Pemenang Tahun
Lalu

Mr Muhd Shahlyme Bin Abd Wahid

Dari SK Tunku Laksamana Nasir

Mr Muhd Shahlyme Bin Abd Wahid's photo

Dicalonkan oleh Zuria Morni Binti Ahmad

Saya puan Zuria Morni Binti Ahmad ibu kepada Muhammad Hakimie Haiqal Bin Mohd Redzuan merupakan anak bongsu dari 4 adik beradik yang tinggal nun jauh di hulu Kampung Buyau Kiri, Seri Menanti Negeri Sembilan. Semenjak kehilangan suami sejak tahun 2016 dan pelindung kepada 4 orang anak-anak yang kian membesar yang memerlukan kasih sayang seorang ayah, Hakimi anak bongsu saya telah mengalami perubahan emosi dan tingkah laku yang tidak saya jangkakan. Perwatakannya yang ceria dan suka bermain dengan adik beradik menjadi seorang yang pendiam dan sering memencilkan diri dari kawan-kawan di sekolah. Saya kini bergelar ibu tunggal yang kini membesarkan 4 orang anak bekerja sebagai pembantu kantin dengan pendapatan RM600 sebulan merasa begitu tertekan dan terpaksa mencari rezeki untuk menambah pendapatan disebelah petang hingga malam menyebabkan anak-anak saya tidak menapat perhatian yang secukupnya. Kisah hidup saya berlarutan sehingga kehadiran seorang guru pada tanggal 01 Mac 2019. Beliau ialah cikgu Muhamad Shahlyme Abd Wahid atau lebih mesra disapa cikgu shah. Alhamdullilah ruangan guru inspirasi McDonald’s ini saya mengambil kesempatan untuk mencoretkan kisah yang saya rasa perlu saya kongsikan sebagai wakil ibu di luar sana kepada semua rakyat Malaysia erti pengorbanan seorang guru terhadap anak-anak kita tanpa mengenal erti putus asa dan tidak meminta untuk dibalas. Bermula kisah cikgu shah yang mengajar dan mendidik anak ku yang dikenalpasti mengalami masalah pembelajaran (mild intellectual disabilities) sejak tahun 2018. Sebenarnya Hakimi seorang anak syurga yang berbakat. Namun potensinya tidak berjaya diketengahkan. Namun apabila datangnya cikgu shah segalanya umpama pelangi petang walaupun tidak bercahaya namun berseri setiap mata yang memandang. Begitulah yang saya boleh gambarkan cikgu Shah. Saya banyak mendengar dari mulut ibubapa dan juga guru-guru lain yang cikgu shah merupakan guru yang sangat berdedikasi di sekolah lamanya. Masakan tidak murid-murid disekolah lamanya kebanyakkannya berjaya dalam pelbagai bidang walaupun mengalami pelbagai ketidakuapyaan dalam pembelajaran. Memang benar apa yang dikata, cikgu shah seorang cikgu yang luar biasa walaupun baharu dalam bidang pendidikan khas mengajar kanak-kanak masalah berkeperluan khas pembelajaran beliau menunjukkan sikap bertanggungjawab bukan sahaja memberi ilmu malah mencungkil potensi dan bakat murid-murid pendidikan khas ke tahap yang lebih tinggi. Jelas kehadiran Cikgu Shah merubah segalanya. Kehadiran Hakimi ke sekolah tidak pernah kosong. Hakimi bagai mendapat semangat baru dan perhatian seorang ayah yang betul-betul mengambil berat tentang dirinya yang dulu tidak seperti selalu. Anak saya hobinya suka menyanyi dan bermain alat perkusi seperti gitar. Kisah kejayaan anak saya bermula dengan sebuah pertandingan nyanyian solo. Cikgu shah memaklumkan anak saya mempunyai bakat dalam nyanyian dan bersetuju menggilap bakatnya kepertandingan diperingkat daerah. Saya bersetuju dan saya masih ingat 2 buah lagu yang dinyanyikan oleh anak saya kerana anak saya perlu berlatih sehingga saya turut menyanyi bersamanya. Adakalanya anak saya memaksa saya supaya meminjamkan telefon bimbit untuk diperdengarkan ketika waktu lapang. Kelihatan anak saya kian bersemangat tidak seperti dahulu. Namun saya akur demi kemahuan dan kejayaan hakimi. Akhirnya usaha hakimi berbaloi dengan tunjuk ajar cikgu shah. seumur hidupnya yang tidak pernah diberi peluang dan ruang menyertai mana-mana pertandingan, akhirnya hakimi telah menjuarai pertandingan tersebut diperingkat daerah dan bakal mewakili daearah ke peringkat negeri. Bak kata pepatah tuah ayam tampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Pertandingan peringkat negeri Hakimi perlu berusaha lebih keras lagi sebab Cikgu shah memaklumkan persaingan dikalangan murid pendidikan khas sangat hebat. Hakimi telah berlatih tanpa merasa erti penat dan jem, ingatan cikgu shah sentiasa dingati. Segala persediaan telah disediakan dengan rapi oleh cikgu shah dari segi vokal, persembahan dan serba serbi diusahakan oleh cikgu shah bagi memastikan anak didiknya berjaya. Sehinggalah sehari sebelum hari pertandingan Hakimi telah dibawa pulang ke rumah cikgu shah untuk memastikan Hakimi berada dalam keadaan bersedia dari segi emosi dan fizikal. Maklumlah murid berkeperluan khas ini mudah terganggu emosi, lemah semangat dan takut berhadapan dengan situasi baharu dan boleh menyebabkan mereka enggan pergi ke sekolah. Tidak menyangka anak ku Hakimi berjaya mendapat naib johan dalam pertandingan tersebut. Hanya tuhan sahaja yang tahu betapa bersyukur dan bangga ibu dengan kamu. Pengorbanan cikgu shah tidak habis setakat itu, pada tahun awal tahun 2020 saya telah diberhentikan kerja disebabkan pengusaha kantin sekolah tempat saya mencari rezeki telah tamat kontrak. Saya kini kehilangan mata pencarian untuk melangsungkan kehidupan. Namun, sungguh murni hati seorang guru sanggup mencarikan peluang kerja kepada saya untuk menyara hidup. Saya kini telah mendapat kerja di kantin sekolah anak saya Hakimi bersekolah. Alhamdullilah rezeki tidak pernah salah alamat. Saya mengucapkan terima kasih kepada cikgu shah kerana mencadangkan kepada pengusaha kantin untuk saya mencari sesuap nasi di sekolah ini. Jasa baik cikgu shah akan saya kenang hingga akhir hayat saya. Perjalanan hidup anak saya pada tahun 2020 begitu cerah, bakatnya terus dicungkil untuk persediaan kejohanan merentas desa pendidikan khas peringkat daerah. Anak saya sangat gembira kerana tidak pernah menyertai aktiviti larian walaupun acara temasya sukan sekolah. Cikgu shah telah melakukan latihan intensif kepada anak saya setiap petang mengeliling trek kampung agar Hakimi boleh melakukan larian jarak jauh 4 kilometer dengan jayanya. Cikgu shah sentiasa memberi pesanan kepada saya agar menjaga pemakanan dan kesihatan Hakimi supaya lebih berstamina. Hebat sungguh cikgu shah!!!. Betul kata orang, guru sekarang bukan sekadar guru malah dialah ayah, dialah ibu, dialah doktor, dialah tukang cuci dan sebagainya. Tapi ibubapa sekarang tak boleh nak nampak kebaikan guru buat untuk anak kita. Cikgu shah sanggup menghabiskan masa cuti bersama keluarga dengan melatih Hakimi untuk kejohanan tersebut. Adakalanya cikgu shah balik hingga lewat petang memastikan anak kampung ini dapat mencipta nama di tahap yang lebih tinggi. Alhamdullilah Hakimi dapat membuktikan dia mampu bersaing hebat dan telah mendapat tempat ketiga dalam kejohanan tersebut seterusnya melayakkan diri ke peringkat negeri. Ku sangka panas hingga kepetang, rupanya hujan ditengahari. Hakimi sikapnya tidak suka membuatkan hati ibunya susah hati. Aku mendapat perkhabaran daripada cikgu shah bawa Hakimi tidak dapat menghabiskan larian 4 kilometer disebabkan lututnya telah mengalami luka yang menyebabkan keradangan teruk yang disebabkan kecederaan yang dirahsiakan kepada cikgu dan juga ibunya yang telah lama berlaku. Cikgu shah tetap memberi kata-kata semangat agar Hakimi tidak rasa kecewa malah memberi perangsang agar Hakimi terus berusaha dan perlu sentiasa jujur dan berani untuk memberitahu sesuatu perkara. Aku sentiasa berdoa agar anak ku sentiasa menjadi anak yang soleh dan sentiasa menghormati guru. Kerana anak yang cerdik lahirnya dari baik perkertinya. Wawasan 2020. Rezeki Allah maha luas bak air di lautan, Hakimi terus diberi peluang dan ruang untuk berganding bahu bersama rakan sekelasnya dalam pertandingan robotik pendidikan khas. Wowww tak pernah terjangkau difikiranku perancangan yang berlaku. Cikgu shah memberitahu Hakimi akan berada di Kuala Lumpur selama 3 hari awal bulan Mac 2020. Hakimi sangat teruja sebab setiap hari di mengingatkan saya teringin nak melihat dengan mata kepala sendiri Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur. Pertandingan peringkat kebangsaan ini memberi pendedahan kemahiran kepada murid pendidikan khas membina dan mengendalikan robot menggunakan perisian pengatucaraan yang telah disediakan. Walaupun Hakimi dan rakannya tidak berjaya mendapat tempat tetapi seorang ibu sangat berbangga kerana anakku tidak lagi seperti Hakimi yang dahulu. Cikgu shah banyak berkorban demi Hakimi dan anak-anak syurga dikelasnya yang lain. Tenaga, masa dan wang ringgit tidak menjadi ukuran kerana saya pernah diberitahu prinsip hidupnya buatlah baik walaupun sekelumit pasti akan dibalas dengan kebaikan. Banyak lagi kebaikan yang dibuat oleh cikgu shah yang tak mampu saya nukilkan tetapi cukuplah sekadar ini untuk dikongsi buat semua di luar sana kerana Allah maha mengetahui setiap apa yang kita lakukan walaupun sebesar zarah. Kisah coretan ini bukan sahaja kutitip buat cikgu Muhamad Shahlyme Abd Wahid tetapi buat renungan para pendidik Malaysia di luar sana. Jadilah seperti air sungai yang sentiasa mengalir jernih memberi manfaat kepada kehidupan disekelilingnya. Jangan jadi seperti air kolah yang bertakung tidak memberi apa-apa manfaat kepada sesiapa pun kerana penuh dengan kekotoran. Semoga, banyak lagi guru-guru di luar sana yang boleh mencontohi sifat dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh beliau dan saya dengan rasa penuh takzim dan berbesar hati mengharapkan agar cikgu Muhamad Shahlyme Bin Abd Wahid guru pendidikan khas Sekolah Kebangsaaan Tunku Laksamana Nasir, Seri Menanti, Negeri Sembilan dinobatkan sebagai Guru Inspirasi McDonald’s bagi tahun 2020. #terima kasih cikgu #hargai guru kita #selamat hari guru

Back