McDonald’s beri peluang pendidikan dan kerjaya kepada belia Malaysia
06 Mar 2020
McDonald’s beri peluang pendidikan dan kerjaya kepada  belia Malaysia's image'

KUALA LUMPUR, 4 Mac 2020 – McDonald’s Malaysia buat julung kalinya mengadakan majlis konvokesyen untuk belia yang telah berjaya menamatkan latihan dalam Program Perantis Vokasional McDonald’s, hari ini. Kira-kira 50 belia diraikan dalam majlis konvokesyen yang diadakan di Akademi Vokasional McDonald’s baharu yang terletak di McDonald’s Pandu-Lalu Mutiara Damansara.

“Program Perantis Vokasional McDonald’s merupakan sebahagian daripada usaha McDonald’s Malaysia dalam meningkatkan piawaian pembangunan modal insan syarikat dan memupuk bakat baharu dalam kalangan belia, sejajar dengan agenda negara. Ini adalah komitmen kami sebagai sebuah syarikat global yang mempunyai reputasi kukuh dalam industri perkhidmatan makanan,” kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

Program Perantis Vokasional McDonald’s merupakan program latihan berteraskan industri selama 18 bulan menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s dan 30 peratus kelas teori di bilik darjah. Program ini merupakan kerjasama McDonald’s Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia Malaysia berdasarkan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang telah diperkenalkan Kementerian. Sebaik sahaja belia-belia ini tamat latihan, mereka dianugerahkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 yang diiktiraf oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia, dan seterusnya layak mengembangkan lagi kerjaya mereka di McDonald’s atau dalam industri perkhidmatan makanan di negara ini.

“Sebagai pemimpin industri, kami ingin menjadikan McDonald’s sebagai platform atau asas untuk golongan belia di Malaysia membina kerjaya yang bermakna. Ini adalah tempat untuk mereka mempelajari kemahiran-kemahiran sepanjang hayat, memenuhi potensi diri dan terus menaiki tangga kerjaya dalam industri perkhidmatan makanan, bukan sahaja di peringkat tempatan, malahan di arena antarabangsa. Apa yang paling penting adalah bagaimana mereka mampu menyelami budaya McDonald’s yang sangat menitikberatkan kualiti dalam segenap aspek perniagaannya, pada masa sama membina hubungan rapat dalam keluarga besar McDonald’s,” tambah Azmir. 

Program Perantis Vokasional McDonald’s mula diperkenalkan pada tahun 2018, dan sehingga kini, secara keseluruhan terdapat lebih 1,200 belia di seluruh negara telah dan sedang mengikuti program ini. McDonald’s Malaysia optimis mencapai sasaran 5,000 perantis menjelang penghujung tahun ini.

YBhg. Dato' Amir Bin Omar, Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Manusia Malaysia hadir menyempurnakan majlis konvokesyen ini.

“Pihak Kementerian sangat berterima kasih kepada McDonald’s Malaysia kerana tampil ke hadapan menawarkan kepakaran mereka dalam bidang perkhidmatan makanan. McDonald’s Malaysia merupakan satu-satunya restoran khidmat segera yang melaksanakan inisiatif perkongsian pengetahuan seperti ini, sekaligus menambah nilai kepada program-program latihan kemahiran sedia ada yang ditawarkan, khususnya melibatkan kerjasama industri. Hal ini juga amat bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mengatasi isu pengangguran belia melalui galakan terhadap penyertaan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” kata YBhg. Dato' Amir.

Belia-belia yang mengikuti program ini ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia, termasuklah pemberian elaun bulanan RM1,200, tempat tinggal, faedah perubatan dan insurans, serta makanan percuma. Secara keseluruhan, McDonald’s Malaysia membelanjakan RM30,000 untuk seorang perantis.

McDonald’s Malaysia yang mempunyai lebih 14,000 kakitangan  di seluruh negara memberi keutamaan dalam membangunkan bakat dan kecekapan tenga kerja. Selain daripada Program Perantis Vokasional McDonald’s, syarikat khidmat segera ini juga memperkenalkan inisiatif-inisiatif lain seperti Program Perantis Pengurusan McDonald’s dan Program Sarjana Pengurusan Perniagaan dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kepada para belia yang ingin menyertai Program Perantis Vokasional McDonald’s, sila layari https://www.maukerja.my/mcd/