McDonald’s Malaysia Umum Pelaburan RM1 Bilion Bagi Memacu Pertumbuhan Nasional dan Pembangunan Belia
 Hamid Ahmad, Vice President & Chief Development Officer, McDonald’s Malaysia, Wong Xinru, Restaurant General Manager, McDonald’s Titiwangsa, Dato’ Haji Azmir Jaafar, Managing Director & Local Operating Partner (1)1.jpg)
KUALA LUMPUR, 6 FEBRUARI 2026 – McDonald’s Malaysia hari ini mengumumkan pelan pelaburan bernilai RM1 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang, mengukuhkan komitmennya dalam pengembangan restoran, penciptaan pekerjaan, serta peningkatan kebolehpasaran belia di seluruh negara. Pelaburan ini mencerminkan visi jangka panjang syarikat untuk membangunkan tenaga kerja Malaysia yang kukuh dan bersedia bagi masa depan, di samping meneruskan usaha memodenkan rangkaian restoran di seluruh negara.
Pengumuman ini bersempena dengan pembukaan semula McDonald’s Titiwangsa Drive-Thru di Jalan Pahang, restoran pandu lalu pertama McDonald’s di Malaysia, yang kini dibuka dengan identiti baharu sebagai restoran konsep Luna pertama di negara ini dan yang kedua di Asia.
McDonald’s Malaysia mencatat pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 26 peratus pada 2025, meskipun beroperasi dalam persekitaran perniagaan yang mencabar. Prestasi ini didorong oleh permintaan pelanggan yang berterusan, tawaran nilai hebat, inovasi berterusan dalam menu serta fokus kukuh terhadap kecemerlangan operasi di seluruh rangkaian restorannya.
Dengan lebih 370 restoran beroperasi ketika ini, rangkaian restoran khidmat segera itu merancang untuk membuka 100 restoran baharu dalam tempoh lima tahun akan datang. Pengembangan ini dijangka mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia, sejajar dengan komitmen syarikat terhadap pengambilan pekerja tempatan dan pembangunan kerjaya jangka panjang dalam organisasi.
McDonald’s Malaysia turut menyokong rantaian bekalan tempatan yang kukuh, dengan 75 peratus produknya diperoleh dan dihasilkan secara tempatan. Dengan menyokong pembekal tempatan pada skala besar, syarikat menyumbang kepada pengukuhan rantaian bekalan domestik dan membantu merancakkan ekonomi tempatan.
“Pertumbuhan kami dibina melalui disiplin, dedikasi dan fokus yang jelas terhadap pelaburan dalam perkara yang paling penting - iaitu restoran, kakitangan dan komuniti sekeliling,” kata Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.
“Apabila kami terus berkembang, kami komited untuk mewujudkan pekerjaan stabil dan peluang kerjaya untuk rakyat Malaysia di seluruh negara.”
McDonald’s Malaysia kini mempunyai lebih 16,000 kakitangan rakyat Malaysia dan mengekalkan dasar pengambilan pekerja 100 peratus tempatan. Kru menerima latihan berstruktur di tempat kerja dan sokongan pembangunan yang membolehkan mereka bergerak ke peranan penyeliaan dan pengurusan.
“Kami memahami bahawa bagi ramai belia Malaysia, McDonald’s adalah pengalaman kerja pertama mereka,” kata Azmir. “Kami mengambil tanggungjawab ini dengan serius. Pekerjaan pertama boleh menjadi titik perubahan apabila disokong oleh latihan, bimbingan dan peluang untuk berkembang.”
Komponen utama dalam pelaburan RM1 bilion ini ialah pengembangan berterusan Akademi Vokasional McDonald’s, yang dibangunkan melalui kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Program ini menggabungkan latihan praktikal di restoran dengan pembelajaran berstruktur dalam kelas bagi mempersiapkan belia untuk kerjaya jangka panjang dan kemahiran relevan bertaraf antarabangsa. Peserta boleh memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).
Sejak 2018, program ini telah melatih lebih daripada 5,000 belia, dengan lebih 80 peratus memilih untuk meneruskan kerjaya di McDonald’s Malaysia. Akademi ini memberikan kesan signifikan kepada golongan kurang bernasib baik termasuk belia B40, OKU dan komuniti Orang Asli.
Selain pembangunan restoran dan tenaga kerja, pelan pelaburan RM1 bilion ini turut merangkumi pelaburan berterusan dalam teknologi bagi mengukuhkan kecekapan operasi dan keterlibatan pelanggan. Ini termasuk penambahbaikan sistem tempat jualan (POS), platform digital seperti aplikasi McDonald’s, dan program kesetiaan pelanggan untuk menyokong operasi lebih lancar dan pengalaman pelanggan lebih dipertingkat.
Sebagai sebahagian daripada strategi operasi jangka panjang, McDonald’s Malaysia terus melabur dalam operasi restoran yang lebih cekap dan bertanggungjawab, mengukuhkan komitmen terhadap kelestarian. Inisiatif kelestarian McDonald’s Malaysia termasuk pemasangan panel solar di lebih 100 restoran di seluruh negara, dengan rancangan untuk diperluas ke 100 lagi restoran menjelang akhir 2026. Inisiatif ini menyokong kecekapan tenaga dan mengurangkan impak terhadap alam sekitar. McDonald’s Malaysia juga sedang bergerak ke arah penghapusan penggunaan plastik di restorannya serta telah menggunakan bahan kitar semula untuk pembungkusan.
Di samping pengembangan perniagaan, McDonald’s Malaysia terus melabur dalam kesejahteraan komuniti di seluruh negara. McDonald’s Malaysia juga telah menganjurkan lebih 10,000 aktiviti tahunan termasuk program sokongan Ramadan bersama komuniti masjid dan surau, sambutan perayaan, lawatan ke rumah anak yatim dan rumah kebajikan, serta inisiatif yang bertumpukan kepada kesihatan dan pendidikan kanak-kanak melalui kerjasama dengan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia.
“Sebagai syarikat yang komited untuk menyajikan makanan dan memupuk komuniti, usaha memberi kembali adalah sebahagian daripada nilai dalaman dan semulajadi kami,” kata Azmir. “Kami adalah sebuah syarikat Malaysia, oleh itu adalah suatu yang penting untuk memastikan bahawa kejayaan kami memberikan impak bermakna kepada komuniti yang kami memberikan perkhidmatan.”
Dengan pelaburan yang berterusan dalam pengembangan restoran, pembangunan belia secara berstruktur dan program berorientasikan komuniti, McDonald’s Malaysia berada pada landasan yang kukuh untuk pertumbuhan berterusan dan sumbangan jangka panjang kepada negara.
###

Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan & Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia menyampaikan ucapan mengenai pelan pelaburan McDonald’s sebanyak RM1 billion di restoran Pandu-Lalu Titiwangsa di Jalan Pahang.
 Wong Xinru, Restaurant General Manager, McDonald’s Titiwangsa, (Centre) Dato’ Haji Azmir Jaafar, Managing Director & Local Operating Partner, McDonald’s Malaysia, (Right) Melati Abdul Hai, Senior Vice President & Chief Impact O.jpg)
(Kiri) Wong Xinru, Pengurus Besar Restoran, McDonald’s Titiwangsa, (Tengah) Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan & Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia dan (Kanan) Melati Abdul Hai, Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Impak, McDonald’s Malaysia bersedia untuk merasmikan gimik pelancaran restoran Pandu-Lalu Titiwangsa yang diperbaharui dengan reka bentuk Luna.
 Hamid Ahmad, Vice President & Chief Development Officer, McDonald’s Malaysia, Wong Xinru, Restaurant General Manager, McDonald’s Titiwangsa, Dato’ Haji Azmir Jaafar, Managing Director & Local Operating Partner, Mc.jpg)
(Dari kiri ke kanan) Hamid Ahmad, Naib Presiden & Ketua Pegawai Pembangunan, McDonald’s Malaysia, Wong Xinru, Pengurus Besar Restoran, McDonald’s Titiwangsa, Dato' Azmir Jaafar, Pengarah Urusan & Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia dan Melati Abdul Hai, Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Impak, McDonald’s Malaysia di hadapan restoran Pandu-Lalu Titiwangsa yang telah diperbaharui semula dengan reka bentuk Luna.

Dato' Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan & Rakan Operasi Tempatan, McDonald's Malaysia di hadapan restoran Pandu-Lalu Titiwangsa yang diperbaharui dengan reka bentuk Luna.