2020
Submission

Mr Muhammad Kamal Bin Abdullah

From SMK Seri Intan

Mr Muhammad Kamal Bin Abdullah's photo

Nominated by Mohamad Haiqal Haqimi Bin Mohd Pawzi

Saat saya mencoretkan kisah ini, pelbagai perkara yang bermain di minda saya. Beberapa kali juga proses menaip dan ‘delete’ berlaku. Termenung atau termanggu. Beribu persoalan menyesak fikiran. Bagaimana harus saya bermula? Apakah cara yang terbaik untuk saya sampaikan isi hati saya supaya ia menyentuh dasar hati setiap pembaca sehingga mereka rasa akan ketulusan dari hati yang dalam itu. Benar, memang benar. Jika boleh, saya ingin kisah ini turut menginspirasikan semua orang yang membaca. Tetapi apabila saya meneliti kisah – kisah rakan yang terpilih, nyata keraguan tersebut singgah juga di dasar hati. Mana mungkin hati saya tidak bergetar membaca kisah – kisah pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonals 2019. Hati saya bergetar hebat, air mata? Usah ditanyakan. Setiap kisah yang terpapar pasti membuatkan air mata ini mengalir tanpa dapat dikawal. Segan juga rasa saat saya membaca itu jika ada pula orang lain disekeliling. Lagi kalut bila tiada tisu atau sapu tangan disisi. Payahnya rasa untuk mengawal dan berlakon selamba. Berkali – kali juga persoalan demi persoalan singgah di minda saya. kenapa ya, jika sebut berkaitan guru yang memberi inspirasi. Kisahnya selalu berkisar tentang lapangan akademik? Tidak bolehkah jika mereka ini menginspirasikan daripada segi atau bidang atau perkara lain? Adakah inspirasi itu hanya terfokus pada akademik semata? Secara peribadinya saya merasakan guru atau seseorang individu boleh sahaja memberi inspirasi dan memberi impak pada seseorang bukan terfokus pada akademik. Adakala sekecil – kecil perkara itu juga boleh menjadi inspirasi bagi seorang atau ramai orang. Ia terlalu subjektif. “A teacher affect eternity; He can never tell where his influence stops.” Oleh Henry B Adams. Mari saya bawa anda semua ke suatu dunia yang lain. Barangkali jua ia kisah dalam dunia ‘Henry’ berkaitan guru yang menginspirasikan beliau? Tirai dibuka, mari bawa layar mata kita susuri dari hati kecil. Biar hati kecil merasa ia bukan dengan mata akal, tapi dengan mata hati yang penuh kasih. “Ceritanya bermula pada tahun 2017, hari saya memulakan alam sekolah menengah di SSNJ SMK THO. Kecenderungan saya pada bidang sukan telah membawa saya ke sekolah tersebut. Keinginan bertanding, dikalungi pingat, dan dipuji oleh orang sekeliling bukan sahaja dari segi kokurikulum dan juga akademik (kurikulum). Tetapi keinginan yang hendak dicapai terlalu jauh untuk digengam. Sepanjang saya berada disekolah tersebut, saya sentiasa berusaha untuk menjadi yang ternama di sekolah walaupun saya mendapat kritikan daripada orang sekeliling. Faktanya, saya adalah satu-satunya pelajar yang cemerlang UPSR dan memohon untuk meneruskan pelajaran ke sebuah sekolah sukan. Ia menyebabkan pergaulan saya dengan rakan sebaya tidak semesra yang saya harapkan. Malah saya sentiasa duduk bersedirian berharap ada sesuatu yang layak saya perjuangkan sehinggalah saat itu tiba. Pada suatu petang ketika saya sedang berlatih, saya ternampak sekelompok kecil atlet yang berkunjung menaiki kereta. Saya berasa amat curiga ketika itu, kerana kebiasaanya kunjungan orang luar ke sini dalam kelompok yang besar, jadi saya cuba melihat dengan mata kasar dan rupa – rupanya salah seorang daripada atlet tersebut adalah rakan kepada sahabat saya ketika di sekolah rendah, Muhammad Saifullah. Saya terkejut melihat dia datang bersama rakan – rakan lama saya. Malangnya saya tidak dapat bertegur sapa dengan dia kerana ketika itu saya sedang menjalani sesi latihan. Setelah tamat sesi latihan, saya cuba mencari jurulatih mereka. Beliau ialah cikgu Muhammad Kamal bin Abdullah. Saya masih ingat air muka beliau ketika pertama kali mengikuti sesi latihan bersama. Beliau berkejar dan berusaha untuk memasukkan saya dalam kelompok atlet bawah seliaan dan pantauan beliau walaupun ia adalah kelompok atlet untuk acara ‘long distance’. Tetapi, minat saya hanyalah pada acara berpagar. Pada saat itu, saya telah berjumpa apa yang saya hendak perjuangkan. Tanpa memikirkan apa-apa, saya berusaha untuk masuk ke kelompok seliaan cikgu Kamal. Sepanjang latihan bersama cikgu Kamal, saya belajar bersabar dan bertahan dengan latihan yang dilalui bersama dengan atlet ‘long distance’, yang langsung bukan dalam bidang sukan yang saya ceburi demi bersama dengan sahabat lama saya. tetapi, tanpa saya sangka. Allah ingin menganugerahkan sesuatu perkara yang lebih berharga kepada saya. Pada tahun 2019, iaitu setelah setahun bersama dengan kelompok cikgu Kamal. Pada kejohanan MSSD, ia merupakan saat yang paling mengembirakan kami, terlebih lagi saya. keberadaan cikgu Kamal yang sentiasa memberi sokongan moral kepada kami semua membuatkan saya sentiasa bermotivasi dan tidak sedikitpun terdetik rasa putus asa untuk buat yang terbaik ketika dilapangan pertandingan. Sikap beliau yang sentiasa berlaku adil terhadap semua atlet tidak mengira kemampuan mereka ataupun kejayaan yang mereka raih untuk pasukan. Menjadikan saya lebih terinspirasi dengan kepribadian beliau. Sejujurnya, sukar untuk bertemu dengan seorang jurulatih sukan yang sanggup berhabis masa, tenaga dan wang ringgit untuk melatih atlet yang belum tentu boleh memberikan kejayaan kepada mereka. Rata – rata jurulatih lebih cenderung untuk melatih dan mengasah bakat atlet yang menunjukkan potensi dan bakat yang tinggi kerana peratus kejayaan atlet tersebut ketika dilapangan adalah tinggi. Saya telah dipilih sebagai salah seorang atlet yang akan mewakili Johor ke pertandingan peringkat MSSM. Kegembiraan yang saya rasa ketika nama saya tersenarai dan terpapar pada senarai atlet yang akan terpilih untuk ke pertandingan peringkat MSSM hanyalah seketika sahaja. Saya langsung tidak mempunyai rakan untuk berbual sepanjang tempoh latihan pusat untuk kejohanan MSSM. Malah, jurulatih dan rakan atlet yang lain menganggap atau melabelkan saya sebagai ‘pecundang’ kerana melalui catatan masa terbaik saya setakat itu menunjukkan bahawa saya tiada harapan untuk meraih pingat ketika di kejohanan MSSM nanti. Sedikit demi sedikit rasa putus asa mula bercambah di hati saya. Saya menjadi tidak bermotivasi dan dipengaruhi dengan rasa kurang percaya terhadap kebolehan diri. Situasi ini menjejaskan latihan saya. Saya gagal menunjukkan prestasi yang cemerlang ketika latihan. Tetapi, satu – satunya orang yang masih menanam harapan pada saya ialah cikgu Kamal. Beliau sentiasa mengingatkan saya tentang sokongan rakan-rakan saya yang lain serta pengorbanan yang telah beliau lakukan selama ini. Beliau sanggup menahan sakit agar dapat melihat nama saya disebut pada permulaan balapan. Ya, beliau sebenarnya tidak sihat dan menghidap penyakit berkaitan tulang. Apabila mengenangkan semua itu, pada saat itu saya sedar, beliau sedang memberikan kasih sayang sebagai seorang bapa pada saya sebagai seorang anak dan rasa putus asa yang sebelum ini menghantui diri, saya ubah menjadi semangat berjuang, sehingga saya berjaya memperoleh pinggat dalam kejohanan MSSM tersebut dan berjaya membuat PB (personal best) bagi rekod masa persendirian saya. Inspirasi yang diperolehi daripada personaliti dan kepribadian cikgu Kamal telah terpahat di hati saya. Ia mengingatkan saya “Tidak kira setinggi mana pun kita, sehebat mana pun kita, tiada guna untuk kita berusaha tanpa ada seseorang atau sesuatu untuk diperjuangkan”. Sehingga kini, kejayaan yang saya perolehi bukan lah hanya sekadar untuk mendapat pingat, malah untuk memperoleh kepuasan dengan melihat senyuman yang terukir pada seorang guru yang sentiasa mempercayai bahawa niat mengatasi segalanya. Sekian sahaja daripada saya (~ p/s: maaflah cikgu kalua ayat tak berapa ‘bombastic’, saya cuba sesimple mungkin~) Tirai ditutup. Bagaimana? Adakah ia menyentuh hati anda yang dalam? Kisah tersebut merupakah kisah yang ditulis oleh adik Haiqal kepada saya atas permintaan saya. Kisah seorang guru biasa, yang sedang menghitung hari untuk pencen berjaya menjadi sumber inspirasi kepada seorang pelajar yang merupakan atlet biasa. Daripada tiada apa – apa, tiada sokongan jurulatih lain, malah dikecam hebat, dipulaukan oleh rakan atlet terutama kelompok elit. Kehadiran seorang guru menjadi inspirasi serta ‘turning point’ kepada pelajar ini. Sejujurnya, cikgu Kamal telah menjadi sumber inspirasi serta ‘turning point’ ramai lagi pelajar dan atlet yang dikategorikan sebagai ‘gagal’ dan tiada potensi untuk berjaya meraih pingat dalam mana – mana kejohanan. Pada awalnya saya tertanya – tanya juga, kenapa ya pelajar – pelajar di bawah seliaan beliau sangat setia. Apa istimewanya beliau? Jika guru lain gah dengan pelbagai anugerah perkhidmatan dan sumbangan. Tetapi beliau ibarat “Jauh panggang daripada api”. Saya dapat merasakan ada sesuatu yang istimewa pada beliau, yang menjadi inspirasi kepada ramai pelajar tetapi tidak pernah kisah tersebut digembar – gemburkan, diwar -warkan, atau digahkan. Ia ditimbus dan dikebumikan supaya tidak diketahui. Buat Haiqal dan Team Kamilion, ini juga hadiah saya untuk kalian. Kalian juga sumber inspirasi saya. saya tidak pernah jangka kan saya boleh berada pada tahap saya sekarang. Tidak pernah sekali pun saya bermimpi saya mampu. Terima kasih kalian. Pada saya kalian semua guru cilik saya. Mengajar saya tentang banyak perkara, menginspirasikan saya untuk menjadi lebih baik dan positif. Menjadi ‘turning point’ untuk saya membina matlamat baru dalam hidup saya. Muhamad Haiqal Haqimi bin Mohd Pazwi, kisah guru inspirasi ini adalah kisah awak Penyertaan ini saya hantar atas nama awak sebagai tanda penghargaan saya dari hati yang dalam. Jika kisah ini terpilih, hadiah tersebut buat kalian semua. Buat cikgu Kamal, sejujurnya hanya Allah sahaja dapat membalas jasa cikgu dan anak – anak didik cikgu. Biarpun cikgu tidak terpilih, bagi saya dan ramai lagi anak – anak didik cikgu. Cikgu sememangnya telah banyak memberi inspirasi positif pada kami dan meninggalkan impak yang besar dalam hidup kami. Terima kasih team McDonalds atas peluang dan ruang yang diberikan. Sesungguhnya anda juga adalah inspirasi kami. Usaha McDonalds untuk mewujudkan budaya menghargai insan lain wajar dijadikan contoh teladan dan amalan baik. Semoga usaha murni ini diteruskan dan melaluinya McDonalds Malaysia khasnya dapat menyumbang lagi khidmat bakti sosial kepada masyarakat. Terima kasih tidak terhingga ‘You are my inspiration too”.

Back