Nominees

Mr MOHD REDUAN BIN DAUD

From SMK PEKAN BARU MUAR JOHOR

Mr MOHD REDUAN BIN DAUD's photo

Nominated by PN AZWINA BINTI MISRAN

Salam Inspirasi ini, ditujukan buat En Mohd Reduan bin Daud, bekas guru SMK Pekan Baru Muar Johor. Disini saya Azwina binti Misran, adalah Ibu kepada arwah Muhammad Irfan bin Norhakim, berasal dari Muar Johor, saya adalah suri rumah sepenuh masa. Saya ingin mencalonkan Anugerah Guru Inspirasi 2018 kepada guru bernama MOHD REDUAN BIN DAUD. Menjadi guru pada abad ini bukanlah mudah, berdepan dengan murid serta ibu bapa yang mempunyai pelbagai latar belakang berbeza, menyebabkan guru memilih sama ada mahu menjadi pengajar atau pendidik. Istilah mengajar dan mendidik adalah dua perkataan yang membawa makna berbeza. Disini, saya ingin meluahkan coretan saya berkenaan guru bernama Mohd Reduan bin Daud. Megenali guru ini, secara lebih rapat pada tahun 2016 ketika mendaftar anak saya di tingkatan 1. Untuk makluman pembaca sekalian, anak saya sudah kembali ke rahmatullah pada 7 Disember 2016, meninggal dunia akibat lemas di Muara Sungai. Berbalik kepada kisah guru inspirasi ini, saya dan keluarga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada beliau kerana sudi hadir dalam hidup arwah anak saya selama 12 bulan. Apa yang menyebabkan saya sebak, guru ini sentiasa ambil berat terhadap anak saya, menjadi keluarga kedua anak saya, menumpang kasih dan sayang. Saya akui saya dan suami seorang yang garang, saya jarang tunjukkan bahawa saya sayang akan dia, tetapi dalam hati saya, saya memang sayang akan dia. Sebagai ibu, saya mahu anak saya menjadi yang terbaik. Hadirnya guru ini dalam hidup arwah anak saya, menyebabkan saya sedikit rasa tercabar. Saya tidak tahu, bagaimana belaian, cara, pendekatan guru ini, menyebabkan arwah terlebih sayang akan guru tersebut. Segala permasalahan tidak lagi diutarakan kepada saya dan suami, malah lebih banyak berkongsi cerita kepada guru ini. Namun begitu, cerita-cerita yang dikongsikan oleh anak saya kepada guru tersebut, guru tersebut akan whatsapp dan berjumpa saya dan memberi cadangan bagaimana untuk mengatasi sesuatu masalah. Saya tidak pernah jumpa seorang guru muda begini, terlalu kasih dan sayang pada kanak-kanak. Selain itu, apa yang membuatkan saya sebak juga, guru ini tidak pernah kisah kehadiran anak saya ke rumah beliau, setiap hari anak saya akan ke rumah guru ini, sama ada untuk berkongsi cerita atau mengulangkaji pelajaran. kerap kali jua anak saya menumpang tidur dirumahnya akibat keletihan dan menyiapkan kerja sekolah. Guru ini tidak pernah rasa terbeban malah beliau juga kerap belanja anak saya, membelikan baju, sepender, topi, stoking dan sebaginya. Guru ini juga, selalu menumpangkan anak saya ke sekolah jika hujan dan ada aktiviti-aktiviti koperasi sekolah. Selain itu, guru ini pernah mempelawa anak saya ke kampung halamanya di Besut Terengganu, seolah-olah seperti keluarga kedua anak saya. Saya tidak risau kerana saya tahu bagaimana cara guru ini melayan anak saya. Saya rasa malu akan pengorbanan beliau yang saya anggap sukar untuk kita jumpa guru seperti ini lagi. Ada ketika apabila guru ini bercuti atau menghadiri kursus di mana-mana anak saya seperti hilang arah, meminjam telefon saya untuk menghubungi guru ini, untuk bertanya khabar. Sampai begitu sekali, Apabila arwah meninggal dipenghujung 2016, saya dapat rasa perasaan guru tersebut. Arwah ada maklumkan pada saya bahawa Cikgu Reduan adalah seorang guru yang unik dan tidak pernah dia jumpa guru seperti itu. Terima kasih Cikgu Reduan, atas semua layanan istimewa untuk arwah, terima kasih kerana mendidik arwah, terima kasih sentiasa berkongsi rezeki kepada kami sekeluarga, terima kasih selalu belanja arwah, terima kasih membawa arwah jalan-jalan yang saya tidak mampu membawa arwah jalan-jalan ke tempat-tempat mahal, terima kasih membeli batu nisan untuk arwah, terima kasih atas sumbangan duit tahlil tersebut dan terima kasih atas segala-galanya. Saya dan suami hanya mampu mendoakan semoga Cikgu sentiasa murah rezeki dan sentiasa berjaya dunia dan akhirat. Saya berharap Anugerah Guru Inspirasi ini dapat diberikan kepada Cikgu Mohd Reduan bin Daud, kerana beliau selayaknya dapat. Terima kasih McDonald’s atas peluang yang diberikan ini. Gambar yang dikirimkan ini adalah gambar Cikgu Reduan bersama Arwah anak saya Muhammad Irfan bin Norhakim.