EN | BM

KUALA LUMPUR, 7 MAC 2026 - McDonald’s Malaysia hari ini meneruskan komitmennya terhadap inisiatif komuniti sempena Ramadan melalui Program Kongsi Rezeki Ramadan bersama JAWI Food Bank, yang diadakan di Dewan Masjid Imam As-Syafie, Taman Maluri, Cheras. 

Majlis ini diserikan oleh kehadiran Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan bersama lebih 500 orang hadirin, termasuk para pegawai JAWI, wakil MAIWP dan 200 pelajar asnaf Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP).

Sebagai sebuah daripada komitmen tahunan McDonald’s Malaysia pada bulan Ramadan, majlis Program Kongsi Rezeki Ramadan dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama JAWI Food Bank, merangkumi penyediaan pek makanan, pengagihan Kotak Rezeki, sumbangan bernilai RM6,000 kepada masjid, serta bantuan kewangan melalui wakalah kepada pelajar asnaf.

“Kerjasama McDonald’s dengan JAWI Food Bank sejak 2020 adalah sebahagian penting usaha kebajikan Ramadan kami, termasuk pemberian makanan kepada komuniti asnaf, gelandangan dan anak yatim. Kami bersyukur dapat meneruskan usaha ini sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial korporat untuk memastikan golongan asnaf terus disantuni dan menerima sokongan sewajarnya,” kata Azhar Darbi, Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Sumber Manusia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman, McDonald’s Malaysia.

McDonald’s Malaysia juga terus memperkukuhkan hubungan jangka panjang bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bukan sahaja melalui program komuniti, tetapi juga melalui pembayaran zakat korporat tahunan, selaras dengan statusnya sebagai syarikat yang 100% dimiliki orang Islam. 

Kerjasama dengan MAIWP diteruskan lagi pada tahun ini menerusi Program Santun Pelajar McDonald’s Malaysia bersama Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) yang bertujuan menyokong para pelajar asnaf di institusi berkenaan. Menerusi Program Santun Pelajar, baucar Nasi Mekdi akan diagihkan kepada pelajar asnaf di 20 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) oleh semua Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) IPT terlibat. Usaha ini akan menyumbang kepada sasaran McDonald’s Malaysia menyediakan sehingga 1 juta hidangan Nasi Mekdi kepada pelajar memerlukan menjelang akhir 2026.

Tuan Haji Hanifuddin Bin Roslan, Pengarah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga menyatakan sokongan terhadap usaha bersepadu dalam memperkasa golongan asnaf.

“JAWI Food Bank amat menghargai kerjasama yang telah terjalin sekian lama bersama McDonald’s Malaysia, khususnya dalam menjayakan program bantuan makanan sepanjang Ramadan. Usaha ini bukan sahaja membantu meringankan beban masyarakat asnaf, malah menyemai budaya prihatin dan ihsan dalam komuniti. Kami berharap lebih banyak pihak korporat akan tampil bekerjasama dalam inisiatif sebegini untuk memberi manfaat yang lebih besar kepada masyarakat,” kata Tuan Haji Hanifuddin.

Komitmen Ramadan Berterusan McDonald’s Malaysia

Selain inisiatif komuniti hari ini, McDonald’s Malaysia memberi tumpuan kepada program moreh Ramadan, yang dianjurkan secara meluas melalui lebih 300 restoran McDonald’s di seluruh negara. Program moreh yang dijalankan secara konsisten setiap tahun merupakan salah satu usaha syarikat untuk meraikan jemaah masjid dan menyemarakkan suasana Ramadan.

Melalui penganjuran Program Kongsi Rezeki Ramadan bersama JAWI Food Bank, McDonald’s Malaysia kekal komited untuk menyantuni komuniti setempat dan memperkukuh kesejahteraan masyarakat asnaf.

###

Agihan juadah iftar dan bubur lambuk dan moreh sebagai sebahagian daripada Program Kongsi Rezeki Ramadan McDonald’s Malaysia bersama JAWI Food Bank.

 

Penyampaian baucar makanan percuma Program Santun Pelajar serta duit raya kepada pelajar Kolej Profesional MAIWP.