EN | BM

Naib Canselor UNISEL, Emeritus Dato' Dr. Mohammad Redzuan Othman dan Pengarah Kanan Jenama McDonald’s Malaysia, Encik Azman Mohammad, mengagihkan lembu korban kepada warga UNISEL sempena Majlis Korban Perdana di sana.

BESTARI JAYA, 9 JUN 2025 – Sebagai syarikat 100% milik orang Islam, McDonald’s Malaysia meneruskan komitmennya untuk melunaskan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL).

Kerjasama McDonald’s Malaysia dan UNISEL bermula pada Ramadan yang lepas menerusi program Kongsi Rezeki Ramadan, yang mana restoran khidmat segera itu menyantuni golongan pelajar yang memerlukan dengan menyumbangkan Kotak Rezeki dan duit raya, serta menaja aktiviti berbuka puasa kepada warga UNISEL.

Pada kali ini, kedua-dua McDonald’s Malaysia dan UNISEL kembali berganding bahu dengan menyediakan peluang dan pengalaman kepada 150 pelajar UNISEL serta kakitangan McDonald’s melaksanakan ibadah korban, sebagai usaha untuk mendekatkan golongan muda dengan nilai dan erti sebenar ibadah ini yang menjadi tunjang sambutan Aidiladha. Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif McDonald’s Malaysia untuk menyantuni dan memberi impak positif kepada komuniti di sekitar lokasi operasi. 

“Pada tahun ini, kita bukan sahaja melaksanakan ibadah korban sebagai satu kewajipan, tetapi kita juga berkongsi peluang dengan anak-anak muda yang terdiri daripada pelajar UNISEL dan warga kerja McDonald’s Malaysia untuk menghayati dan mendalami sendiri ibadah ini secara langsung. Justeru itu, platform yang disediakan oleh McDonald’s Malaysia adalah ruang untuk memastikan golongan muda terus diperkasakan dan dipersiapkan untuk menggalas tanggungjawab ini pada masa akan datang,” kata Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

Dalam pada itu, McDonald’s Malaysia turut melaksanakan ibadah korban di beberapa lokasi lain di seluruh negara, termasuk di UNISEL, dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak 18 ekor lembu. Penglibatan McDonald’s dalam usaha korban ini kini memasuki tahun kelima sejak mula dilaksanakan pada tahun 2021. Inisiatif ini diteruskan saban tahun sebagai salah satu cara McDonald’s Malaysia mendekati komuniti daripada pelbagai latar belakang, khususnya umat Islam yang memerlukan, sejajar dengan komitmen syarikat dalam menyantuni komuniti setempat.

“Selain daripada menyantuni anak muda, usaha ini juga adalah untuk McDonald’s Malaysia menyantuni golongan fakir dan miskin melalui sumbangan daging lembu untuk mereka meraikan Aidiladha. Usaha ini turut bertepatan dengan semangat hari yang mulia ini di mana golongan yang berkemampuan menzahirkan keprihatinan kepada golongan yang memerlukan dengan berkongsi rezeki,” tambah Dato’ Haji Azmir.

McDonald’s Malaysia juga sentiasa berusaha mencari peluang untuk menyantuni komuniti melalui Program Komuniti @ McDonald’s. Dianggarkan sebanyak 10,000 aktiviti kemasyarakatan dilaksanakan setiap tahun merangkumi segenap lapisan masyarakat.  Antaranya adalah sumbangan moreh ke masjid dan surau pada bulan Ramadan, meraikan hari jadi anak-anak yatim pada bulan kanak-kanak, meraikan warga emas di rumah kebajikan sertai melunaskan pembayaran zakat korporat setiap tahun ke institusi-institusi zakat negeri.

###

Anak muda, warga komuniti dari UNISEL dan kakitangan McDonald’s Malaysia berganding bahu membungkus daging korban untuk diagihkan kepada masyarakat yang memerlukan 

 

McDonald’s Malaysia turut menyediakan hidangan kepada sukarelawan yang hadir ke Majlis  Korban Perdana yang dilaksanakan di Masjid Universiti Selangor