Program Pek Kembali Ke Sekolah RMHC Kembali Bagi Tahun Kelima Untuk Menyuntik Semangat Pelajar
03 Dec 2021

Negeri Sembilan, 2 Disember 2021 – McDonald’s Malaysia dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) telah kembali menganjurkan program tahunan “Kembali Ke Sekolah” pada tahun ini setelah berhadapan dengan situasi pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan.  Lebih dari 21,000 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah seluruh negara bakal menerima manfaat bernilai lebih dari RM1.66 juta dari program ini.

Sekolah Kebangsaan (Felda) Pasir Besar di Gemas, Negeri Sembilan adalah antara penerima terawal bagi program ini pada tahun ini.  Satu majlis penyerahan ‘mock cheque’ telah diadakan di restoran McDonald cawangan Tampin dengan dihadiri oleh Encik Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s merangkap Presiden Ronald McDonald House Charities, Malaysia dan Encik Mohamad Zain Md Sevan, Guru Besar SK Felda Pasir Besar mewakili pihak sekolah. Majlis ini telah disaksikan oleh Encik Alias bin Abdul Samad, Pegawai Pendidikan Daerah Tampin.  

McDonald’s Malaysia dan RMHC akan menyerahkan sebanyak 200 pek ‘Kembali ke Sekolah’ kepada pelajar SK Felda Pasir Besar bernilai RM25,000. Setiap pek mengandungi beg sekolah, botol air, alat tulis dan sepasang kasut sekolah. 

“Sumbangan yang disampaikan kepada sekolah ini amat dekat di hati saya kerana ia tempat di mana saya mula mendapat pendidikan di sekolah rendah. Melalui sumbangan ini, sekurang-kurangnya saya dapat menyumbang kembali kepada sekolah yang telah mendidik dan membentuk saya menjadi seorang individu yang berjaya sekarang,” kata Azmir.

“Program ini merupakan lebih dari usaha bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan. Saya percaya program “Kembali Ke Sekolah” ini memainkan peranan penting dalam menggalakkan pelajar untuk meneruskan pendidikan mereka apabila tahun baru persekolahan bermula nanti.  Pendidikan formal adalah kritikal kerana ia membolehkan sifat seseorang pelajar itu dibentuk dan seterusnya menjadi seorang yang dihormati,” tambah Azmir.  

Program pek “Kembali Ke Sekolah” adalah salah satu dari inisiatif tahunan utama anjuran RMHC Malaysia dan disokong sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia sebagai penaja korporat utama.  Sejak 2017 lagi McDonald’s Malaysia dan RMHC telah aktif menyumbang pek “Kembali Ke Sekolah” kepada murid-murid sekolah rendah dari keluarga berpendapatan rendah.  Sehingga tahun 2021, hampir RM9 juta telah dibelanjakan untuk pek tersebut yang diagihkan kepada lebih 95,000 kanak- kanak di seluruh negara. 

“Di McDonald’s, inisiatif-inisiatif tanggungjawab korporat kami adalah khusus kepada meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup kanak-kanak.  Kami percaya setiap kanak-kanak patut diberi suasana kehidupan yang selamat, kondusif dan sihat,” kata Azmir.  

“Melalui program pek “Kembali Ke Sekolah” ini, kami harap ia dapat menjadi motivasi untuk kanak-kanak ini berjaya dalam pendidikan mereka.  Mereka adalah masa depan negara kita, mereka juga bakal menjadi pemimpin dan peneraju pelbagai industri,” tambah Azmir. 

- END -