McDonald’s Malaysia Membayar Zakat Korporat RM200,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)
13 Jul 2022

KUBANG KERIAN, 12 Julai 2022 – McDonald’s Malaysia pada hari ini telah membayar zakat korporat berjumlah RM200,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), serta melaksanakan ibadah qurban dan mengagihkan daging qurban kepada golongan asnaf dengan kerjasama MAIK. Pembayaran zakat korporat ini merupakan jumlah tertinggi yang pernah dibayar kepada negeri Kelantan sejak McDonald’s Malaysia mula membayar zakat korporat pada tahun 2017, sejak diambil alih Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.

Tahun ini, McDonald’s Malaysia telah menyumbangkan 22 ekor lembu bagi ibadah qurban di beberapa negeri. Daripada jumlah itu, 12 ekor adalah khusus bagi negeri Kelantan sahaja, iaitu yang terbanyak setakat ini, dimana pembahagian daging telah diagihkan kepada golongan asnaf yang telah dikenal pasti oleh pihak MAIK.

“Sempena Hari Raya Aildiladha, adalah menjadi harapan kami agihan daging qurban ini dapat serba sedikit meringankan beban keluarga asnaf serta membenarkan mereka untuk meraikan perayaan pada tahun ini dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Ini merupakan sebahagian daripada usaha kemasyarakatan kami untuk mewujudkan impak positif dalam komuniti di mana kami beroperasi seperti di Kubang Kerian, Kelantan. Menyumbang kepada golongan yang memerlukan merupakan satu daripada nilai teras syarikat yang sentiasa diutamakan,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

Majlis pembayaran zakat korporat dan sumbangan qurban ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan, Yang Dipertua MAIK, yang juga menghadiri majlis sebagai penerima sumbangan zakat korporat McDonald’s Malaysia daripada Dato’ Azmir Jaafar.

Sehingga tahun ini, McDonald’s Malaysia telah membayar zakat perniagaan berjumlah RM9.85 juta untuk negeri-negeri di seluruh Malaysia sejak syarikat mula membayar zakat enam tahun yang lalu.  

McDonald’s Malaysia juga berkesempatan untuk mengagihkan daging qurban dan sumbangan duit raya kepada 20 wakil keluarga asnaf yang diraikan bersama di dalam majlis tersebut bertempat di McDonald’s Kubang Kerian.

“Saya bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sekali lagi mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada McDonald’s Malaysia yang telah mencari inisiatif untuk menyebarkan amal soleh dan mengadakan majlis sebagaimana pada hari ini. Apa yang kita sama-sama harapkan daripada sumbangan bayaran Zakat Korporat McDonald’s Malaysia kepada MAIK pada hari ini ditambah lagi dengan sumbangan lembu-lembu korban daripada pihak McDonald’s kepada masyarakat Islam Kelantan akan mampu meningkatkan darjat ketakwaan kita semua kepada Allah Suubhanahu wa Taala di samping membantu meringankan beban para asnaf khususnya di negeri Kelantan,” titah Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam.

McDonald’s Kubang Kerian di mana majlis berlangsung, merupakan restoran terbaru McDonald’s di Kelantan yang mula beroperasi pada Mac lalu. Selain menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan di sekitar lokasi restoran ini, McDonald’s  berharap restoran ini dapat membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat, seterusnya meningkatkan tahap ekonomi keluarga mereka.

Selain membayar zakat, McDonald's Malaysia juga bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan Halal Development Corporation untuk terus mendukung komitmen Halal dan melibatkan diri dalam aktiviti Halal dalam semua aspek perniagaan. McDonald’s Malaysia juga terlibat secara aktif dalam pelbagai program Halal termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), HALFEST dan World Halal Conference. 

-TAMAT -

Previous Article
BERKAITAN DAKWAAN TERHADAP STATUS HALAL PRODUK-PRODUK MCDONALD'S MALAYSIA
Merujuk kepada dakwaan di media sosial yang mempersoalkan status halal produk-produk McDonald's Mala...
Next Article
Rumah Ronald McDonald di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah Bakal Dibuka 2023
KOTA KINABALU, 5 Ogos 2022 – Rumah Ronald McDonald ke-empat di Malaysia yang akan dibuka pada suku p...