Rumah Ronald McDonald kedua di HUSM
31 Jul 2018

Artikel dari Utusan Online

KOTA BHARU 29 Julai - Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) akan membina rumah perantaraan bernilai RM4 juta bagi kegunaan keluarga pesakit pediatrik yang mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, rumah tersebut adalah Rumah Ronald McDonald kedua di negara ini selepas yang pertama dibuka di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Kuala Lumpur 20 tahun lalu.
 
Azmir yang juga Presiden RMHC berkata, pembinaan rumah yang dijangka siap pada awal tahun hadapan itu adalah hasil kutipan derma rakyat Malaysia yang menyumbang antara RM500,000 hingga RM600,000 setiap tahun ke dalam tabung kebajikan yang disediakan di 271 cawangan restoran McDonald’s seluruh negara.
 
“Rumah ini mempunyai 18 bilik yang boleh menempatkan antara empat hingga enam buah katil setiap bilik yang turut dilengkapi bilik air sendiri.
 
“Rumah ini juga mempunyai ruang makan, ruang istirehat, dapur, bilik dobi dan taman permainan serta Bilik Sensori Ronald McDonald bagi membantu perkembangan kanak-kanak istimewa dengan bantuan peralatan multi-deria khas,” katanya di majlis menandatangani memorandum persefahaman dengan USM di Auditorium Blok Pentadbiran HUSM di sini hari ini.
 
Yang turut hadir, Ahli Lembaga Gabenor USM, Tengku Tan Sri Dr Mahaleel Tengku Ariff dan Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail.

 

Sementara itu, Azmir berkata, pihaknya telah menyediakan kemudahan 28 buah bilik sensori di pusat kanak-kanak isitimewa seluruh negara setakat ini termasuk dua di Kelantan yang menelan belanja RM200,000 ribu setiap satu namun kebanyakannya tidak digunakan pada tahap optimum.
 
 “Kewujudan bilik sensori ini mungkin tidak diuar-uarkan sepenuhnya pusat yang menerima kemudahan di samping masalah kekurangan ahli fisioterapi dan sukarelawan terlatih.
 
“Kita berharap melalui kerjasama dengan USM pada kali ini yang mempunyai ilmu dan kepakaran akan dapat menyediakan satu sistem yang turut boleh digunapakai bilik sensori lain,” katanya.