Pemenang Tahun
Lalu

Mr Khairil Azmir Bin Ahmad

Dari SMKA (P) Alawiyahh

Mr Khairil Azmir Bin Ahmad's photo

Dicalonkan oleh Nur Haziqah Nadiah Binti Idris

Guru ini adalah seorang guru seni tetapi beliau tidak akan mengajar kami melukis selagi kami tidak faham konsep berkarya. Contohnya tugasan melukis pemandangan, kami tidak boleh melukis pemandangan selagi kami tidak faham tentang tujuan, mesej yang hendak disampaikan dan teknik melukis pemandangan yg betul. Pada mulanya, saya tidak suka cara beliau mengajar kerana subjek seni bukanlah subjek teras yang perlu diambil serius. Namun lama kelamaan baru lah saya faham melukis bukanlah untuk skor dalam peperiksaan tetapi melukis dan berkarya adalah untuk diriku memahami seni kehidupan. Guru yang saya maksudkan ialah Cikgu Khairil, guru seni di SMK Agama Perempuan Alawiyah (SMKAP). Nama penuh beliau ialah Khairil Azmir Bin Ahmad . Dialah guru seni , guru kaunselor dan kadang kala dialah ibu bapaku. Beliau telah menjawab soalan pertama yang bermain dimindaku, iaitu “Bolehkah subjek seni diajar di sekolah agama?” kerana setahu saya kebanyakan sekolah agama menutup subjek seni disebabkan bilangan mata pelajaran yang perlu diambil pelajar sangat banyak. Namun semuanya terjawab setelah saya terjumpa cikgu Khairil. Beliau tidak wajibkan pelajar-pelajar beliau untuk ambil subjek seni di tingkatan 4 dan 5 tetapi cara beliau membuatkan kami tertarik untuk mengambil subjek seni sebagai subjek tambahan dalam SPM. Beliau sangat kreatif dan inovatif dalam menyampaikan pelajaran seni . Hal ini kerana, melalui beliau barulah saya dapat tahu bahawa seni bukanlah sekadar melukis tetapi terdapat banyak elemen dalam seni seperti bahasa seni visual, enam unsur seni, tujuh prinsip seni dan empat seni reka bentuk. Antara inovasi PdP seni yang membuka minda saya ialah “ Lapisan Unsur Seni” dan “Kotak MINDA”. Melalui Lapisan Unsur Seni , saya dapat melukis dengan lebih matang dan jelas. Melalui kotak MINDA , saya dapat menghasilkan karya menggambar dengan komposisi, ruang, bentuk dan jalinan yang baik. Di samping saya dapat memahami seni dgn baik, cikgu khairil juga berjaya mempromosi inovasinya ke serata dunia. Saya amat kagum kerana produk seni SMKAP diguna pakai diseluruh pelosok negeri atas usaha seorang guru seni. Cikgu Khairil boleh dikatakan seorang yang suka menyertai pertandingan seni. Antara hasil pertandingan seni mural yang saya kagumi ialah mural setinggi tiga tingkat bertemakan keselamatan jalan raya. Mural ini telah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan mural kreatif dan mendapat wang tunai sebanyak RM10 000. Satu lagi hasil unik mural beliau ialah mural yang dilukis terbalik bertemakan suasana pembelajaran di dalam kelas yang telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan mural kreatif GPS bestari. Hasil daripada kemenangan tersebut, beliau telah membeli dua buah penghawa dingin serta menghias bilik seni sehingga tersenarai dalam pemenang anugerah bilik seni paling ceria peringkat kebangsaan. Saya dan para pelajar seni amat berbangga kerana memiliki seorang guru seni yang “rare” dan bilik seni yang popular di negeri Perlis. Cikgu Khairil juga seorang yang aktif diluar sekolah. Beliau terlibat dalam Persatuan Pelukis Negeri Perlis (PPNPs). Setiap kali beliau terlibat dalam aktiviti PPNPs, beliau sering melibatkan pelajar-pelajar seni termasuklah saya. Maka, saya sering didedahkan dengan kerja-kerja seni di luar sekolah bersama-sama cikgu Khairil dan rakan pelukis beliau dari PPNPs. Antara sumbangan besar seni cikgu Khairil dan kami semua pada negeri Perlis ialah penghasilan karya mural di Street Art Kangar 2.0 . Hasil tersebut telah memberi impak besar kepada negeri Perlis kerana berjaya menarik minat pelancong dari dalam dan luar negeri untuk bergambar di situ. Pengalaman ini merupakan antara pengalaman yang sangat indah antara kami dan cikgu Khairil. Saya sebagai bekas pelajar beliau amat berterima kasih kepada cikgu Khairil Azmir Bin Ahmad atas ilmu yang diberikan. Walaupun saya menyambung pelajaran dalam bidang teknologi, namun ilmu seni visual takkan saya lupakan kerana semuanya telah saya aplikasikan dalam bidang teknologi. Bak kata cikgu Khairil, “Seni dan Teknologi tidak dapat dipisahkan . Teknologi memudahkan manusia pada masa hadapan manakala seni menjadikan teknologi sesuatu yang indah untuk kegunaan manusia sejagat”.

Back