Calonkan ‘Cikgu Luar Biasa’ untuk Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s
16 Mar 2022

KUALA LUMPUR, 16 Mac 2022 – Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald’s kini kembali buat tahun keenam bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru yang menjalankan tanggungjawab melebihi tugas-tugas hakiki dalam mendidik, membentuk dan memberi inspirasi kepada anak bangsa. Rakyat Malaysia boleh mencalonkan guru yang telah memberi inspirasi kepada diri mereka mulai 10 Mac hingga 2 April 2022 dengan berkongsi kisah ‘Cikgu Luar Biasa’ mereka sama ada dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau Bahasa Cina.

AGI McDonald’s dianjurkan setiap tahun oleh restoran khidmat segera ini sebagai sebahagian daripada komitmen bagi menyumbang kepada masyarakat di sekitar lokasi operasinya. Melalui AGI McDonald’s, syarikat terus mengiktiraf golongan pendidik yang sentiasa komited dan berdedikasi demi mendidik pemimpin masa hadapan negara.

“Kami melihat banyak perubahan dalam sistem pendidikan sejak dua tahun lalu. Guru perlu melalui peralihan daripada pengajaran di dalam kelas kepada kelas secara dalam talian, termasuklah versi lain yang melibatkan pengajaran secara hibrid. Oleh yang sedemikian, pengiktirafan terhadap jasa guru menjadi semakin penting dan Anugerah Guru Inspirasi yang dianjurkan pada tahun 2022 ini berhasrat untuk terus meraikan guru atas usaha mereka memastikan pendidikan golongan pelajar di seluruh negara kekal terjamin,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

Tambah Dato’ Azmir, “Guru-guru seperti ini memberi inspirasi kepada pelajar untuk membesar sebagai individu yang mengenali potensi diri dan aspirasi kehidupan mereka. Mereka sanggup berkorban demi memenuhi keperluan pelajar, pada masa sama membawa pengaruh positif sehingga mewujudkan kesan besar dan mengubah perspektif kehidupan para pelajar.”

Anugerah ini akan memilih 25 guru sebagai pemenang, dimana mereka akan menerima wang tunai RM5,000, manakala pencalon yang mencalonkan guru yang menang akan menerima baucar hadiah McDonald’s bernilai RM200 sebagai tanda penghargaan.

Pelajar, guru dan orang awam boleh mencalonkan guru luar biasa dan berkongsi kisah mereka dengan McDonald’s melalui tiga langkah mudah:

Langkah 1 – Log masuk ke http://www.mcdonalds.com.my/anugerahguruinspirasi

Langkah 2 – Hantar borang pencalonan dan tulis bagaimana guru anda telah memberi inspirasi kepada diri anda (dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau Bahasa Mandarin)

Langkah 3 – Hantar gambar guru anda sebagai dokumen sokongan (tidak wajib)

Guru yang terpilih menerima anugerah ini dinilai oleh panel juri yang terdiri daripada wakil-wakil McDonald’s, Kementerian Pendidikan dan media. Kriteria pemilihan dalam mengenal pasti guru yang layak termasuklah kemampuannya meningkatkan prestasi akademik pelajar, menggunakan kaedah pengajaran berinovasi dan di luar kotak, melaksanakan tanggungjawab melebihi tugas hakiki untuk membantu pelajar dan memberi impak positif kepada diri pelajar.

AGI McDonald’s pertama kali diperkenalkan pada tahun 2017 dan sehingga kini telah menerima lebih 19,000 pencalonan dengan lebih 106 guru telah menerima anugerah ini di seluruh negara. Inisiatif tahunan ini merupakan platform untuk menghargai guru luar biasa yang menjalankan tanggungjawab melebihi tugas-tugas hakiki dalam membimbing pelajar, pada masa sama membolehkan pelajar meneroka cara pembelajaran yang bersesuaian dengan diri mereka, sekaligus menawarkan persekitaran akademik yang kondusif demi kecemerlangan pelajar.

Membantu masyarakat merupakan nilai teras McDonald’s Malaysia. Selain meraikan golongan pendidik, McDonald’s Malaysia juga mendekati dan menyumbang kepada masyarakat melalui Program Komuniti @ McDonald’s & RMHC yang dijalankan sepanjang tahun. Inisiatif tahun lalu termasuklah menyambut hari jadi lebih 12,000 kanak-kanak di 400 rumah anak yatim di seluruh negara dan mengagihkan pek Kembali ke Sekolah bernilai RM1.66 juta kepada 21,000 pelajar. McDonald’s juga menyokong Persatuan Kebajikan Ronald McDonald yang memberi tumpuan kepada pendidikan, kesihatan dan kebajikan golongan kanak-kanak dan keluarga mereka memerlukan.

Nota:

● Mana-mana pelajar, ibu bapa atau rakan guru boleh mencalonkan guru yang menepati kriteria yang telah disebut di laman web

● Guru yang dicalonkan mestilah warganegara Malaysia dan mengajar di mana-mana sekolah kerajaan atau swasta di mana-mana negeri di Malaysia

● Pemenang akan dipilih oleh panel juri berdasarkan beberapa kriteria termasuk tetapi tidak terhad kepada – meningkatkan prestasi akademik pelajar, menggunakan kaedah pengajaran berinovasi dan di luar kotak, melaksanakan tanggungjawab melebihi tugas hakiki dan memberi impak positif yang berpanjangan kepada diri pelajar.

Previous Article
McDonald’s Malaysia Melancarkan Lintasan Pejalan Kaki “Fries” Yang Ikonik di Ibu Kota Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR, 15 MAC 2022 – Hari ini, McDonald’s Malaysia melakar sejarah ibu kota Kuala Lumpur deng...
Next Article
McDonald’s Malaysia Membayar Zakat Perniagaan RM600 ribu kepada Lembaga Zakat Selangor
BANTING, 28 Mac 2022 - McDonald’s Malaysia hari ini telah membayar zakat korporat berjumlah RM600 ri...