Program Perantis Vokasional McDonald's Terus Perkasa Belia Malaysia, Lebih Ramai Perantis Sambung Pengajian Tinggi
17 Apr 2024

PETALING JAYA, 17 APRIL 2024 – Program Perantis Vokasional McDonald’s mengukuhkan lagi kedudukannya dengan menawarkan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 dalam bidang restoran perkhidmatan segera. Diploma yang ditawarkan merupakan kesinambungan bagi Program Perantis Vokasional McDonald’s sedia ada, membolehkan para perantis yang telah berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Seramai 20 graduan SKM Tahap 3 di bawah Program Perantis Vokasional McDonald’s telah diraikan di Majlis Perasmian Diploma Kemahiran Malaysia Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia, hari ini.

“Di McDonald’s Malaysia, warga kerja kami adalah keutamaan kami. Sebagai sebuah syarikat yang prihatin, kami komited memastikan mereka dapat memenuhi potensi diri dan meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran dalam industri restoran perkhidmatan segera. Sesungguhnya, McDonald’s bukan sekadar tempat kerja, tetapi tempat untuk belia Malaysia membina kerjaya yang bermakna, selain peluang untuk meningkatkan lagi tahap ekonomi keluarga masing-masing,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

Program Perantis Vokasional McDonald’s mula dilaksanakan pada tahun 2018 dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia, berdasarkan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) iaitu kaedah latihan berlandaskan industri. Selepas memperoleh SKM Tahap 3, para pelajar boleh menyambung pengajian ke DKM Tahap 4 yang setara dengan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan diploma di institut-institut pengajian tinggi lain. 

Sehingga kini, terdapat lebih 4,000 perantis yang sedang mengikuti dan telah pun tamat SKM Tahap 3 di Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia. Sebagai permulaan, kumpulan pertama iaitu seramai 20 graduan SKM Tahap 3 bakal meneruskan pengajian ke DKM Tahap 4 hingga ke DLKM Tahap 5 kelak.

DKM Tahap 4 dalam bidang restoran perkhidmatan segera yang ditawarkan di Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia mengambil masa selama 12 bulan, dengan menggabungkan kelas teori dan latihan praktikal di restoran McDonald’s. Perantis yang terlibat juga ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia, di samping mendapat gaji penuh, sepanjang mengikut pengajian ini. Selain itu, para perantis juga diberikan pelbagai lagi manfaat seperti kemudahan tempat tinggal bagi yang memerlukan, insurans perubatan, makan minum dan sebagainya. Ini merupakan sebahagian insentif pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) untuk peningkatan kerjaya pekerja.

“Menyediakan peluang pendidikan dan kerjaya kepada golongan belia yang berminat merupakan sebahagian daripada teras syarikat dalam mewujudkan impak positif dalam masyarakat. Malah, sejak Program Perantis Vokasional McDonald’s diperkenalkan, 95 peratus perantis memilih untuk terus mengembangkan kerjaya di McDonald’s dan ramai antara mereka telahpun memegang jawatan penting di restoran. Dengan kesungguhan mereka, pasti lebih banyak pencapaian bakal mereka perolehi pada masa depan dan secara tidak langsung menyumbang kepada perkhidmatan berkualiti dan kejayaan berterusan McDonald’s Malaysia,” tambah Dato’ Azmir. 

McDonald’s Malaysia memperuntukkan lebih RM10 juta setiap tahun bagi melaksanakan program-program pembangunan bakat dan kemahiran untuk seluruh warga kerjanya di pelbagai peringkat jawatan.

###

Previous Article
Berkongsi Rezeki di Bulan Ramadan, RMHC Malaysia Santuni Anak Yatim
KUALA LUMPUR, 3 APRIL 2024 – Sempena bulan Ramadan yang mulia, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald M...