EN | BM

KUALA LUMPUR, 27 MEI 2026 – Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha, McDonald’s Malaysia meneruskan komitmennya dalam menyantuni komuniti melalui pelaksanaan sambutan Aidiladha di seluruh negara, dengan sumbangan 25 ekor lembu korban yang dilaksanakan secara lebih besar di lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Kedah. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 keluarga dalam kalangan komuniti setempat yang memerlukan.

Memasuki tahun keenam pelaksanaannya sejak 2021, sumbangan korban McDonald’s Malaysia tahun ini melibatkan 25 ekor lembu korban, sekali gus membolehkan lebih ramai penerima mendapat manfaat di lima negeri.

Pelaksanaan ini mencerminkan usaha berterusan McDonald’s Malaysia dalam menyantuni komuniti di seluruh negara, dengan tumpuan utama diberikan kepada lima negeri tersebut bagi memastikan impak yang lebih menyeluruh kepada keluarga penerima bantuan.

Pemilihan negeri-negeri ini dibuat dengan mengambil kira keperluan komuniti setempat serta peranan restoran McDonald’s sebagai penghubung kepada masyarakat di kawasan masing-masing. Melalui sumbangan ini, McDonald’s Malaysia berharap dapat berkongsi rezeki dengan keluarga yang memerlukan, di samping mengeratkan hubungan bersama komuniti di sekitar restoran-restorannya.

Sumbangan lembu korban ini akan dilaksanakan mulai 27 Mei hingga 29 Mei di restoran McDonald’s terpilih di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Kedah. Pengagihan akan diselaraskan bersama masjid-masjid rakan pelaksana di setiap negeri, dan senarai penerima turut dikenal pasti oleh pihak masjid bagi memastikan sumbangan sampai kepada keluarga yang layak menerima bantuan. 

Selain agihan daging korban, McDonald’s Malaysia turut menyampaikan hampir 1,000 Kotak Rezeki yang mengandungi barangan keperluan harian serta hidangan McDonald’s kepada keluarga-keluarga asnaf, sebagai usaha tambahan dalam menyantuni dan meringankan beban komuniti setempat.

“Di McDonald’s Malaysia, kami percaya bahawa tanggungjawab kami bukan hanya terhad kepada operasi restoran, tetapi turut merangkumi peranan kami sebagai jiran prihatin kepada komuniti di mana kami beroperasi. Aidiladha mengingatkan kita tentang erti pengorbanan, kesyukuran dan perkongsian rezeki. Melalui sumbangan lembu korban ini, kami berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban keluarga yang memerlukan, di samping mengeratkan lagi hubungan kami dengan masyarakat setempat. Kami juga menghargai kerjasama masjid-masjid dalam memastikan sumbangan ini sampai kepada penerima yang memerlukan,” kata Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan McDonald’s Malaysia dalam melaksanakan inisiatif kemasyarakatan yang memberi impak secara langsung kepada rakyat Malaysia. Melalui Program Komuniti @ McDonald’s, jenama ini terus memperkukuh peranannya dalam menyantuni pelbagai lapisan masyarakat melalui aktiviti kebajikan, sambutan perayaan, penghargaan komuniti dan sokongan kepada golongan memerlukan.

###

(Enam dari kiri) Encik Ahmad Shihafuddin Mustapha, Pengarah, Pematuhan & Kerjasama Institusi McDonald's Malaysia ; Encik Mohd Amizan, Pegawai MAIDAM bersama para penerima sewaktu majlis penyerahan sumbangan daging ibadah korban dan Kotak Rezeki di McDonald’s Batu Buruk, Terengganu

Suasana sekitar pengagihan sumbangan daging korban, Kotak Rezeki serta hidangan daripada McDonald’s Malaysia kepada para penerima yang memerlukan. 

Krew dari McDonald’s Malaysia turut turun padang bergotong-royong bersama komuniti setempat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu dalam melaksanakan ibadah korban, termasuk membantu proses penyediaan dan pembungkusan daging untuk diagihkan kepada para penerima semasa majlis penyerahan.

Majlis penyerahan sumbangan turut berlangsung di Masjid Al Hasanah, Alor Setar, bagi menyampaikan agihan kepada para penerima dalam suasana penuh kebersamaan dan kesyukuran. 

Di negeri Pahang, ibadah korban serta proses penyediaan dan pembungkusan daging telah berlangsung di Masjid Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq, Semambu, sebelum majlis penyerahan diadakan di McDonald’s Indera Mahkota bagi mengagihkan sumbangan kepada para penerima.