McDonald’s Malaysia Himpunkan Bintang Bola Sepak dan Selebriti di Stadium Merdeka Untuk Memanfaatkan RMHC Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 JUN 2026 – Ketika demam bola sepak sedang dirasai di seluruh negara, McDonald’s Malaysia meraikan semangat tersebut dan mengajak rakyat Malaysia untuk membawa semangat sorakan mereka ke arah yang lebih bermakna menerusi Mekdi All Stars Kick Off: Perlawanan Amal RMHC Malaysia, sebuah perlawanan istimewa yang menggabungkan legenda bola sepak negara, selebriti popular dan ribuan peminat demi menyokong Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia).
Diumumkan dalam satu sidang media di McDonald’s Pandu-Lalu Pantai Sentral Park hari ini, perlawanan amal ini akan berlangsung pada 12 Jun 2026, mulai jam 5.00 petang hingga 10.00 malam di Stadium Merdeka dengan kemasukan percuma untuk semua pengunjung. Menghidupkan kembali suasana ikonik stadium yang sarat dengan sejarah bola sepak negara, perlawanan ini bakal menemukan dua pasukan istimewa, Malaysia All Stars dan Mekdi All Stars, dalam satu malam penuh hiburan, nostalgia dan semangat kebersamaan.
Pada masa sama, para hadirin digalakkan untuk membuat sumbangan sukarela kepada RMHC Malaysia di titik-titik sumbangan yang disediakan di sekitar stadium. Sumbangan awam yang dikumpul akan disalurkan kepada RMHC Malaysia, yang menyokong kanak-kanak dan keluarga melalui program kesihatan, pendidikan dan kebajikan, termasuk Rumah Ronald McDonald, Anugerah Senyuman, Program Pek Kembali ke Sekolah dan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald.
“Di sebalik kemeriahan perlawanan ini, tujuan utamanya adalah untuk menyokong RMHC Malaysia dalam usaha membantu kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan. Sebagai rakan korporat dan penyokong utama RMHC Malaysia, McDonald’s Malaysia sentiasa percaya bahawa setiap platform yang kami wujudkan harus membawa manfaat kepada komuniti, sama ada melalui makanan, pengalaman yang menggembirakan atau peluang untuk rakyat Malaysia berkongsi kebaikan,” kata Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia serta Presiden RMHC Malaysia.
“Bola sepak mempunyai keupayaan unik untuk menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang. Melalui Mekdi All Stars Kick Off: Perlawanan Amal RMHC, kami ingin memanfaatkan semangat tersebut untuk tujuan yang lebih besar, bukan sekadar untuk menonton perlawanan, tetapi untuk bersama-sama melakukan sesuatu yang bermakna untuk kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan,” tambah beliau.
Bagi memeriahkan pengalaman peminat, McDonald’s Malaysia turut menyediakan 10,000 set makanan percuma yang terdiri daripada Chicken McNuggets, Coke dan Apple Pie untuk para pengunjung, manakala McDonald’s SuperFans berpeluang menikmati akses eksklusif ke kawasan VIP stadium.

Puan Hajjah Melati Abdul Hai, Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Impak, McDonald’s Malaysia, menyampaikan ucapan dan mengumumkan perlawanan amal yang menghimpunkan Malaysia All Stars dan Mekdi All Stars untuk menyokong usaha kebajikan RMHC Malaysia.
Sebagai simbolik kepada misi amal acara ini, para pemain akan diiringi masuk ke padang oleh kanak-kanak yang menerima sokongan melalui Rumah Ronald McDonald, sekali gus mengingatkan bahawa di sebalik setiap sorakan dan jaringan, terdapat kehidupan yang boleh disentuh dan dibantu melalui sokongan orang ramai.
Selain aksi di atas padang, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik di sekitar stadium termasuk ruang interaktif RMHC, kaunter McD App, zon permainan dan aktiviti peminat serta pelbagai pilihan makanan dan minuman daripada vendor yang mengambil bahagian.
Malaysia All Stars akan menampilkan barisan nama besar bola sepak negara, termasuk Amri Yahya, Faisal Halim, Safawi Rashid, Norshahrul Idlan Talha, Tan Cheng Hoe dan lain-lain. Kehadiran mereka dijangka mengembalikan nostalgia kegemilangan bola sepak negara sambil memberi peluang kepada peminat menyaksikan ikon-ikon kesayangan mereka beraksi sekali lagi di Stadium Merdeka.
“Bermain di Stadium Merdeka sentiasa membawa makna yang istimewa, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan untuk tujuan amal. Malaysia All Stars mungkin dibarisi pemain yang mempunyai pengalaman, tetapi pada malam itu, perkara paling penting bukan sekadar keputusan perlawanan. Kami mahu menghiburkan peminat, menghidupkan semula semangat bola sepak negara, dan pada masa yang sama mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyokong RMHC Malaysia,” kata Amri Yahya dari pasukan Malaysia All Stars.
Mencabar mereka ialah Mekdi All Stars yang dibarisi selebriti dan pempengaruh popular seperti Merqeen, Alvin Chong, MK K-Clique, Tuju K-Clique dan lain-lain. Dengan gabungan hiburan dan sukan, pasukan ini dijangka membawa tenaga serta keterujaan tersendiri kepada perlawanan amal tersebut.
“Kalau ikut pengalaman, memang Malaysia All Stars ada kelebihan. Tetapi jangan pandang rendah kepada Mekdi All Stars. Pasukan kami ada tenaga, kreativiti dan semangat berani mencuba. Kami akan cuba beri saingan yang menyeronokkan, dan yang paling penting, kami mahu peminat hadir beramai-ramai untuk menyokong RMHC Malaysia,” kata MK K-Clique dari pasukan Mekdi All Stars.
Senarai penuh barisan perlawanan disertakan sebagai Lampiran I
Mekdi All Stars Kick Off: Perlawanan Amal RMHC bukan hanya tentang siapa yang menang di padang, tetapi tentang bagaimana satu malam boleh menyatukan ribuan rakyat Malaysia, daripada keluarga, rakan hingga peminat bola sepak, untuk berkongsi kegembiraan, mencipta kenangan dan menyebarkan kebaikan bersama. Acara ini mencerminkan komitmen berterusan McDonald’s Malaysia untuk sentiasa dekat dengan komuniti, membina hubungan yang bermakna melalui pengalaman yang menyatukan orang ramai, sambil terus menyokong usaha membantu kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan melalui RMHC Malaysia.

(Dari kiri) Tuju K-Clique; MK K-Clique; Dato’ Ong Kim Swee, Jurulatih Mekdi All Stars; Puan Hajjah Melati Abdul Hai, Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Impak, McDonald’s Malaysia; Encik Nasri Nordin, Pengurus Besar, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia); Tan Cheng Hoe, Jurulatih Malaysia All Stars; Amri Yahya; dan Norshahrul Idlan Talha memperkenalkan jersi rasmi Malaysia All Stars dan Mekdi All Stars sempena sidang media Mekdi All-Stars Kick Off: Perlawanan Amal RMHC Malaysia di McDonald’s Pandu-Lalu Pantai Sentral Park.


