McDonald’s Lancar Program Santun Pelajar Seluruh Negara
KUALA LUMPUR, 19 FEBRUARI 2026 – McDonald’s Malaysia telah melancarkan Program Santun Pelajar, satu inisiatif bagi menyantuni dan menyokong pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara yang berdepan cabaran menyediakan keperluan asas sepanjang pengajian.
Sebagai fasa permulaan, McDonald’s menyerahkan baucar Nasi Mekdi kepada wakil 20 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di 11 negeri, bagi memastikan pelajar terlibat dapat menikmati hidangan berkhasiat yang membantu mereka kekal fokus dalam pembelajaran. Baucar ini boleh ditebus di restoran McDonald’s berhampiran untuk satu hidangan Nasi Mekdi lengkap dengan nasi, kuah kari kentang, telur, Ayam Tenders McD Pedas, dan satu minuman teh ais lemon.
Sebanyak 50,000 hidangan Nasi Mekdi akan disajikan kepada pelajar terlibat setiap Isnin hingga Jumaat daripada 19 Februari hingga 10 Mac 2026, bersempena bulan Ramadan. McDonald’s Malaysia turut menyasarkan penyediaan 1 juta hidangan Nasi Mekdi menjelang akhir tahun 2026.
Majlis pelancaran yang berlangsung di restoran pandu lalu McDonald’s Titiwangsa Thru disempurnakan oleh Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, yang menyampaikan penyerahan simbolik baucar kepada wakil-wakil IPT. Menurutnya, Program Santun Pelajar ialah kesinambungan komitmen McDonald’s dalam memperkasa belia Malaysia melalui latihan, pembangunan kemahiran dan peluang pekerjaan.
“McDonald’s Malaysia sudah sekian lama menyokong pembangunan belia melalui kelayakan vokasional dan peluang pekerjaan melalui McDonald’s Vocational Academy serta program SLDN. Dengan lebih 10,000 belia bekerja bersama kami, kami yakin akan kemampuan kami sebagai rakan pembangunan belia negara. Program Santun Pelajar ialah lanjutan semula jadi komitmen tersebut,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa peningkatan kos sara hidup memberi tekanan besar kepada pelajar.
“Ramai pelajar berdepan kos makanan, pengangkutan dan penginapan yang semakin meningkat. Ada yang terpaksa berjimat secara berlebihan atau bekerja sambilan sehingga menjejaskan tumpuan dan kesejahteraan mereka. Kami mahu memastikan keperluan asas tidak menjadi penghalang untuk mereka berjaya,” kata Dato’ Azmir.
Dibangunkan Bersama Rakan Kerjasama IPT
Program Santun Pelajar dirangka melalui libat urus dengan universiti, politeknik, kolej komuniti, kolej swasta dan institusi TVET, yang sejak beberapa tahun lalu menyuarakan kebimbangan tentang tekanan kos kehidupan yang menjejaskan tumpuan dan kesejahteraan pelajar.
Melalui kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Pelajar di setiap IPT, pelajar yang benar-benar memerlukan dikenal pasti secara telus bagi menerima sokongan.
“Kami amat menghargai inisiatif ini kerana ia memberikan sokongan terus kepada pelajar yang memerlukannya,” kata Dr. Salman Zainal Abidin, Ketua Bahagian, Hal Ehwal Pelajar, UIS. “Kos sara hidup memberi tekanan kepada pelajar, dan program seperti ini membantu mereka kekal fokus dalam pengajian.”
McDonald’s Malaysia turut mempunyai kerjasama yang kukuh dengan beberapa IPT, termasuk , UniKL, UIS, USIM, UKM dan UTM. UTM juga mengiktiraf modul latihan dalaman McDonald’s untuk pemindahan kredit ke dalam program MBA, menjadikannya pencapaian pertamabagi organisasi ini.
Titik Permulaan Bagi Sokongan Yang Lebih Menyeluruh
Program Santun Pelajar bermula dengan keperluan asas dari segi nutrisi pemakanan. Namun, inisiatif ini merupakan langkah pertama menuju ekosistem sokongan yang lebih komprehensif.
Dengan pengalaman dan rekod kukuh membangunkan laluan kerjaya melalui McDonald’s Vocational Academy, SLDN dan latihan industri, McDonald’s Malaysia kini bersedia memperluaskan sokongan daripada kampus hingga ke alam pekerjaan.
“Pelajar hari ini adalah tenaga kerja dan pemimpin masa depan negara. Tanggungjawab kami ialah memastikan mereka tidak terhalang oleh kekurangan keperluan asas untuk mencapai potensi sebenar,” jelas Dato’ Azmir.
Program Santun Pelajar akan dikembangkan secara berperingkat melibatkan pendedahan kerjaya, pembangunan kemahiran, latihan vokasional, kebolehpasaran dan peluang tambahan pada masa akan datang.
###
Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, menekankan komitmen berterusan bagi menyokong pembangunan belia melalui pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan, seiring dengan pelancaran Program Santun Pelajar bagi menyokong kesejahteraan dan kejayaan pelajar.
Dato’ Haji Azmir Jaafar (tengah) bersama para pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT), memperkenalkan set Nasi Mekdi, sebahagian daripada inisiatif Program Santun Pelajar, yang merupakan usaha berterusan McDonald’s Malaysia untuk meringankan beban harian pelajar dan memberi impak positif melalui akses mudah kepada makanan berkhasiat.
Pelajar-pelajar bersama set Nasi Mekdi semasa pelancaran Program Santun Pelajar. Setiap set mengandungi nasi, kari kentang, telur, Ayam Tenders McD Pedas dan teh ais lemon.