjalani rawatan berpanjangan untuk anak mereka. 

Menurut Azmir Jaafar, Presiden, RMHC Malaysia, “RMHC Malaysia komited mewujudkan impak positif kepada golongan kanak-kanak yang memerlukan di Malaysia melalui pelbagai program utama yang dilaksanakan. Kerjasama strategik dengan Kelab Lions Antarabangsa mampu memberi manfaat yang lebih baik kepada mereka yang menggunakan kemudahan Rumah Ronald McDonald di HCTM-UKM. Semoga kerjasama ini secara langsung memupuk semangat prihatin rakyat Malaysia untuk terus menyokong usaha badan-badan bukan kerajaan seperti kami.”

Antara kerja-kerja naik taraf yang dilakukan di Rumah Ronald McDonald di HCTM-UKM sejak dua bulan lalu termasuklah membaiki bumbung dan longkang air hujan serta menambah baik kawasan aktiviti luar. Ini termasuklah memperindah landskap taman permainan kanak-kanak di sini, memperbaharui dan menambah jumlah alat permainannya. 

YB Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang merupakan tetamu kehormat pada majlis tersebut memuji inisiatif yang dilaksanakan oleh RMHC Malaysia dan Kelab Lions Antarabangsa. Beliau turut menggalakkan agar lebih ramai pihak di luar sana dapat tampil kehadapan melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat. 

Rumah Ronald McDonald di HCTM-UKM kini berusia 20 tahun sejak dibuka pada tahun 1999 dan merupakan yang pertama di di rantau ASEAN. 

Sehingga kini terdapat dua Rumah Ronald McDonald di Malaysia. Satu lagi Rumah Ronald McDonald terletak di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) di Kubang Kerian, Kelantan. Rumah Ronald McDonald ketiga dijangka dibuka pertengahan tahun ini di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur.