STATUS HALAL McDONALD’S: KENYATAAN LANJUT BERHUBUNG USTAZ ABU SYAFIQ AL-ASY’ARY
05 Apr 2018
STATUS HALAL McDONALD’S: KENYATAAN LANJUT BERHUBUNG USTAZ ABU SYAFIQ AL-ASY’ARY's image'

McDonald’s Malaysia merujuk kepada penjelasan kami bertajuk “Kenyataan Tentang Dakwaan Palsu Status Halal McDonald’s” pada 24 Disember 2017 berhubung kenyataan mengenai status Halal restoran-restoran McDonald’s di Malaysia yang dikeluarkan oleh Encik Mohd Rasyiq bin Mohd Alwi (yang mengguna pakai nama pena Ustaz Abu Syafiq Al-Asy’ary) di laman Facebook beliau pada 23 Disember 2017.

Lanjutan daripada itu, kami ingin menyatakan bahawa McDonald’s Malaysia telah memulakan satu tindakan Mahkamah terhadap Encik Mohd Rasyiq pada 20 Februari 2018 bagi melindungi hak dan kepentingan kami di sisi undang-undang.

Pada 2 April 2018, pihak Mahkamah telah merekodkan satu Penghakiman Persetujuan di antara kedua-dua pihak (“Penghakiman Persetujuan tersebut”). Berikutan dengan Penghakiman Persetujuan tersebut, Encik Mohd Rasyiq telah menarikbalik dan memadamkan semua posting- posting di kedua-dua akaun Facebook, Twitter dan Instagram beliau yang berkaitan dengan status Halal restoran-restoran McDonald’s Malaysia dan juga apa-apa penerbitan yang serupa dengannya.

Encik Mohd Rasyiq juga telah membuat kenyataan terbuka di kedua-dua akaun Facebook, Twitter dan Instagram beliau seperti berikut:

Saya dengan ini mengesahkan bahawa isu berkaitan dengan pensijilan Halal bagi Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (McDonald’s Malaysia) yang telah saya wujudkan sebelum ini melalui penerbitan dalam akaun Facebook, Twitter dan Instagram saya telahpun dirujuk kepada pihak JAKIM dan status Halal Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (McDonald’s Malaysia) telahpun disahkan oleh JAKIM dan perkara ini kini dianggap selesai. Segala kekhilafan dan / atau kekeliruan yang wujud sebelum ini adalah amat dikesali.

Encik Mohd Rasyiq turut bersetuju untuk tidak mengulangi pada masa hadapan apa-apa kenyataan sedemikian mengenai McDonald’s Malaysia secara lisan atau bertulis atau penyiaran dalam apa-apa jua bentuk media termasuk WhatsApp dan sebagainya.

Kami ingin menekankan sekali lagi bahawa McDonald’s adalah rangkaian restoran khidmat segera yang pertama di Malaysia yang mendapat pensijilan Halal daripada JAKIM sekitar tahun 90-an. Setiap produk yang dibekalkan ke McDonald’s Malaysia adalah disahkan Halal oleh JAKIM atau badan pensijilan Halal dari luar negara yang diluluskan oleh JAKIM. Kami bekerja keras untuk memastikan setiap standard Halal dipatuhi secara keseluruhan bermula dari peringkat pembekalan, penghantaran, penyimpanan dan penyediaan supaya para pelanggan McDonald’s dapat menikmati hidangan kami dengan penuh yakin.

Kami amat memandang serius setiap perkara yang melibatkan status Halal restoran-restoran McDonald’s dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil segala langkah yang perlu bagi melindungi hak dan kepentingan syarikat, warga kerja dan para-para tetamu yang berkunjung ke restoran-restoran kami.

Sebarang pertanyaan berhubung status Halal McDonald’s Malaysia boleh dimajukan terus kepada kami atau kepada Bahagian Hab Halal JAKIM selaku badan yang mengawalselia pensijilan Halal di Malaysia.

Previous Article
Debunking Lies and Slander: A message from McDonald's Malaysia
McDonald’s Malaysia is disappointed that there have been calls for a boycott against our restaurants...
Next Article
Perubahan Waktu Operasi Restoran-Restoran McDonald’s di Terengganu sempena bulan Ramadan Al-Mubarak
Bagi menghormati bulan Ramadan yang mulia ini, waktu operasi restoran-restoran McDonald’s di Terengg...