McDonald’s Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia berganding bahu hadapi COVID-19
24 Apr 2020
McDonald’s Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia berganding bahu hadapi COVID-19's image'

PUTRAJAYA, 23 April 2020 – McDonald’s Malaysia menyerahkan sumbangan wang tunai RM250,000 kepada Tabung Covid-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi kelengkapan pelindung diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan COVID-19. Penyampaian sumbangan telah diadakan dalam satu majlis ringkas bersama media di ibu pejabat KKM, hari ini. 

“Sebagai syarikat korporat yang prihatin, McDonald’s Malaysia ingin turut serta menyumbang kepada usaha-usaha pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini. Kami menyedari pengorbanan para petugas kesihatan yang setiap hari bertungkus-lumus bekerja demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Ini adalah sumbangan kecil kami dalam meringankan beban mereka, pada masa sama menghargai jasa besar mereka kepada negara,” kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

Selain sumbangan bekalan PPE ini, McDonald’s Malaysia turut aktif memberi sumbangan makanan secara berterusan kepada kira-kira 50 hospital utama di seluruh negara, sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh kerajaan. Tajaan makanan ini secara langsung memberi manfaat kepada lebih 43,000 petugas barisan hadapan di seluruh negara, termasuk petugas kesihatan, anggota polis dan tentera.

“Restoran-restoran kami di seluruh negara terlibat dalam inisiatif sumbangan makanan kepada para petugas barisan hadapan, memandangkan usaha mewujudkan impak positif kepada masyarakat merupakan nilai teras McDonald’s Malaysia,” tambah Azmir.

“Usaha McDonald’s Malaysia wajar dihargai kerana ia membawa makna yang mendalam kepada KKM dan petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik COVID-19. KKM menghargai keprihatinan semua pihak untuk bersama-sama mengharungi tempoh mencabar ini, khususnya dalam usaha menangani dan membendung penularan wabak COVID-19,” kata Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, Menteri Kesihatan Malaysia.

Langkah-langkah Keselamatan McDonald’s yang Dipertingkatkan Sepanjang PKP

Sejak bermulanya PKP, kami telah memastikan pematuhan standard keselamatan dan kebersihan makanan yang tinggi di restoran-restoran kami dan juga melalui perkhidmatan McDelivery kami. Prosedur operasi standard kami (SOP) di restoran termasuk:

• Semua warga kerja kami, termasuk penghantar makanan bagi perkhidmatan McDelivery harus menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memulakan tugas. Sekiranya mereka tidak sihat, mereka tidak akan dibenarkan bekerja.

• Semua warga kerja kami diwajibkan memakai topeng muka dan sarung tangan pada setiap masa. Ini termasuk kru kaunter hadapan, dapur dan yang ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan suhu badan pelanggan dan penghantar makanan sebelum mereka  memasuki restoran kami.

• Kami menjalankan pemeriksaan suhu badan kru kami secara kerap setiap hari dan menyimpan rekod berkenaan.

• Semua tetamu dan penghantar makanan juga perlu melakukan sanitasi tangan mereka sebelum memasuki restoran kami.

• Kami mengamalkan penjarakan sosial di mana setiap tempat menunggu di restoran kami ditandakan dengan pita merah bagi memastikan tetamu dan penghantar makanan berdiri sekurang-kurangnya 1 meter antara satu sama lain.

• Bagi penghantar makanan, seorang anggota kru akan ditugaskan untuk melakukan sanitasi dan membersihkan beg penghantaran setiap penghantar makanan sebelum makanan dimasukkan ke dalam beg masing-masing.

• Selepas restoran ditutup, setiap restoran akan menugaskan seorang pengurus dan 4 kru untuk menjalankan pembersihan dan sanitisasi terperinci di setiap ruang restoran. Ini meliputi ruang dapur, laluan Pandu-Lalu, ruang makan dan ruang penyimpanan. Kami juga melakukan pembersihan menyeluruh di semua kaunter hadapan, Point of Sale (POS) dan peranti pembayaran tanpa tunai. 

• Kami menggalakkan pelanggan menggunakan pembayaran tanpa tunai untuk mengurangkan hubungan fizikal antara warga kerja dan orang ramai.

Bulan lalu, kami juga melancarkan sistem bayaran tanpa tunai dan tanpa sentuh untuk perkhidmatan McDelivery bagi memastikan keselamatan pelanggan dan penghantar makanan kami:

• Beg bawa pulang ditutup rapi, dengan bacaan suhu badan penghantar makanan dan kru ditampal pada beg

• Penghantar makanan akan menghubungi pelanggan sebaik sahaja mereka tiba di lokasi penghantaran

• Penghantar makanan akan meletakkan makanan di tempat selamat yang telah dipersetujui

• Penghantar makanan akan berdiri sekurang-kurangnya satu meter dari pelanggan untuk meminimumkan sentuhan dengan pelanggan

• Hanya bayaran tanpa tunai diterima untuk pesanan melalui perkhidmatan McDelivery kami

Kru restoran kami di semua restoran McDonald’s telah mematuhi semua langkah-langkah kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan ini supaya pelanggan dapat menikmati makanan kegemaran mereka tanpa sebarang kerisauan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mcdonalds.com.my.