Rumah Ronald McDonald di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah Bakal Dibuka 2023
05 Aug 2022

KOTA KINABALU, 5 Ogos 2022 – Rumah Ronald McDonald ke-empat di Malaysia yang akan dibuka pada suku pertama 2023, bakal mengalu-alukan keluarga yang mempunyai anak yang sedang menerima rawatan perubatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).

Hasrat ini telah dimeterai dalam satu majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di hospital tersebut antara Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada hari ini. RMHC Malaysia telah diwakili oleh Dato’ Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia dan Mohd Nasri Mohd Nordin, Pengurus Besar, RMHC Malaysia, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diwakili oleh Datuk Harjeet Singh A/L Hardev Singh selaku Ketua Setiausaha, KKM  dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) diwakili oleh Dr. Marcus Netto selaku Pengarah.

Upacara menandatangani perjanjian persefahaman ini disaksikan oleh Datuk Ir. Shahelmey Bin Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap EXCO Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Kesihatan II, dan Datuk Dr. Rose Nani Mudin, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

Rumah Ronald McDonald ke-empat ini akan dibina dalam pekarangan HWKKS dan akan dilengkapi dengan 16 bilik keluarga termasuk kemudahan lain untuk kegunaan keluarga seperti dapur dan ruang makan, bilik dobi, ruang istirahat, bilik permainan kanak-kanak dan juga bilik solat.

Rumah Ronald McDonald adalah kemudahan penginapan sementara atau “home away from home” untuk keluarga yang mempunyai anak yang dirawat di hospital. Fasiliti ini meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah dengan kos penginapan yang sangat berpatutan  bagi membolehkan ahli keluarga menginap berdekatan dengan anak mereka ketika sedang mendapatkan rawatan perubatan.

“Rumah Ronald McDonald pertama di Malaysia telah dibina pada tahun 1999, bertujuan menawarkan penginapan yang mudah, selesa dan berpatutan dalam pekarangan hospital kepada keluarga pesakit kanak-kanak. Kami mahu meringankan beban kewangan dan emosi yang dihadapi keluarga terlibat, terutamanya yang daripada golongan B40, di mana anak mereka perlu mendapatkan rawatan perubatan. Memberi sokongan kepada golongan masyarakat yang memerlukan ketika waktu-waktu sukar adalah teras utama bagi Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia),” kata Dato’ Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

“Pembinaan Rumah Ronald McDonald ke-empat di negara ini dapat dilakukan dengan jayanya hasil sumbangan ikhlas orang ramai melalui tabung derma RMHC dan kios pesan sendiri yang terdapat di lebih 300 restoran McDonald’s di seluruh negara,” tambah Dato’ Azmir. 

Selain Rumah Ronald McDonald di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah yang dijangka dibuka pada 2023, terdapat tiga lagi Rumah Ronald McDonald yang beroperasi di Semenanjung Malaysia. Salah satunya terletak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) di Kuala Lumpur yang sudah lebih 20 tahun beroperasi; satu lagi di Hospital Tunku Azizah di Kuala Lumpur dan yang lainnya di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) di Kubang Kerian, Kelantan. 

Kini terdapat lebih 370 Rumah Ronald McDonald di seluruh dunia yang menyediakan penginapan kepada keluarga yang mempunyai anak yang dirawat di hospital-hospital dan fasiliti-fasiliti perubatan berdekatan.

“Kami sangat berbangga dapat menyokong inisiatif yang sangat bermanfaat seperti ini, memandangkan kita melihat banyak keluarga yang terpaksa berulang-alik untuk menjaga anak mereka yang sedang menerima rawatan perubatan di hospital. Rumah Ronald McDonald dibina dalam pekarangan hospital yang membolehkan keluarga yang terlibat mendapat kemudahan penginapan dengan harga berpatutan dan supaya mereka berada berdekatan dengan anak apabila diperlukan. Ini secara langsung memberikan ketenteraman kepada keluarga serta mengurangkan beban yang dihadapi. Kerjasama antara pihak Kementerian dan RMHC Malaysia menyatakan komitmen kami untuk terus membantu keluarga untuk sentiasa dekat bersama melalui inisiatif ini,” kata Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Kesihatan II

RMHC Malaysia melaksanakan empat program utama untuk membantu kanak-kanak di Malaysia iaitu Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, ‘Gift of Smile’ dan pek Kembali ke Sekolah untuk kanak-kanak sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan. Program-program ini berdasarkan tiga teras utama RMHC Malaysia iaitu Kesihtan, Pendidikan dan Kebajikan.

Selain tabung derma RMHC Malaysia, pelanggan juga boleh membuat sumbangan melalui Kios Pesan Sendiri di restoran McDonald’s dan juga saluran pembayaran digital seperti PayPal, Boost, e-dompet Touch ‘N Go dan platform e-dagang Shopee.

- TAMAT -

Previous Article
McDonald’s Malaysia Membayar Zakat Korporat RM200,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)
KUBANG KERIAN, 12 Julai 2022 – McDonald’s Malaysia pada hari ini telah membayar zakat korporat berju...
Next Article
McDonald’s Malaysia Menzahirkan Penghargaan kepada 65,000 Penunggang Penghantaran Menerusi Inisiatif #MekdiBelanjaRider
KUALA LUMPUR, 15 September 2022 – McDonald’s Malaysia telah menyumbangkan hidangan McChicken percuma...