Past Years
Winners

Madam Zanariah bt Mohd. Zudin

From SMK Tengku Abdullah, Pekan, Pahang

Madam Zanariah bt Mohd. Zudin's photo

Nominated by MUHAMMAD AMIN AKRAM BIN AMINALLAH

"Kau berikan mama. Kasih sayang maha suci. Betapa agungnya. Tidak ternilaikan. Oh Mama, oh mamaku" dipetik dari lagu mawar putih buat mama oleh penyanyi asal Sharifah Aini. Begitulah gambaran kasih sayang seorang Mama, gelaran yang kini menjadi milik seorang insan yang dahulunya bergelar guru matapelajaran matematik bagi diriku. Hidupku mula menunjukkan pelanginya apabila aku mengenali beliau. Puan Zanariah Bt Mohd Zudin, 38, seorang guru matematik yang mempuyai sifat keibuan yang tinggi serta sentiasa komited dalam amanah yang dipikulnya sebagai seorang warga pendidik. Puan Zanariah, mempunyai kesempurnaan personaliti sebagai seorang guru iaitu peramah, penyayang, mengambil berat, lemah lembut, cekal, sentiasa mendahulukan pelajarnya serta lembut hati yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan. Beliau merupakan tenaga pengajar di SMK Tengku Abdullah Pekan, Pahang. Seorang guru yang sangat disayangi dan tidak asing lagi sentiasa diingati oleh kesemua anak murid, bekas anak murid dan rakan guru termasuk pengetua sekolah tersebut iaitu Tn Hj Suhaimi Bin Hussain kerana sikap amanah dan cekapnya beliau dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Bagiku juga apabila melibatkan kerja, Beliau merupakan insan yang boleh dimartabatkan sebagai contoh dari segi ketekunan dan ketabahannya. Sepanjang karier beliau sebagai warga pendidik, antara pengorbanan yang paling diingati adalah Puan Zanariah pernah menaiki bas sejauh 25KM semasa sarat hamil untuk memenuhi tanggungjawab bagi mencurahkan ilmu kepada anak didik. Maklumlah pada waktu itu, kereta merupakan sesuatu yang hanya mampu dimiliki oleh golongan T20 sahaja, berbeza dengan arus pemodenan kini dimana kereta merupakan suatu kewajipan. Disebabkan hal itu, semenjak 2017 Puan Zanariah menghidap hypercordosis iaitu sakit tulang belakang yang menyebabkan beliau sukar untuk berdiri lama ketika mengajar dan perlu menjalani fisioterapi setiap 2 minggu. Walaubagaimanapun beliau masih menguatkan diri dengan mengajar secara berdiri kerana bagi beliau murid adalah perkara utama dan lebih memberi perhatian apabila guru mengajar secara berdiri apatah lagi bagi subjek matematik dan matematik tambahan. Belanja makan, membelikan buku latihan, memberi semangat secara lisan, sanggup datang untuk membuat kelas tambahan..?? Itu sebenarnya adalah perkara normal buat seorang guru, Tetapi apa yang dilakukan oleh Puan Zanariah atau gelaran khas bagi diriku iaitu "Mama" telah melakukan sesuatu yang membuktikan bahawa beliau adalah guru inspirasi sebenar. Aku merupakan seorang yang aktif dalam acara badminton, paling tidak disangka mama sanggup untuk menaja kelengkapan badminton berjenama Yonex berjumlah RM500 tanpa aku perlu membayar kembali. Oleh disebabkan itu, aku berjaya meraih gelaran juara sebanyak 3 kali berturut-turut. Peristiwa yang memberi impak besar dalam kehidupanku adalah mama telah mengambil aku sebagai anak angkatnya dan memberikan aku seorang Abah angkat iaitu suami beliau Encik Kamarudzaman Bin Osman, insan yang selama ini aku dambakan dalam hidup, keinginan untuk aku merasa kasih sayang seorang ayah selama 18 tahun kini hadir di depan mata. Untuk pengetahuan, aku merupakan seorang anak yatim yang telah kehilangan ayah akibat sakit jantung semasa aku masih 4 bulan dalam kandungan ibuku. Bukanlah niatku untuk mengemis kasih sayang, tetapi begitulah hakikatnya yang aku perlu lalui. Sebagai seorang guru yang berdedikasi, sepanjang aku bergelar calon STPM, mama adalah segalanya bagiku. Mama merupakan ibu keduaku, penasihatku, serta insan yang sentiasa ada untuk mendengar sebarang luahan susah sedihku. Apabila aku gembira mama turut gembira, apabila aku berduka mama turut berduka dan apabila aku cuba untuk menyembunyikan sebarang perasaan sedih, hampa mama akan tahu semuanya. Keputusan peperiksaan STPM semester 1 dan 2 ku tidaklah semegah dan sekadar cukup makan sahaja, disebabkan itu Mama telah menawarkan aku untuk menginap di rumahnya sepanjang peperiksaan semester 3 dan peperiksaan ulangan. Ianya akan menjadi lebih selesa kerana aku mempunyai bilik sendiri untuk mengulangkaji pelajaran. Disebabkan itu keputusan semester 3 dan ulanganku menunjukkan peningkatan iaitu aku mendapat 2B+2C+ dalam semester 3 dan 1A3B dalam 4 kertas ulanganku. Aku bersyukur kerana itu adalah hasil titik peluhku sendiri sepanjang bergelar calon STPM. CGPA keseluruhan STPM juga menunjukkan pencapaian perpuluhan yang tidak dijangkakan oleh diriku sendiri iaitu 3.25, ianya cukup untuk membanggakan orang yang aku kasihi dan alhamdullilah, perpuluhan itu cukup untuk aku melanjutkan pelajaran ke universiti yang diidamkan dalam bidang pendidikan untuk mencapai cita-cita sebagai warga pendidik seperti Mama dan Pengetua SMK pada masa akan datang. Insyallah. Aku mengakhiri kisah Mama atau Puan Zanariah Bt Mohd Zudin dengan petikan kata-kata dari Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia "Percayalah, tidak akan terbentuknya Malaysia yang kita cintai pada hari ini, tanpa wujudnya jutawan akhirat bergelar guru. Serta perubahan ke arah Malaysia yang kita dambakan saban hari, guru-guru adalah pemangkin kemenjadiannya". Kesimpulanya, untuk diriku, pengalaman hidup ini adalah sesuatu yang harus disyukuri. Mengenali persona baharu yang mengubah setiap sudut kehidupan iaitu Puan Zanariah adalah rezeki Tuhan yang tidak terduga dan terjangka. Puan Zanariah membuktikan bahawa beliau adalah seorang guru yang sangat memberi inspirasi & memiliki sifat penyayang yang tinggi dan telah mengubah hidupku kepada kehidupan yang lebih baik. Harapanku adalah agar guru seperti Puan Zanariah masih wujud di dunia, diberikan ganjaran di akhirat, mendapat rezeki yang melimpah serta diberi nikmat kesihatan yang panjang untuk terus menabur bakti sebagai warga pendidik. Kisahku tentang Mama Zanariah mungkin tidak sehebat kisah-kisah guru inspirasi yang lain, tetapi bagiku tidak wujud guru lain di dalam dunia ini yang berhati mulia mengambil bekas pelajar sebagai anak angkat seperti yang dilakukan oleh Puan Zanariah. Hanya 1 dalam sejuta. Guru tidak pernah meminta sebarang balasan, apa yang mereka mahukan adalah melihat kejayaan anak muridnya. Sekian tentang mama dan guru inspirasiku Puan Zanariah Bt Mohd Zudin.

 

Back