Program Santun Pelajar McDonald’s Malaysia Diperluas ke 75 IPT di seluruh negara

JOHOR, 18 JUN 2026 – Program Santun Pelajar McDonald’s Malaysia kini diperluaskan kepada 75 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara, dengan sasaran pengagihan sehingga 1 juta baucar Nasi Mekdi menjelang akhir tahun 2026. Inisiatif ini merupakan kesinambungan usaha berterusan syarikat dalam menyokong pelajar IPT yang berdepan cabaran kos sara hidup, khususnya dalam memastikan akses kepada keperluan asas seperti makanan tidak menjadi penghalang kepada kejayaan akademik.
Isu tekanan kos sara hidup dalam kalangan pelajar bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Laporan Nutrition Society of Malaysia bertajuk “Financial problems associated with food insecurity among public university students in Peninsular Malaysia” mendapati lebih 60% pelajar di beberapa universiti awam berdepan dengan ketidakjaminan makanan, yang turut memberi kesan kepada kesejahteraan harian serta keupayaan mereka untuk menumpukan perhatian dalam pengajian.
Seiring dengan keperluan ini, Program Santun Pelajar diteruskan sebagai kesinambungan kepada pelancaran pada Februari lalu yang menyaksikan pengagihan 50,000 hidangan Nasi Mekdi kepada pelajar di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan. Fasa seterusnya memperlihatkan peluasan pelaksanaan melalui kerjasama lebih rapat bersama pihak universiti bagi memastikan bantuan disalurkan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.
Bermula 20 April hingga 31 Disember 2026, setiap IPT yang terlibat diperuntukkan baucar Nasi Mekdi untuk diagihkan kepada pelajar yang dikenal pasti melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar masing-masing. Program ini yang pada peringkat awal melibatkan 20 IPT kini diperluaskan kepada 75 IPT di seluruh negara.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan fasa kedua Program Santun Pelajar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dipilih sebagai antara lokasi awal bagi penyerahan simbolik baucar Nasi Mekdi di peringkat IPT.
Bagi UTHM, lebih daripada 13,000 baucar Nasi Mekdi diperuntukkan kepada pelajar yang dikenal pasti memerlukan. Pengagihan baucar ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar UTHM, mencerminkan pendekatan kolaboratif dalam memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan pelajar di kampus.
Ahli Lempaga Pengarah UTHM, Ir Ts Dr. Abdul Rahman Bahasa, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan bermakna daripada pihak industri ini. “Pihak universiti amat menyambut baik dan berterima kasih atas keprihatinan pihak McDonald’s Malaysia dalam membantu menjaga kebajikan mahasiswa kami. Melalui program yang dianjurkan dan disantuni oleh PHEP UTHM ini, kami dapat memastikan aspek keselamatan makanan dan kesejahteraan harian pelajar sentiasa diberi keutamaan, yang mana ia amat penting dalam menyokong prestasi akademik serta emosi positif mereka di kampus.
“Program Santun Pelajar ini mencerminkan komitmen kami untuk terus menyokong pelajar IPT dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat. Kami percaya akses kepada keperluan asas seperti makanan memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar dapat kekal fokus dalam pengajian dan mencapai potensi mereka,” kata Puan Hajjah Melati Abdul Hai, Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia.
Program Santun Pelajar merupakan hasil penglibatan bersama universiti, politeknik, kolej komuniti, kolej swasta dan MARA yang berkongsi kebimbangan terhadap kesan peningkatan kos sara hidup ke atas kesejahteraan serta tumpuan pelajar. Dalam keadaan tekanan kos makanan, pengangkutan dan penginapan yang berterusan, inisiatif ini memastikan keperluan asas seperti makanan tidak menjadi penghalang kepada pelajar untuk meneruskan perjalanan akademik mereka.
Pada masa yang sama, program ini turut mencerminkan komitmen berterusan McDonald’s Malaysia dalam memperkasa pembangunan belia secara menyeluruh. Ia melengkapi usaha sedia ada syarikat melalui Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia dan peluang latihan industri, yang membuka laluan kepada pembangunan kemahiran, kebolehpasaran dan kerjaya kepada golongan muda di seluruh negara.
Program Santun Pelajar akan terus diperluaskan secara berperingkat bagi membina ekosistem sokongan pelajar yang lebih menyeluruh, merangkumi keperluan asas sehingga kebolehpasaran dan pembangunan masa depan.
###

Puan Hajjah Melati Abdul Hai, Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia (Kiri-4), menyerahkan simbolik sumbangan Nasi Mekdi kepada Ahli Lembaga Pengarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ir. Ts. Dr. Abdul Rahman Bahasa (Kiri-5), sebagai sebahagian daripada Program Santun Pelajar McDonald’s Malaysia yang diperluaskan kepada 75 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara bagi menyokong keperluan asas pelajar IPT.

Puan Hajjah Melati Abdul Hai, Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia (4 dari kiri), bersama para penerima baucar Nasi Mekdi terdiri daripada pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan McDonald’s Malaysia dalam menyokong pelajar IPT menghadapi cabaran kos sara hidup melalui akses kepada keperluan asas seperti makanan bagi membantu mereka kekal fokus dalam pengajian.



Penerima manfaat Program Santun Pelajar McDonald’s Malaysia menikmati hidangan Nasi Mekdi lengkap yang merangkumi nasi, kuah kari kentang, telur, Ayam Tenders McD Pedas dan minuman teh ais lemon.