McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia Santuni Golongan Memerlukan di Perlis
01 Dec 2022

Perlis, 1 Disember 2022 – McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia), dengan kerjasama Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), meneruskan lagi komitmen kemasyarakatannya di negeri Perlis melalui pelaksanaan ‘Program Kayuhan dan Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah’ sebagai salah satu usaha untuk menyantuni golongan masyarakat yang memerlukan di negeri itu.

Majlis hari ini menyaksikan penyampaian sumbangan Pek Kembali ke Sekolah kepada 250 kanak-kanak sekolah rendah di negeri Perlis daripada latar belakang keluarga kurang berkemampuan, melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis. Setiap Pek Kembali ke Sekolah yang diagihkan mengandungi set alat tulis, buku-buku latihan dan botol air bagi meringankan beban keluarga dari segi perbelanjaan persekolahan, sekali gus menyuntik semangat kanak-kanak ini untuk memulakan sesi persekolahan baharu pada tahun hadapan. McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia membelanjakan sejumlah RM250,000 bagi tujuan ini.

Dalam pada itu, McDonald’s dan RMHC juga menghulurkan sumbangan set kelengkapan bilik tidur berupa tilam, bantal, dan cadar baharu bernilai RM15,000 kepada Teratak Rahmat, Persatuan Al Islah Perlis bagi membolehkan keperluan anak-anak yatim di pusat kebajikan ini dinaiktarat demi  keselesaan mereka. 

“Negeri Perlis sudah menjadi satu lokasi yang wajib dikunjungi oleh kami pada setiap hujung tahun, berikutan hubungan baik yang telah terbina sejak sekian lama. Inisiatif kemasyarakatan sebegini merupakan nilai teras McDonald’s Malaysia, dan mendapat sokongan sepenuhnya daripada badan kebajikan pilihan kami, iaitu RMHC Malaysia. Sebagai sebuah syarikat korporat terkemuka, kami ingin terus mewujudkan impak positif dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi komuniti di sekitar lokasi operasi kami,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, merangkap Presiden, RMHC Malaysia. 

Untuk kali ke-6, McDonald’s juga mengambil bahagian dalam ‘Program Kayuhan MAIPs Peduli’ bersama Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis, iaitu satu aktiviti kayuhan di sekitar Kampung Seberang Ramai bagi menziarah dan menyampaikan sumbangan makanan McDonald’s kepada 30 keluarga asnaf di sana.

“Menyantuni golongan masyarakat yang memerlukan termasuk anak yatim dan golongan asnaf adalah satu kewajipan bagi mereka yang berkemampuan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan syarikat korporat terkemuka seperti McDonald’s Malaysia, dan organisasi bukan

berasaskan keuntungan seperti RMHC Malaysia. Ini bukanlah kali pertama beta bersama pihak McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia mendekati warga Perlis yang memerlukan, malah ia sudah menjadi satu acara masyarakat yang beta akan turut serta setiap kali mereka menyampaikan hasrat untuk berkunjung ke negeri Perlis. Besar harapan beta agar hubungan baik yang terjalin ini dapat dikekalkan demi kesejahteraan rakyat di negeri ini,” titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra, yang juga merupakan Yang Dipertua MAIPs.  

McDonald’s juga telah menunaikan zakat korporatnya sebanyak RM100,000 kepada MAIPs bagi tahun 2022 untuk diagihkan kepada asnaf yang layak. Termasuk program yang diadakan hari ini, secara keseluruhan, McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia telah menyumbang RM365,000 bagi membantu golongan yang memerlukan di negeri Perlis.

- TAMAT -

Previous Article
Sambutan Hari Jadi McDonald’s Ukir Senyuman Anak Yatim
Seremban, 19 Oktober 2022 – McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malay...
Next Article
McDonald’s Malaysia Celebrates Opening of Drive-Thru Restaurant at Batu Kawan
BATU KAWAN,13 DECEMBER 2022 – McDonald’s Malaysia today celebrated the official grand opening of its...