McDonald's Malaysia Memberi Kembali kepada Negeri Sembilan Melalui Pelbagai Inisiatif Komuniti
25 Oct 2019
McDonald's Malaysia Memberi Kembali kepada Negeri Sembilan Melalui Pelbagai Inisiatif Komuniti's image'

KUALA PILAH, 24 Oktober 2019 – McDonald's Malaysia meraikan pembukaan restoran terbarunya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Ini merupakan restoran pertama yang dibuka oleh rangkaian restoran perkhidmatan pantas itu di daerah tersebut.

"Kami teruja berada di sini hari ini bagi meraikan pembukaan rasmi restoran pertama McDonald's di Kuala Pilah. Kami yakin bahawa di samping menjadi sebahagian daripada rancangan pembangunan jangka panjang daerah ini, kami juga dapat mendekati pelanggan-pelanggan yang menggunakan jalan Kuala Pilah untuk menuju ke destinasi-destinasi berdekatan. Dengan adanya restoran McDonald’s di sini, kami dapat melayani lebih ramai rakyat Malaysia dan memberi mereka pengalaman terbaik atau ‘feel good moments’," kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia.

Restoran Pandu-Lalu McDonald’s di Kuala Pilah merupakan sebahagian daripada usaha perkembangan syarikat itu di Malaysia. Dengan lebih 290 restoran setakat ini, McDonald's Malaysia merancang untuk meluaskan lagi perniagaannya dengan pembukaan 450 restoran di seluruh negara menjelang tahun 2025.

McDonald's Malaysia melihat banyak potensi bukan sahaja di Kuala Pilah, malah di Negeri Sembilan secara keseluruhan.

Dengan pembukaan restoran Pandu-Lalu Kuala Pilah baru-baru ini dan juga perancangan untuk membuka beberapa restoran lagi di Negeri Sembilan, McDonald's Malaysia berharap dapat  menyumbang kepada ekonomi tempatan melalui peluang pekerjaan dan pembangunan bakat.

"Selain potensi yang terdapat di negeri ini, perkembangan perniagaan kami di sini turut melibatkan komitmen kami kepada masyarakat di Negeri Sembilan. Memberi kembali kepada masyarakat di tempat kami beroperasi sentiasa menjadi keutamaan kami," tambah Azmir.

Pembukaan rasmi restoran di Kuala Pilah turut menyaksikan syarikat itu menyumbang sebanyak RM637,200 kepada kerajaan Negeri Sembilan sebagai sebahagian daripada Program Komuniti McDonald's Malaysia – Peringkat Negeri Sembilan, yang berlangsung sepanjang bulan Oktober hingga Disember.

Inisiatif kemasyarakatan yang diadakan sempena pembukaan rasmi McDonald’s Pandu-Lalu Kuala Pilah hari ini termasuklah: -

• Agihan zakat McDonald’s kepada Negeri Sembilan

• Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald's Malaysia 

• Program "Kembali ke Sekolah"

Menteri Besar Negeri Sembilan YAB Dato' Seri Aminuddin Harun merupakan tetamu kehormat di majlis hari ini

"Saya sangat sukacita dengan semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh McDonald's Malaysia. Kerjasama erat melibatkan sektor korporat dan kerajaan negeri sentiasa dialu-alukan di sini, seiring dengan matlamat kami untuk mewujudkan keseimbangan sosio-ekonomi negeri," kata Dato' Seri Aminuddin.

"Belanjawan 2020 baru-baru ini telah dirangka dengan memberi tumpuan terhadap kesejahteraan rakyat, di samping memacu pertumbuhan ekonomi negara. Ini hanya boleh dicapai jika sektor korporat, pihak kerajaan, dan komuniti sama-sama berganding bahu. Saya gembira kerana McDonald's Malaysia membawa inisiatif ini ke Negeri Sembilan, yang secara langsung memberikan impak positif kepada masyarakat di sini," tambah Dato' Seri Aminuddin.

Agihan zakat McDonald’s

McDonald's Malaysia memenuhi kewajipan zakatnya kepada Negeri Sembilan dengan bayaran zakat berjumlah RM101,000.

"Sebagai sebuah entiti perniagaan 100 peratus milik umat Islam, ianya merupakan tuntutan agama untuk kami mengeluarkan zakat apabila cukup haul. Kami telah membayar zakat sejak tahun 2017," kata Azmir.

McDonald's Malaysia baru-baru ini menerima Sijil Pembayar Zakat Korporat daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), dan merupakan entiti perniagaan pertama yang menerima pengiktirafan ini.

"Hal ini secara langsung memantapkan komitmen McDonald's Malaysia untuk terus menyumbang kepada masyarakat setempat, dan pada masa yang sama, memenuhi kewajipan sebagai entiti perniagaan 100 peratus milik umat Islam," tambah Azmir.

Inisiatif pekerjaan untuk belia McDonald's

Program latihan McDonald’s Malaysia yang berteraskan industri selama 18 bulan menggabungkan latihan di tempat kerja dan institusi. 70 peratus daripada program ini meliputi latihan praktikal di restoran McDonald's, manakala 30 peratus lagi merupakan kelas teori di bilik darjah. Program ini merupakan sebahagian daripada Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (DSD) – salah satu usaha restoran khidmat segera itu untuk meningkatkan piawaian pembangunan modal insan syarikat dan memupuk bakat baharu, sejajar dengan agenda negara.

"Kami teruja untuk mengalu-alukan para belia dari Negeri Sembilan untuk menyertai program pembelajaran industri kami. Kami berharap melalui program ini, individu terpilih akan mempelajari kemahiran yang diperlukan untuk memajukan diri dan memulakan karier yang menjamin masa depan," kata Azmir.

Program ini adalah untuk belia daripada golongan kurang berkemampuan. Sebaik sahaja para pelatih lulus penilaian dan ujian akhir program ini, mereka layak bekerja di restoran McDonald's.

Selain mendapat manfaat daripada program latihan, setiap pelatih juga diberi elaun sara hidup  bulanan sebanyak RM1,200, faedah perubatan dan insurans, serta makanan percuma.

Program Kembali ke Sekolah

Lebih 1,700 kanak-kanak dari 53 sekolah di seluruh Negeri Sembilan akan menerima pek "Kembali ke Sekolah" tahun ini. Program "Kembali ke Sekolah" adalah inisiatif tahunan yang diterajui oleh McDonald's Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Program tahun ini, yang dilancarkan di Kuala Lumpur minggu lalu, akan menjadi yang terbesar setakat ini – dengan  jumlah sumbangan mencecah RM3 juta bagi membolehkan seramai 30,000 kanak-kanak sekolah rendah dari latar belakang keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara menerima pek "Kembali ke Sekolah" menjelang tahun persekolahan 2020.

Melalui program ini, setiap kanak-kanak akan menerima pek "Kembali ke Sekolah" yang terdiri daripada satu set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut, dan beg sekolah bernilai RM100.

Pada tahun 2018, McDonald's Malaysia dan RMHC telah menyampaikan pek "Kembali ke Sekolah" bernilai RM1.7 juta kepada 17,000 kanak-kanak sekolah rendah. Tahun sebelum itu pula menyaksikan McDonald's Malaysia dan RMHC membantu 6,000 pelajar menerusi jumlah sumbangan sebanyak RM1.2 juta.

"Membantu golongan yang kurang berkemampuan adalah nilai teras McDonald's Malaysia, dan kami gembira rakan-rakan niaga, para francaisi, warga kerja, dan pelanggan kami turut serta menghulurkan sumbangan ikhlas. Kami berharap ia dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga  kanak-kanak yang terlibat dan memberi motivasi kepada kanak-kanak ini untuk memulakan  tahun persekolahan baharu dengan keyakinan dan kegembiraan," kata Azmir, yang juga Presiden RMHC Malaysia.

Pek "Kembali ke Sekolah" akan disampaikan secara berperingkat di negeri-negeri lain di seluruh negara sehingga penghujung tahun ini sebagai sebahagian daripada Program Komuniti McDonald's Malaysia yang terdiri daripada pelbagai inisiatif komuniti bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.

RMHC merupakan badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia yang bermatlamat membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Malaysia. Hubungi ibu pejabat RMHC Malaysia di talian 03-7843 3388 atau layari https://rmhc-malaysia.my/get-involved/make-a-donation/ jika anda berminat menyumbang wang tunai atau menjadi sukarelawan untuk RMHC Malaysia.