McDonald’s Komited Sediakan Peluang Latihan dan Kerjaya kepada Belia Malaysia
21 Sep 2022

PUNCAK ALAM, 20 September 2022 – McDonald’s Malaysia hari ini meraikan lebih 400 belia yang berjaya menamatkan latihan di bawah Program Perantis Vokasional McDonald’s. Majlis konvokesyen kali ke-3 oleh McDonald’s Malaysia ini telah diadakan di Dewan DK500 yang terletak di UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.

“Program Perantis Vokasional McDonald’s adalah program penting bagi kami, yang menyediakan peluang kepada belia untuk mempelajari kemahiran yang berguna untuk sepanjang hayat, memenuhi potensi diri dan mendaki tangga kerjaya dalam industri perkhidmatan makanan. Yang paling penting, adalah mereka mampu mengamalkan budaya McDonald’s yang menekankan kualiti dalam segenap aspek perniagaan,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

“Sejajar dengan pertumbuhan McDonald’s Malaysia di negara ini, usaha meningkatkan piawaian pembangunan sumber manusia dan mengasah bakat baru di kalangan belia adalah amat penting untuk kami. Ini adalah komitmen berterusan kami untuk menyokong agenda nasional dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” tambah Dato’ Azmir.

Program Perantis Vokasional McDonald’s adalah program latihan berasaskan industri yang menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s dan 30 peratus pembelajaran teori di dalam kelas. Program ini adalah hasil kerjasama McDonald’s Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang diperkenalkan oleh Kementerian.

Setelah tamat program, pelajar dianugerahkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 yang ditauliahkan oleh Kementerian Sumber Manusia dan seterusnya layak bekerja di restoran McDonald’s atau mana-mana syarikat dalam industri perkhidmatan makanan di negara ini.

Sejak 2018, Program Perantis Vokasional McDonald’s telah disertai oleh lebih 3,500 belia daripada pelbagai latarbelakang untuk mendapatkan pengalaman dan pekerjaan dalam industri hospitaliti dan/atau makanan dan minuman (F&B).

Belia yang menyertai program ini ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia, dan ini melibatkan elaun bulanan, tempat tinggal, manfaat perubatan dan insurans serta makan minum percuma.

Sebagai sebahagian daripada Visi McDonald’s Malaysia 2026, syarikat akan melabur sejumlah RM1.35 bilion dalam tempoh lima tahun mendatang untuk membuka 205 restoran baru, menjadikan jumlah keseluruhannya 500 restoran McDonald’s di seluruh Malaysia. Dengan pertumbuhan ini, syarikat dijangka mampu menawarkan lebih 50,000 peluang kerjaya kepada rakyat Malaysia menjelang 2026, termasuk 15,000 perantis baru di bawah Program Perantis Vokasional McDonald’s.

Dengan 15,000 kakitangan setakat ini di seluruh negara, McDonald’s Malaysia sentiasa mengutamakan pembangunan bakat dan kemahiran di kalangan warga kerjanya. Selain Program Perantis Vokasional McDonald’s, restoran khidmat segera ini juga mempunyai inisiatif pembangunan bakat lain seperti Program Perantis Pengurusan McDonald’s, Program Latihan Industri dan program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

McDonald’s Malaysia juga akan melaburkan sejumlah RM300 juta untuk program latihan dan pembangunan menjelang 2026.

Untuk sesiapa yang berminat menyertai Program Perantis Vokasional McDonald’s, layari https://www.maukerja.my/mcd/ 

###

Previous Article
McDonald’s Malaysia Menzahirkan Penghargaan kepada 65,000 Penunggang Penghantaran Menerusi Inisiatif #MekdiBelanjaRider
KUALA LUMPUR, 15 September 2022 – McDonald’s Malaysia telah menyumbangkan hidangan McChicken percuma...
Next Article
Sambutan Hari Jadi McDonald’s Ceriakan Anak Yatim
Kuala Lumpur, 2 Oktober 2022 – McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) M...