Mdm LIAN FEE CHOO's photo

Mdm LIAN FEE CHOO

From PPD TENOM

Nominated by Hafizi Fazli bin Bakar

“Give me anything, I will work on it!”. Inilah kata keramat beliau yang sentiasa bergema dalam memori tatkala saya merasa lelah, penat dalam perjalanan mendidik dan mempelajari liku-liku dunia pendidikan. Kata-kata ini beliau ucapkan dalam perjumpaan bersama guru di hari pertama beliau melapor diri sebagai pengetua SMK Kemabong yang baharu pada 1 Mac 2011. Orangnya bertubuh langsing, tinggi, berjalan dengan langkah yang cukup yakin dan aura positif yang sentiasa terserlah. Bunyi tapak kasut beliau sahaja sudah cukup membuatkan orang sekeliling peka akan kehadiran beliau. Beliau yang saya maksudkan ialah Puan Lian Fee Choo, mantan Pengetua Cemerlang SMK Kemabong, Tenom Sabah. SMK Kemabong merupakan sebuah sekolah yang terletak kira-kira 200 km atau 4 jam perjalanan berkereta dari Kota Kinabalu merentasi hutan hujan tropika di banjaran Kroker yang jauh di pedalaman Sabah iaitu di daerah Tenom yang terkenal dengan produk agrikultur dan juga kopi Tenom. Puan Lian, itulah nama yang pasti terpahat di hati semua warga SMK Kemabong kerana besarnya impak dan perubahan yang beliau bawa kepada sekolah khususnya dan kepada masyarakat Kemabong amnya. Untuk pengetahuan, Pn. Lian merupakan pengetua ke-13 yang berkhidmat di SMK Kemabong dan merupakan Pengetua Perempuan PERTAMA dalam sejarah 47 tahun sekolah yang telah ditubuhkan sejak tahun 1974. Pn. Lian mula menjadi pengetua di SMK Kemabong pada tanggal 1 Mac 2011. Kehadiran beliau di SMK Kemabong membawa satu perubahan besar dari pelbagai aspek terutamanya dalam bidang akademik. Terlalu banyak perkara yang mengagumkan yang dilakukan oleh beliau sepanjang perkhidmatan beliau di sekolah ini. Beliau berjaya mengeluarkan SMK Kemabong dari kelompok “sinking school” yang merupakan antara sekolah yang paling belakang dalam pencapaian akademik di negeri Sabah dan Malaysia. Usaha beliau membawa perubahan dari segala aspek berjaya membuahkan hasil pada tahun 2012, beliau ditawarkan Anugerah Tawaran Baharu bagi Pengetua (NKRA New Deals) kerana berjaya melonjakkan prestasi sekolah dengan cemerlang. Pada tahun 2010, SMK Kemabong adalah sekolah di kedudukan ke-18 terakhir dalam 208 buah sekolah menengah di Sabah, namun usaha beliau berjaya meletakkan SMK Kemabong di tangga sekolah ke-64 terbaik di Sabah pada tahun 2019. Di bawah pimpinan Pn. Lian, SMK Kemabong berjaya menjadi sekolah menengah terbaik di daerah Tenom pada tahun 2014, setahun lebih awal daripada tempoh masa yang ditetapkan dalam Misi Sekolah. Pn. Lian juga amat menggalakkan pelajar untuk menceburi bidang ko-akademik kerana SMK Kemabong sudah terkenal dalam bidang sukan. Namun bidang ko-akademik terutamanya inovasi masih terlalu baharu pada masa itu. Beliau menyokong penglibatan murid sehingga SMK Kemabong pernah menang beberapa pertandingan Inovasi peringkat negeri Sabah seperti SiNDEX, Pitch Borneo, ITEX dan kemuncaknya pasukan sekolah berjaya menjadi Johan Kebangsaan dalam Young Innovators Challenge National Level di Kuala Lumpur pada November 2019. Pn. Lian sememangnya sudah terbukti sebagai seorang pemimpin pemacu perubahan. Namun yang lebih mengagumkan ialah beliau juga seorang pendidik yang sangat hebat!. Beliau amat disenangi oleh pelajarnya di kelas, walaupun beliau merupakan ketua sekolah, namun pelajar selesa dan seronok belajar bersama beliau. Dalam kesibukkan mengurus hala tuju sekolah, beliau juga menggalas tugas berat mengajar kelas peperiksaan SPM. Yang paling saya ingat ialah kelas Ekonomi yang beliau pegang dan berjaya menghasilkan ramai pelajar mendapat gred A semasa SPM 2013. Beliau berjaya menaikkan nilai gred purata mata pelajaran (GPMP) subjek Ekonomi dengan begitu cemerlang sekali. Beliau juga mengajar subjek Bahasa Inggeris SPM di mana beliau berjaya membimbing pelajarnya dengan cemerlang, salah seorang pelajarnya mendapat 10A pada SPM 2019. Saya masih ingat, ada seorang pelajar PMR 2011 pada waktu itu yang dibimbing khas oleh beliau sendiri di pejabat pengetua kerana beliau mahu pelajar itu mendapat gred yang cemerlang dalam Bahasa Inggeris PMR. Pelajar tersebut sudah berjaya menggenggam segulung ijazah Kejuruteraan Awam dari UMS dan kini melanjutkan pelajaran dalam ijazah sarjana kejuruteraan di universiti yang sama. Di bawah pentadbiran Pn. Lian juga, SMK Kemabong berjaya melahirkan pelajar SPM 10A pertama dalam sejarah 47 tahun sekolah iaitu pada tahun 2017. Pelajar tersebut kini melanjutkan pengajian di Dublin, Ireland dalam bidang Perubatan. Seorang lagi pelajar 10A dihasilkan pada tahun 2019 dan kini pelajar itu melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Marin di Akedemi Laut Malaysia. Beliau juga sebenarnya banyak membantu secara peribadi pelajar-pelajar menteenya yang memerlukan bantuan terutama yang akan melanjutkan pelajaran. Terlalu banyak perkara yang memberi inspirasi dilakukan oleh Pn. Lian sama ada beliau sedar atau tidak, kami yang berada di sekeliling beliau merasa impak yang beliau lakukan. Dan tiga orang bekas pelajar yang saya ceritakan di atas semuanya merupakan anak-anak petani di kampung sekitar Kemabong dan juga Ulu Tomani, namun apabila mendapat sentuhan dan perhatian daripada seorang pengetua yang hebat, maka hebatlah hasilnya walaupun pelajarnya dari kawasan pedalaman. Dengan nada tegas dan susun kata yang rapi, Pn. Lian sentiasa memberikan nasihat dan menyelitkan cerita pengajaran setiap hari selasa ketika perhimpunan rasmi sekolah. Beliau tak lekang menekankan kepentingan pendidikan kepada semua pelajarnya. Ibu bapa dan masyarakat sekeliling juga mengagumi kepimpinan Pn. Lian di SMK Kemabong. Guru sedemikian berjaya membuka minda pelajar dan guru-guru lain untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam melakukan suatu perkara. Sejak Pn. Lian memacu SMK Kemabong, kadar pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di institut pengajian awam semakin tinggi. Saban tahun, puluhan bekas pelajar STPM dan SPM SMK Kemabong berjaya menyambung pengajian di universiti awam serata Malaysia termasuk juga yang berjaya masuk ke Kolej Matrikulasi, Politeknik dan program Asasi. Kadar ini tidak pernah lagi dilihat sebelum ini. Ini menaikkan keyakinan masyarakat terhadap SMK Kemabong yang kini boleh menjadi platform yang terbaik untuk anak-anak mereka mendapatkan pendidikan yang berkualiti. Sudah menjadi adat, yang datang pasti pergi. Pada tarikh 10 Julai 2020, Pn. Lian mendapat arahan daripada KPM untuk menggalas tugas sebagai pegawai cemerlang SIP+ di Pejabat Pendidikan Daerah Tenom. Beliau yang awalnya berhasrat menamatkan kariernya di SMK Kemabong terpaksa akur atas keperluan yang lebih besar kementerian yang melantiknya untuk membimbing dan berkongsi kepakaran dalam pengurusan sekolah kepada semua pentadbir sekolah-sekolah di daerah Tenom. Berita bahawa beliau akan berpindah tempat bertugas tersebar dengan begitu pantas dan amat memberi kesan kepada warga sekolah. Ibarat kapal hilang nakhoda, itulah perasaan kami. Masyarakat Kemabong juga terkesan hinggakan setiap mukim menghantar wakil untuk menyampaikan cendera kenangan dan tanda penghargaan kepada beliau pada majlis berpisahan beliau. Masyarakat Kemabong merasa Pn. Lian dekat di hati kerana beliau amat suka untuk membuat aktiviti permuafakatan ibu-bapa di kampung-kampung pelajar SMK Kemabong, mengambil berat terhadap pelajaran pelajar dan sentiasa menasihati ibu bapa untuk mengutamakan pelajaran anak-anak. Sungguhpun Pn. Lian tidak lagi menjadi pengetua SMK Kemabong, namun beliau tetap dengan nada positif berkata bahawa beliau tidak pergi begitu sahaja, beliau tetap akan membimbing SMK Kemabong dari jauh. Setelah selama hampir 9 tahun beliau memandu 60 km dari Tenom – Kemabong – Tenom setiap hari untuk ke sekolah, maka bermula 15 Julai beliau tidak lagi perlu memandu jauh kerana rumah beliau terletak berhampiran dengan Pejabat PPD Tenom. Kehilangan Pn. Lian di SMK Kemabong meninggalkan satu “lubang” yang besar kerana masih banyak perubahan yang ingin dilaksanakan oleh beliau sehingga beliau bersara wajib pada tahun 2023. Namun segala pengalaman dan pengajaran dari beliau akan kami jadikan tauladan dan prinsip dalam menggalas tugas sebagai pendidik yang akan meneruskan kecemerlangan SMK Kemabong pada masa akan datang. Benarlah kata keramat beliau, berilah SMK Kemabong yang “kosong” kepadanya, akan dia cemerlangkan SMK Kemabong mengikut acuannya sendiri! Sesungguhnya Pn. Lian seorang guru yang sangat memberikan inspirasi bukan sahaja kepada murid, guru, malah masyarakat sekitar Kemabong. Disiplin diri beliau dalam menjalankan tugas sebagai pendidik dan pemimpin patut dijadikan contoh. Kata-kata akhir beliau semasa amanat akhir di dewan sekolah berbunyi “Do good and leave behind a virtue that the storm of time can NEVER destroy”. Sesungguhnya, Pn. Lian berjaya meninggalkan satu legasi hebat yang pasti terpahat di memori setiap warga sekolah dan warga Kemabong. Legasi yang akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk membawa perubahan dan kejayaan. Terima kasih Pn. Lian Fee Choo, mantan Pengetua Cemerlang SMK Kemabong Tenom. Jasamu tidak akan dapat dibalas oleh kami, semoga Tuhan sentiasa memberikan kesihatan yang baik dan kebahagian kepada Pn. Sekeluarga. Segala pengajaran Puan akan kami ingat dan legasi Puan akan kami teruskan. Semoga bidang pendidikan akan ada ramai lagi “Puan Lian Fee Choo” pada masa akan datang. Kerana engkau sememangnya satu inspirasi buat semua guru di Malaysia!! Hingga bertemu lagi, Pn. Lian.

Back