McDonald’s Malaysia Membayar Zakat Perniagaan RM600 ribu kepada Lembaga Zakat Selangor
29 Mar 2022

BANTING, 28 Mac 2022 - McDonald’s Malaysia hari ini telah membayar zakat korporat berjumlah RM600 ribu kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). Pembayaran bagi tahun 2022 ini merupakan jumlah tertinggi yang telah dibayar kepada LZS semenjak McDonald’s Malaysia mula membayar zakat perniagaan enam tahun lalu, sejak syarikat itu diambil alih Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.

Selain daripada bayaran zakat, McDonald’s Malaysia juga telah menyerahkan sumbangan wakalah agihan zakat bernilai RM500 dalam bentuk wang tunai dan baucar kepada 50 buah keluarga terpilih yang terjejas banjir pada penghujung tahun lepas. 

Majlis pembayaran zakat korporat ini telah dihadiri oleh YBhg. Datuk Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Sahibus Samahah Dato’ Dr. Haji Anhar Bin Haji Opir, yang menyaksikan sumbangan Zakat Korporat McDonald’s Malaysia oleh Encik Azhar Darbi, Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia. kepada Encik Muhd Fikri Naim bin Harun, Ketua Divisyen Kutipan, LZS.

“Menyumbang kembali kepada masyarakat yang memerlukan adalah nilai teras McDonald’s Malaysia, sama ada melalui program tanggungjawab sosial korporat mahupun melalui sumbangan zakat. Oleh itu, sumbangan kami pada hari ini amat bermakna di mana kami mampu menyumbang zakat sebanyak RM600 ribu bagi membantu komuniti yang amat memerlukannya, khususnya golongan yang terjejas akibat banjir di daerah Banting, Selangor,” kata Encik Azhar Darbi, Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman, McDonald’s Malaysia.

Setakat tahun 2021, McDonald’s Malaysia telah membayar zakat korporat sebanyak RM9.85 juta untuk negeri-negeri di seluruh Malaysia. McDonald’s Malaysia juga merupakan antara pembayar zakat korporat tertinggi bagi negeri Selangor.

“LZS amat mengharapkan sumbangan berterusan daripada syarikat korporat di luar sana seperti McDonald’s Malaysia demi menyantuni kelangsungan asnaf di Selangor. Lebih-lebih lagi jumlah keluarga asnaf fakir dan miskin dijangka meningkat kesan daripada situasi ekonomi sekarang. Ini bermakna keperluan agihan zakat juga akan turut meningkat seiring dengan pertambahan asnaf di Selangor,” kata Encik Muhd Fikri Naim bin Harun, Ketua Divisyen Kutipan, Lembaga Zakat Selangor.

McDonald’s Malaysia telah diambil alih oleh Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Reza Group di Arab Saudi pada 1 Disember 2016. Dengan pengambilalihan ini, syarikat khidmat segera itu kini dimiliki oleh pemegang saham atau pelabur yang majoritinya terdiri daripada umat Islam.

Selain membayar zakat, McDonald's Malaysia juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) untuk terus mendukung komitmen Halalnya kepada para pengguna dalam semua aspek perniagaan. McDonald’s Malaysia juga terlibat secara aktif dalam pelbagai program Halal termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), HALFEST dan World Halal Conference. 

-TAMAT-

Previous Article
Calonkan ‘Cikgu Luar Biasa’ untuk Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s
KUALA LUMPUR, 16 Mac 2022 – Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald’s kini kembali buat tahun keenam...
Next Article
McDonald’s Malaysia Serah Zakat Perniagaan RM500 ribu Kepada PPZ-MAIWP, Hulur Sumbangan Ramadhan
KUALA LUMPUR, 8 April 2022 - McDonald’s Malaysia hari ini telah menyerahkan zakat perniagaan berjuml...