McDonald’s Malaysia Umumkan Zakat RM2 Juta Bagi Tahun 2025, Serlah Tanggungjawab Syarikat 100% Milik Orang Islam
McDonald’s Malaysia menyerahkan mock cheque bernilai RM300,000 sebagai simbolik penyerahan zakat kepada PPZ-MAIWP.
PUTRAJAYA, 19 Ogos 2025 – Menyerlahkan peranannya sebagai syarikat 100% milik orang Islam, McDonald’s Malaysia mengumumkan pengeluaran zakat korporat sebanyak RM2 juta pada tahun ini. Buat julung kalinya, McDonald’s Malaysia akan menjelajah ke semua 14 negeri di Malaysia bagi menyerahkan zakat kepada pusat-pusat zakat negeri masing-masing, dengan majlis berlangsung di restoran-restoran McDonald’s terpilih.
Menerusi salah satu majlis penyerahan yang berlangsung di McDonald’s Pandu-Lalu Putrajaya Presint 2 pada hari ini, McDonald’s Malaysia mengumumkan sejumlah RM300,000 disumbangkan kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP). Penyerahan itu disempurnakan oleh Dato’ Haji Azmir Jaafar selaku Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia kepada Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP sambil disaksikan oleh Sahibus Samahah Tuan Ahmad Fauwaz Fadzil, Mufti Wilayah Persekutan.
“McDonald’s Malaysia amat bersyukur dapat melunaskan pembayaran zakat yang menjadi sebahagian daripada Rukun Islam kita. Sejak 2017, apabila McDonald’s Malaysia menjadi syarikat 100% milik orang Islam, kami telah mengeluarkan zakat sebanyak RM14 juta. Istimewanya pada tahun ini, syarikat kami bukan sahaja membayar zakat sebagai tuntutan fardu, tetapi juga berkongsi kesyukuran ini bersama masyarakat untuk membantu mereka yang memerlukan dan menyantuni pelanggan yang sentiasa menyokong kami selama ini,” kata Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.
“Di pihak PPZ-MAIWP, kami amat berterima kasih kepada McDonald’s Malaysia kerana sentiasa menjadi syarikat korporat yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan zakat perniagaan. Selain ia merupakan kewajipan bagi yang berkemampuan, sumbangan zakat ini juga membantu kami untuk mendekati lebih ramai asnaf yang memerlukan. Kami berharap, lebih banyak usaha bersama McDonald’s Malaysia dapat dilaksanakan untuk membantu asnaf secara berpanjangan pada masa akan datang,” kata Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP.
Pada majlis yang sama, McDonald’s Malaysia turut berbesar hati menyumbangkan 100 Kotak Rezeki berisi barangan keperluan harian kepada keluarga asnaf sebagai bantuan terus bagi meringankan beban mereka. Bagi tujuan itu, McDonald’s Malaysia bersama PPZ-MAIWP turut menjalankan program ziarah rumah ke rumah untuk menyantuni serta menyumbangkan Kotak Rezeki kepada yang memerlukan di sekitar Putrajaya.
Selain itu, syarikat turut menyediakan 1,000 hidangan percuma di setiap lokasi, termasuk Putrajaya hari ini, untuk berkongsi kesyukuran dengan pelanggan yang hadir dan sebagai tanda terima kasih atas sokongan terhadap perniagaan syarikat selama ini.
Terdahulu, McDonald’s Malaysia turut menjelajah ke Negeri Perak, Terengganu dan Selangor bagi menjayakan majlis penyerahan zakat ini kepada Majlis Agama Negeri masing-masing.
Berhasrat untuk menjadi jiran yang prihatin kepada komuniti sekitar restorannya, setiap tahun McDonald’s Malaysia akan menjalankan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan, melibatkan semua lebih 370 restorannya di seluruh negara menerusi program Komuniti @ McDonald’s.
“Sebagai syarikat yang prihatin, McDonald’s Malaysia juga menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sejak 2017. Antaranya menyambut hari jadi anak-anak yatim, menyumbang moreh ke masjid dan surau, menyantuni warga emas di pusat jagaan pada musim perayaan dan lain-lain lagi. Kami sentiasa mencari peluang untuk mendekati dan menyantuni komuniti daripada semua lapisan masyarakat,” tambah Dato’ Haji Azmir.
Pada tahun 2019, McDonald’s Malaysia merupakan entiti perniagaan yang pertama menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP. Sijil ini mengiktirafkan perniagaan Malaysia bagi sumbangan zakat korporat mereka di negeri-negeri Wilayah Persekutuan.
Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat ini melengkapi Pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sedia dimiliki McDonald’s Malaysia.
-TAMAT-
Selain berzakat, McDonald’s Malaysia juga menyumbangkan Kotak Rezeki kepada 100 keluarga asnaf
Bagi berkongsi kesyukuran, McDonald’s Malaysia menyumbangkan 1,000 pek hidangan percuma kepada pelanggan dan komuniti setempat yang hadir