EN | BM

SEREMBAN, 6 JUN 2026 – Sukan bukan sekadar mengejar piala, tetapi ia adalah jambatan yang menyatukan hati masyarakat. Atas semangat itu, McDonald’s Malaysia mengorak langkah bermakna dalam memperkasa pembangunan belia dan komuniti setempat menerusi penajaan Kejohanan Sepak Takraw Belia Tertutup Negeri Sembilan 2026 & Veteran 140 Terbuka Negeri Sembilan 2026. Berlangsung meriah di Center Court Sport Complex, Paroi, Seremban pada 6 dan 7 Jun 2026, kejohanan dua hari ini menjadi bukti nyata komitmen syarikat untuk terus dekat dengan nadi kehidupan rakyat.

Penajaan sukan warisan ini mencerminkan nilai teras McDonald’s Malaysia dalam mewujudkan impak positif demi membina hari esok yang lebih baik. Melalui penganjuran oleh persatuan ALUMNI STJ83, kejohanan ini berjaya menghimpunkan 72 pasukan serta menarik kehadiran lebih 300 pengunjung sekitar Paroi dan Seremban. 

Penglibatan McDonald’s Malaysia dalam arena sepak takraw ini memberikan impak jangka masa panjang yang besar. Sukan ini bukan sahaja menjadi medan mengasah bakat, malah mendidik pemain muda membina keyakinan diri, mengukuhkan disiplin tinggi, dan memupuk semangat kerja berpasukan yang akan membentuk jati diri mereka di luar gelanggang.

Kategori Belia menyaksikan penyertaan 24 regu dari Seremban, Jelebu, Rembau, Port Dickson, Kuala Pilah, Skuad Sukma Negeri Sembilan, dan UiTM yang menonjolkan semangat kesukanan dan kerjasama bakat tempatan. Kategori Veteran 140 pula menghimpunkan 48 regu dari Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Terengganu, dan Selangor. Kehadiran regu dari serata tanah air ini membuktikan sepak takraw mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira sempadan negeri.

Menurut Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, penajaan ini adalah usaha untuk sentiasa dekat dengan ruang komuniti yang menyatukan belia dan keluarga setempat.

“Sepak takraw adalah sukan rakyat yang dimainkan di sekolah, kampung, dan gelanggang kejiranan. Melalui sokongan ini, kami ingin menyemarakkan lagi semangat kebersamaan ini sambil memberi pendedahan kepada pemain belia untuk membina keyakinan diri serta disiplin tinggi melalui sukan,” jelas beliau.

McDonald’s Malaysia memandang program ini sebagai satu lagi langkah kecil dalam perjalanan panjang mereka berbakti kepada komuniti setempat. Di bawah Program Komuniti @ McDonald's, rangkaian restoran ini sebenarnya sudah pun menganjurkan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan setiap tahun. Malah, lebih 370 restoran McDonald’s di seluruh negara sentiasa bergerak aktif menghulurkan bantuan kepada rumah kebajikan, sekolah, dan petugas barisan hadapan.

Melihat kepada impak positif kejohanan ini, McDonald’s Malaysia bertekad untuk menjadikan usaha ini sebagai pemula kepada lebih banyak sumbangan bermakna. Sebagai rakan komuniti yang setia, fokus syarikat kekal kepada inisiatif yang membawa manfaat langsung kepada masyarakat, khususnya dalam memperkasa golongan belia secara berterusan dan memastikan tiada komuniti yang terpinggir.

####