Rumah Ronald McDonald Hospital USM Ringankan Beban Keluarga Pesakit Kanak- Kanak di Kelantan
08 Aug 2019
Rumah Ronald McDonald Hospital USM Ringankan Beban Keluarga Pesakit Kanak- Kanak di Kelantan's image'

KUBANG KERIAN, 6 Ogos 2019 –  Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) telah membina Rumah Ronald McDonald (RRM) di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Kubang Kerian, Kelantan hasil sumbangan pelbagai pihak. Rumah penginapan sementara ini memenuhi keperluan keluarga pesakit pediatrik disamping meringankan beban kewangan ketika anak mereka menjalani rawatan di Hospital USM dengan kos penginapan yang amat berpatutan, berharga RM5 untuk satu malam.

Rumah Ronald McDonald di Hospital USM yang dirasmikan oleh YB Dato’ Mohd Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan ini merupakan rumah kedua seumpamanya di Malaysia. Rumah Ronald McDonald pertama telah dibina pada tahun 1999 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) Kuala Lumpur yang bakal menyambut ulangtahun ke-20. Di peringkat global, Rumah Ronald McDonald oleh RMHC kini mencecah 370 buah di seluruh dunia.

Dato’ Mohd Amar dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri Kelantan amat gembira melihat inisiatif sebegini yang dilaksanakan oleh RMHC Malaysia. Konsep rumah penginapan sementara seperti ini amat unik kerana ia membolehkan keluarga pesakit yang datang dari jauh untuk berada dekat dengan anak-anak mereka ketika menjalani sesi rawatan yang berpanjangan. Sudah pasti rumah ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang datang ke Hospital USM atau hospital-hospital lain di bandar Kota Bahru ini.

RRM ditubuhkan di Hospital USM kerana terdapat keperluan yang amat tinggi di mana ia menerima lebih 20,000 pesakit pediatrik setiap tahun. Rumah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Kelantan yang kebanyakannya mendapatkan rawatan di sini, ia juga akan meringankan beban majoriti besar yang mengunjungi Hospital USM kerana mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang datang dari kawasan luar bandar dan negeri-negeri lain.

Seiring dengan pengiktirafan USM sebagai Universiti Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX), ia telah memacu Hospital USM ke hadapan dengan kedudukannya sebagai hospital rujukan utama dan hub kesihatan komuniti di Pantai Timur melalui APEX fasa kedua (bermula tahun 2014 hingga tahun 2025). Kewujudan Rumah Ronald McDonald di sini secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan Hospital USM sebagai sebuah hospital yang cakna kepada keperluan pesakit dan waris mereka, khususnya di Pantai Timur.

Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia berkata, “RMHC Malaysia komited untuk menyediakan lebih banyak kemudahan seperti ini untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Kita berharap agar melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, kerajaan negeri dan mana-mana penyedia perkhidmatan kesihatan khususnya hospital-hospital yang berkepadatan tinggi, kita dapat menepati janji RMHC iaitu ‘Keeping Families Close’ atau memastikan famili sentiasa dekat bersama melalui kemudahan Rumah Ronald McDonald ini.”   

Azmir juga menekankan bahawa belanja pembinaan Rumah Ronald McDonald ini yang bernilai kira-kira RM4 juta tidak mungkin berjaya direalisasikan tanpa sumbangan ikhlas daripada pelanggan-pelanggan McDonald’s melalui tabung RMHC Malaysia di semua restoran McDonald’s di seluruh negara, syarikat-syarikat korporat, para pekerja dan juga para francaisi McDonald’s.

“Kami berbesar hati dapat memberi kemudahan Rumah Ronald McDonald ini untuk kegunaan ramai, lebih-lebih lagi untuk rakyat Kelantan dan Pantai Timur. Diharapkan dengan adanya rumah ini, ibu bapa lebih senang hati dan selesa menghantar anak mereka untuk menjalani rawatan di hospital,” tambah Azmir.

Majlis Perasmian Rumah Ronald McDonald ini turut dihadiri oleh Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia yang memaklumkan bahawa kewujudan Rumah Ronald McDonald Hospital USM ini mampu mempercepatkan proses pemulihan pesakit-pesakit pediatrik. 

“Sokongan ahli keluarga sama ada fizikal atau emosi merupakan faktor penting bagi menggalakkan pemulihan kesihatan pesakit-pesakit pediatrik. Dengan adanya keluarga berada dekat dengan mereka dalam kawasan hospital, pesakit kanak-kanak ini akan lebih bersemangat dan gembira. Secara tidak langsung, kesan-kesan positif boleh dilihat sepanjang proses pemulihan.

“Pembinaan RRM Hospital USM ini menjadi pemangkin kepada USM khususnya Hospital USM dalam menzahirkan teras USM sebagai Universiti APEX di mana antara fokus yang diutamakan adalah aspek kesejagatan, kesejahteraan dan kemanusiaan khususnya golongan sasaran B40,” kata beliau.

RMHC Malaysia turut memberi tumpuan kepada 4 program utama untuk membantu kanak-kanak di Malaysia iaitu Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, ‘Gift of Smile’ dan Pek Kembali ke Sekolah bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dari keluarga yang memerlukan. Semua program ini meliputi 3 bidang utama RMHC Malaysia iaitu Kesihatan, Pendidikan dan Kebajikan.

Fakta Ringkas Rumah Ronald McDonald, Hospital USM, Kelantan

  • Bilangan bilik tidur: 18 (boleh memuatkan 18 keluarga dalam satu-satu masa).
  • Bilangan katil: 72 katil
  • Kemudahan Bilik Sensori Ronald McDonald: Lengkap dengan peralatan multi deria khas untuk membantu perkembangan kanak-kanak istimewa
  • Kemudahan lain yang disediakan: Ruang makan, ruang istirahat, dapur, bilik dobi, bilik permainan

Program lain oleh RMHC yang terdapat di Hospital USM termasuklah Gift of Smile, yang merupakan program bantuan kewangan penuh untuk kanak-kanak yang dilahirkan dengan sumbing bibir dan lelangit bagi menjalani pembedahan pembetulan.

Hubungi cawangan Rumah Ronald McDonald di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM-UKM), Kuala Lumpur di talian 03-9173 5994 atau ibu pejabat RMHC Malaysia di talian 03-7843 3388 jika anda berminat untuk menyumbang wang tunai atau menjadi sukarelawan untuk RMHC Malaysia.