Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia Perkasa Agenda TVET Negara, Dorong Belia Sambung Belajar Sambil Bekerja
YB Datuk Hajah Rubiah Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (Tengah); YB Tuan Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia (Kanan); Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia (Kiri) meraikan kejayaan lebih 1,000 graduan dalam Majlis Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s di IDCC Shah Alam, pada Isnin lalu.
SHAH ALAM, 30 JUN 2025 – Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia, sebuah usaha memartabatkan belia melalui pendidikan vokasional yang diberi pengiktirafan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, menganugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) kepada lebih 1,000 graduan pada Majlis Konvokesyen Kali ke-5 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia. Majlis ini disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Rubiah Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa, mewakili YAB Dato’ Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di IDCC Shah Alam, hari ini.
Program Perantis Vokasional McDonald’s merupakan sebuah kurikulum yang dibangunkan bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). Bertujuan untuk menyokong agenda TVET negara dalam melahirkan tenaga kerja yang berkebolehan tinggi dan berorientasikan industri, program ini menggabungkan 70% latihan praktikal di restoran dan 30% pembelajaran teori di dalam kelas.
Bagi memastikan McDonald’s Malaysia dapat mengembangkan potensi dalam melahirkan bakat belia berkemahiran tinggi, Akademi Vokasional McDonald’s ditubuhkan untuk memberi latihan kepada perantis seawal lepasan Tingkatan 3, dengan satu kolaborasi kolej vokasional di bawah Bahagian Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Inilah yang kita harapkan kerana bukan sahaja kita dapat mencerdikkan dan memahirkan seseorang insan, malah mengubah sosioekonomi hidup mereka daripada keadaan yang sukar kepada yang lebih baik. Pendekatan ini sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memastikan setiap anak muda mempunyai akses kepada pendidikan yang relevan dan boleh dipasarkan. Dalam pada itu, kita juga boleh memastikan ekonomi rakyat juga diperkukuhkan dan dalam masa yang sama memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi latihan dan industri,” kata YB Datuk Hajah Rubiah Wang.
“Melalui Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia, ia membuktikan bahawa McDonald’s bukan sekadar menawarkan pekerjaan semata-mata, tetapi juga sebuah institusi pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) yang boleh memperkasakan kemahiran dan kerjaya anak-anak muda. Kami telah melahirkan lebih 5,000 graduan sejak tujuh tahun akademi ini ditubuhkan dan 80% daripada mereka memilih untuk membina kerjaya yang bermakna bersama kami,” kata Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.
Sepanjang mengikuti program ini, perantis ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia merangkumi elaun bulanan, kemudahan tempat tinggal, makan minum, faedah insurans dan perubatan serta sumbangan perlindungan PERKESO dan caruman KWSP. Secara keseluruhan, McDonald’s Malaysia membelanjakan sekitar RM40,000 untuk seorang perantis, sepanjang mereka mengikuti program ini. Lebih-lebih lagi, perantis tidak dikenakan sebarang ikatan kontrak perkhidmatan selepas tamat belajar.
“Sebahagian daripada pekerja kami datang daripada keluarga B40, asnaf, OKU, Orang Asli dan mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran. Selepas menyertai program ini, mereka dapat meningkatkan potensi diri dan kerjaya sehingga mencapai jawatan pengurus restoran dan pakar industri di ibu pejabat. Kami amat bangga dengan pencapaian ini kerana bukan sahaja ia memberi manfaat kepada syarikat dari sudut tenaga kerja, tetapi dapat mengubah keadaan sosioekonomi mereka untuk keluar dari kitaran kemiskinan. Di McDonald’s Malaysia, adalah tujuan dan hasrat kami juga untuk menyumbang dan membangunkan masyarakat dan negara,” tambah Dato’ Haji Azmir.
Dalam pada itu, satu lagi program pembangunan bakat McDonald’s Malaysia iaitu Hamburger U, sebuah institusi latihan dan kemahiran dalaman, menawarkan kursus pentadbiran, kepimpinan, dan pengurusan restoran, yang memfokuskan bakat dari kumpulan pekerja semasa dan pelajar-pelajar dari universiti yang mempunyai kerjasama dengan McDonald’s Malaysia.
Antara kolaborasi universiti-industri yang telah diwujudkan adalah Program Perantis Pengurusan (MAP), Program Kebolehpasaran Kerja Graduan (GEP) dan Program Perantisan Industri (IP). Dalam masa yang sama, McDonald’s Malaysia juga mempunyai kolaborasi Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda melalui pembelajaran secara 3 Tahun Universiti – 1 Tahun Industri (3U1i), di mana sebaik selepas tamat belajar, graduan akan mendapat tawaran kerja serta-merta.
Bagi belia yang berminat menyertai Program Perantis Vokasional McDonald’s, layari bahagian kerjaya di https://www.mcdonalds.com.my/ atau e-mel kepada [email protected].
###
Empat graduan meraih anugerah terbaik atas kecemerlangan mereka sepanjang 18 bulan dalam Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia
Graduan-graduan bergembira meraikan kejayaan mereka mendapatkan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)