Past Years
Winners

Mr Shaiful Redwan Bin Abdul Karim

From SMK Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor

Mr Shaiful Redwan Bin Abdul Karim's photo

Nominated by Muhammad Azizi Bin Jahaya

Selama enam tahun aku berada di sekolah rendah, belum pernah sekali aku mencapai keputusan peperiksaan yang cemerlang. Aku berada di kelas terakhir, atau kelas corot. Bukan sahaja aku berada di kelas yang corot, malahan setiap kali peperiksaan aku mendapat nombor yang hampir-hampir corot juga, iaitu ke-empat atau ke-lima terakhir. Dari segi pencapaian akademik, memang keputusan aku sangat teruk. Dari segi kebolehan bergaul dan berkolaborasi dengan rakan-rakan di sekolah pun sama, aku tidak mempunyai seorang pun kawan baik. Tidak ada seorang pun yang sudi berkawan denganku. Sebaliknya mereka membuli aku. Setiap hari aku bersendirian dan tidak berbual dengan sesiapa pun di sekolah. Aku hanya bercakap apabila cikgu bertanyakan soalan kepadaku. Suaraku pun hanya cikgu sahaja yang boleh dengar. Aku tidak yakin untuk bercakap kuat dan lantang. Tidak ramai pun cikgu yang akan bertanyakan soalan kepadaku. Cikgu-cikgu beranggapan aku tidak pandai bercakap. Itulah pengalamanku selama enam tahun di sekolah rendah. Tersisih, tidak mendapat perhatian guru, dan menjadi mangsa buli. Selepas tamat sekolah rendah, aku melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah di aliran perdana. Di sekolah menengah ini terdapat 7 kelas untuk tingkatan 1. Dengan keputusan UPSR yang teruk, aku ditempatkan di kelas terakhir di tingkatan 1, iaitu Tingkatan 1 Rajin. Beberapa hari selepas aku berada di Tingkatan 1 Rajin ini, guru-guru mula masuk seorang demi seorang untuk mengajar matapelajaran masing-masing. Seorang guru mengajar Bahasa Inggeris masuk ke dalam kelas dan mengenalkan dirinya, Sir Shaiful. Sir Shaiful memberitahu yang beliau juga adalah guru disiplin di sekolahku. Mukanya hitam dan kelihatan garang. Semua pelajar takut padanya. Di tingkatan 1 aku masih dibuli, kerana mereka yang suka membuli aku di sekolah rendah dulu, ada juga di tingkatan 1 di sekolahku ini. Aku sering pulang dari sekolah menangis. Ibuku selalu menasihati aku supaya berani mempertahankan diri sendiri. Ibuku selalu pesan, kalau kena buli di sekolah, buat aduan pada cikgu disiplin. Pada suatu hari, aku memberanikan diri berjumpa Sir Shaiful. Aku malu, kerana aku tidak tahu bagaimana hendak memberitahunya atau mengadu. Aku tidak petah bercakap seperti rakan-rakan sebaya aku yang lain. Aku mengalami kelewatan bercakap (speech delay). Ya, aku seorang pelajar autistik. Sir Shaiful bertanya dan memujuk aku agar aku memberitahunya apa yang telah berlaku. Dari situlah Sir Shaiful mengetahui yang aku adalah seorang pelajar autistik. Sejak itu, setiap kali Sir Shaiful memasuki kelasku, aku mendapat perhatiannya. Setiap kali semasa mengajar, beliau akan bertanyakan soalan kepadaku. Aku faham Bahasa Inggeris kerana ibuku mengajar Bahasa Inggeris kepadaku setiap hari di rumah. Jadi apabila Sir Shaiful bertanya soalan, aku boleh menjawabnya dengan betul. Sir Shairul tersenyum dan selalu memujiku di hadapan semua murid-murid lain. Aku sangat gembira apabila dipuji. Oleh kerana pujian-pujian ini, aku selalu memberanikan diri untuk mengangkat tangan di dalam kelas untuk menjawab soalan Sir Shaiful. Kalau dulu aku tidak pernah cuba menjawab apa-apa soalan guru melainkan soalan itu memang ditujukan kepadaku. Dari seorang pelajar yang pasif, yang tidak memandang sesiapa, senyap dan takut di dalam kelas, aku kini menjadi berani dan mempunyai sedikit keyakinan. Aku mula berkeyakinan untuk menjawab soalan cikgu-cikgu lain juga. Lama kelamaan aku berkeyakinan untuk menyoal dan bertanyakan soalan kepada cikgu di dalam kelas. Aku kini tidak lagi takut dan pasif. Perubahan positif ini sangat luar biasa bagi pelajar autistik sepertiku. Semasa peperiksaan pertengahan tahun Tingkatan 1, aku mendapat tempat ketiga di dalam kelas. Antara penyebab utamanya, markah Bahasa Inggerisku adalah yang tertinggi di dalam kelasku. Aku sungguh gembira kerana berjaya mendapat tempat ketiga. Di sekolah rendah dulu aku selalu corot, dan belum pernah dalam hidupku, aku mendapat markah tertinggi dalam apa-apa matapelajaran pun. Cikgu Bahasa Inggeris ini adalah Sir Shaiful. Sir Shaiful sangat baik terhadapku. Bukan sahaja beliau setiap hari akan bertanyakan soalan kepadaku semasa mengajar di kelas, tetapi setiap kali aku terserempak dengan beliau di kantin, di pejabat, di tempat letak kereta, pendek kata di mana-mana sahaja, Sir Shaiful akan berteriak memanggil namaku, "Azizi, how are you my darling?" "How are you my son?" "How are you young man?". Aku sangat gembira apabila Sir Shaiful memanggilku begitu. Beliau akan bertanya beberapa soalan-soalan lain semata-mata untuk membuat aku berbual dengannya. Aku sedar, beliau melakukan itu untuk menggalakkan aku bercakap. Selain itu, beliau akan memberi kata-kata semangat padaku setiap kali berjumpa. "You can do it my son!". Jika Sir Shaiful tidak hadir ke sekolah kerana tugas luar, dan apabila beliau hadir semula, beliau akan memaklumkan padaku, kenapa dan ke mana beliau pergi. Sir Shaiful akan meminta maaf kerana tidak berjumpaku sepanjang ketiadaan beliau di sekolah kerana beliau tahu aku akan tercari-cari akan dirinya. Mana ada cikgu yang akan meminta maaf pada pelajarnya. Tetapi Sir Shaiful sungguh luar biasa dan tidak sama dengan cikgu-cikgu lain. Aku belum pernah jumpa cikgu seperti Sir Shaiful, yang bukan sahaja baik hati, menghiburkan dan amat prihatin terhadap pelajar istimewa sepertiku. Apabila ada pelajar yang membuliku, aku akan pergi mendapatkan Sir Shaiful dan mengadu padanya. Sir Shaiful akan mengambil tindakan serta merta dan beliau akan sentiasa menyebelahiku. Semasa peperiksaan akhir tahun Tingkatan 1, aku berjaya mendapat tempat kedua. Aku berjaya naik kelas, dan memasuki kelas ketiga, Tingkatan 2 Sinergi. Hatiku melonjak gembira apabila namaku diumumkan. Rakan-rakan sekelasku di Tingkatan 1 terpegun melihatku, seorang pelajar autistik dapat menewaskan mereka pelajar-pelajar normal. Kata-kata dan suntikan semangat Sir Shaiful lah yang banyak menyumbang kepada kejayaanku. Aku tahu, Sir Shaiful sentiasa mendoakan agar aku berjaya. Beliau mahu melihat pelajar autistik sepertiku juga mampu mengalahkan pelajar normal jika betul cara bimbingannya. Kejayaan akademik aku berterusan, aku mendapat tempat ketiga di dalam peperiksaan akhir tahun Tingkatan 2 dan sekarang aku berada di tingkatan 3. Di tingkatan 3 ini, aku berada di kelas pertama. Aku juga diberi kepercayaan dilantik menjadi seorang pengawas pada tahun ini. Apa yang aku ingin kongsikan ialah, bagaimana sikap prihatin dan kebaikan yang luar biasa seorang guru, mampu mengubah pelajar autistik sepertiku. Perubahan ini sangat bermakna padaku. Dari nombor corot dalam kelas tercorot aku berjaya ke kelas pertama. Daripada seorang yang enggan bercakap, pemalu dan tidak berkeyakinan, kepada seorang yang berani menjawab dan menyoal cikgu di dalam kelas. Daripada seorang yang sering dibuli, aku kini menjadi seorang yang dihormati. Ini adalah disebabkan oleh Sir Shaiful. Sir Shaiful telah menjadi sumber inspirasiku untuk aku berubah. Sikap baiknya yang luar biasa terhadapku membuatkan aku ingin membuktikan kepadanya "I can do it, Sir!". Semasa ibuku ke sekolah untuk mengambilku pulang, Sir Shaiful berjumpa dengan ibuku. Sir Shaiful menzahirkan pandangannya kepada ibuku dan mencadangkan ibuku mendaftarkan aku sebagai pelajar OKU. Sir Shaiful berkata, aku seorang pelajar yang berkebolehan dan boleh menjawab dengan baik jika diberi masa tambahan semasa peperiksaan. Beliau kesian melihatku yang selalu tidak kecukupan masa menjawab kertas peperiksaan. Beliau memberitahu ibuku jika aku diberi masa tambahan, beliau pasti aku boleh mencapai markah yang lebih baik. Kini aku seorang pelajar pemegang kad OKU. Sir Shaiful memang baik. Beliau memberitahu ibuku, beliau menganggap aku seperti anaknya sendiri. Pada hari raya 2018, aku menjemput Sir Shaiful datang ke rumahku. Aku sungguh gembira kerana Sir Shaiful memenuhi jemputanku dan beliau datang bersama isteri dan anak-anaknya. Kami makan bersama-sama dan bergambar beramai-ramai. Sir Shaiful sangat mengambil berat tentang diriku. Selepas waktu sekolah, jika aku mempunyai soalan tentang tugasan yang diberikan, aku akan menelefonnya walaupun pada waktu malam. Sir Shaiful tidak pernah marah. Malah beliau menggalakkanku untuk menelefon beliau lagi jika masih tidak faham. Ya Allah! Berikanlah kesihatan yang baik kepada cikgu luar biasa ini, yang sangat mengambil berat tentang diriku. Murahkanlah rezekinya.

 

Back