Past Years
Winners

Mr Muhammad Nazmi Bin Rosli

From SK Long Sukang, Lawas, Sarawak

Mr Muhammad Nazmi Bin Rosli's photo

Nominated by Muhammad Nazri Bin Rosli

Cikgu Muhammad Nazmi, atau lebih dikenali di alam maya dengan nama "Little Chuckee" jelas sekali mengangkat persada perguruan di Malaysia ke satu peringkat yang berbeza. Beliau menjadi sumber inspirasi bukan sahaja kepada saya, malah saya percaya ratusan lagi rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan beliau di media sosial. Cikgu "Little Chuckee" mengubah perspektif masyarakat kita dengan pendekatan pengajaran beliau yang berunsurkan simulasi, memberikan pendedahan kepada murid beliau akan konteks kehidupan sebenar (contextual learning). Tambahan pula dengan lokasi sekolah yang terletak jauh dari bandar, pendekatan beliau pada perspektif saya mampu sedikit sebanyak menutup jurang pendidikan yang dialami murid bersekolah di kawasan pedalaman. "Simulasi penerbangan pesawat", "pengalaman menjejaki kaki ke bulan", "Lawatan ke Zoo Negara" dan banyak lagi tema pengajaran beliau mungkin nampak agak biasa bagi kita yang duduk di kawasan urban dan bandar yang membangun, namun pengalaman seperti ini merupakan satu detik keemasan bagi anak-anak yang menduduki kawasan pedalaman. Bayangkan, menetap di kawasan yang terpencil dan cuma memiliki klinik kesihatan kecil, diberi peluang untuk merasai sendiri suasana di bilik pembedahan dan memegang tanggungjawab sebagai pakar bedah di dalam bilik darjah mereka? Bagi sesetengah kita, ianya mungkin suatu perkara yang biasa, namun apa yang dilakukan cikgu "Little Chuckee" ini merupakan satu pengalaman yang mungkin dirasai buat julung kalinya oleh anak-anak ini. Cikgu "Little Chuckee" ini jelas memberikan inspirasi bukan sahaja dari segi idea, malah kaedah PAK21 yang beliau guna pakai dalam menjayakan idea-idea pengajaran tersebut pada pendapat saya sangat sesuai dengan kehendak pendidikan semasa. Walaupun terbeban dengan bebanan kerja guru yang sedia ada, beliau masih mampu meluangkan masa mencari bahan-bahan kitar semula, pergi ke pelosok kedai baju terpakai untuk menyediakan bahan bantu mengajar beliau. Ya, beliau menggunakan bahan terpakai untuk mereka dan mencipta bahan bantu mengajar beliau! Satu nilai inovasi dan kreativi yang saya harap dapat dilihat dengan lebih meluas dalam kalangan guru-guru di Malaysia. Akhir kata, semoga kisah ini memberikan inspirasi kepada ramai lagi kalangan guru atau bakal guru di luar sana. Guru berinovasi pemangkin pendidikan berkualiti.

 

Back