McDonald’s sumbang peningkatan sosioekonomi Pulau Pinang
24 Feb 2020
McDonald’s sumbang peningkatan sosioekonomi Pulau Pinang's image'

SEBERANG PERAI, 16 Februari 2020 – Pembukaan restoran terbaharu McDonald’s Malaysia di Pulau Pinang, iaitu McDonald’s Pandu-Lalu Bagan Ajam telah membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Bukan itu sahaja, pembukaan restoran ini secara langsung membolehkan McDonald’s Malaysia menyantuni golongan masyarakat yang memerlukan di sekitar lokasi operasinya, seterusnya membantu meringankan beban mereka. 

Program Komuniti McDonald’s yang diadakan di restoran terbaharu McDonald‘s di negeri ini, dirasmikan oleh YB Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Majlis ini menyaksikan McDonald’s Malaysia menyerahkan sijil pelantikan kepada belia-belia Pulau Pinang dari keluarga kurang berkemampuan untuk menyertai Perantis Vokasional McDonald’s. Sejumlah sumbangan turut diberikan kepada persatuan-persatuan kebajikan di kawasan ini.

“Pembukaan restoran terbaharu kami secara langsung mampu merancakkan ekonomi negeri, namun apa yang paling penting adalah bagaimana ia turut memberi kesan kepada masyarakat. Selain pertambahan peluang pekerjaan, semoga perkembangan perniagaan kami di Pulau Pinang membolehkan lebih banyak golongan masyarakat yang kurang bernasib baik dibantu. Bertepatan dengan nilai teras syarikat, McDonald’s Malaysia sentiasa komited mewujudkan impak positif kepada komuniti di sekitar lokasi operasinya. Sepanjang tahun lalu misalnya, lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan telah diadakan oleh lebih 290 restoran McDonald’s di seluruh negara, dengan purata dua hingga tiga aktiviti sebulan,“ kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.

Seiring dengan pelan pertumbuhan McDonald’s, syarikat khidmat segera ini menyasarkan mewujudkan 450 restoran menjelang 2025, termasuk 35 di Pulau Pinang. McDonald’s Pandu-Lalu Bagan Ajam merupakan restorannya yang ke-24 di Pulau Pinang.

 “Perkembangan perniagaan McDonald’s Malaysia di sini bermakna negeri ini mempunyai potensi ekonomi yang mantap. Impak positifnya pula kepada masyarakat merupakan sesuatu yang amat saya banggakan, seiring dengan hasrat kerajaan memastikan pertumbuhan sosioekonomi mapan yang berterusan untuk rakyat,“ kata YB Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bagan.  

Inisiatif pekerjaan untuk belia melalui Perantis Vokasional McDonald’s

Perantis Vokasional McDonald’s merupakan program latihan berteraskan industri selama 18 bulan menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s dan 30 peratus kelas teori di bilik darjah. Program yang ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia ini diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia – salah satu usaha restoran khidmat segera itu untuk meningkatkan piawaian pembangunan modal insan syarikat dan memupuk bakat baharu, sejajar dengan agenda negara.

"Kami teruja mengalu-alukan para belia dari negeri Pulau Pinang untuk menyertai program latihan kami ini. Diharap melalui program ini, belia yang terpilih akan mempelajari kemahiran yang diperlukan untuk memajukan diri, dan seterusnya memulakan kerjaya yang menjamin masa depan, seterusnya meningkatkan status ekonomi keluarga masing-masing," kata Azmir.

Sebaik sahaja para pelatih lulus penilaian dan ujian akhir program ini, mereka layak bekerja di restoran McDonald's. Sejak pertama kali diperkenalkan pada tahun 2018, Perantis Vokasional McDonald’s telah melatih 1,200 belia di seluruh negara.  

Setiap pelatih menerima elaun sara hidup bulanan sebanyak RM1,200, faedah perubatan dan insurans, serta makanan percuma.