EN | BM

McDonald’s Malaysia menganjurkan Aramai Bersama Mekdi sempena Pesta Kaamatan di McDonald’s Keningau, Sabtu lalu

24 MEI 2025, KENINGAU, SABAH – Kemeriahan menyambut perayaan oleh McDonald’s Malaysia diteruskan lagi, kali ini untuk memeriahkan perayaan tempatan masyarakat Sabah, Pesta Kaamatan, menerusi acara Aramai Bersama Mekdi untuk pelanggan setia restoran khidmat segera terkemuka itu di McDonald’s Keningau Pandu-Lalu, Sabah.

Pesta Kaamatan yang cukup popular dengan kemeriahan sempena meraikan kesyukuran menuai padi ini kini disambut oleh McDonald’s Malaysia buat julung kalinya untuk menyerlahkan keunikan budaya dan menggamit nostalgia tradisi sambil mengeratkan semangat kebersamaan masyarakat pelbagai kaum dan etnik di Sabah.

“Pesta Kaamatan merupakan perayaan budaya yang unik dan perlu kita serlahkan supaya lebih ramai dapat membuka mata terhadap warisan ini. Sebagai syarikat milik tempatan, kami ingin menjadi sebahagian daripada masyarakat dalam meraikan Pesta Kaamatan dengan menggunakan kepakaran kami untuk menganjurkan acara. Ini adalah salah satu cara kami untuk menghargai rakyat Sabah, dan mengucapkan terima kasih kami yang tidak terhingga atas sokongan yang telah diberikan selama ini,” kata Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

Selain itu, Pesta Kaamatan yang terkenal dengan kesyukuran ini juga disambut dengan kemeriahan hiburan dan tradisi pakaian yang memukau. Bagi menghiburkan para tetamu yang hadir, pelbagai aktiviti dilaksanakan untuk meraikan Pesta Kaamatan melalui persembahan oleh penyanyi popular seperti Ryenald Guntabid, Kumpulan Mansolo, dan Kumpulan Atmosfera, dan bagi meraikan tradisi budaya, permainan tradisional dan aktiviti menarik seperti tarian Magunatip, pertandingan pakaian tradisi terbaik, sesi karaoke dan dekorasi restoran berkonsepkan perayaan serta persembahan bunga api yang menakjubkan turut menjadi sorotan rumah terbuka ini.

Menambahkan lagi keceriaan, tetamu terawal turut dihidangkan dengan 1,500 set Spicy Chicken McDeluxe kegemaran ramai secara percuma di lokasi. Sumbangan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyerlahkan penghargaan kepada para tetamu yang hadir serta untuk menghidupkan suasana perayaan yang sebenar. Pelbagai hadiah percuma seperti baucar makanan dan minuman juga menanti para tetamu yang mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan.

Aramai Bersama Mekdi sempena Pesta Kaamatan ini adalah antara siri program McDonald’s Malaysia pada tahun ini, yang mana restoran khidmat segera terkemuka itu menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk menyambut kemeriahan perayaan-perayaan tempatan di restoran-restoran McDonald’s terpilih. Antara yang lain adalah Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Mekdi pada Februari dan Rumah Terbuka Raya Mekdi pada April lalu.

Bukan sekadar itu, melalui inisiatif kemasyarakatan McDonald’s Malaysia, restoran pilihan keluarga terkemuka tersebut turut meraikan komuniti yang kurang bernasib baik dengan meraikan perayaan dan sambutan bersama warga emas dan anak-anak yatim di rumah-rumah kebajikan antaranya meraikan Tahun Baru Cina, Ramadan, Hari Raya Aidilfitri, Hari Bapa dan Hari Kanak-Kanak. Setiap tahun, hampir 10,000 aktiviti kemasyarakatan dijalankan oleh McDonald’s Malaysia menerusi lebih 370 restorannya di seluruh negara.

###

Bagi memeriahkan sambutan, sebanyak 1,500 set Spicy Chicken McDeluxe diedarkan secara percuma kepada pengunjung yang hadir ke Aramai Bersama Mekdi.

 

Pelbagai permainan tradisi disertai oleh pengunjung yang hadir bagi memeriahkan suasana

 

Menambah lagi kemeriahan, penganjung juga dihiburkan dengan persembahan tradisi dan nyanyian oleh selebriti tempatan

 

Acara berakhir dengan persembahan bunga api