Pemenang Tahun
Lalu

Mr Kamarulzamri bin Bakar

Dari SMS Tuanku Jaafar

Mr Kamarulzamri bin Bakar's photo

Dicalonkan oleh Aiman Afiq bin Suradi

Menjadi seorang mangsa buli ketika di sekolah rendah telah mengubah persepsi saya terhadap sekolah. Perasaan benci akan sekolah mula tersemai di dalam hati sejak kecil lagi, mengubah keperibadian saya lalu menjadikan saya seorang yang suka menyendiri. Oleh hal yang demikian, saya lebih gemar meluangkan masa dengan komputer peribadi berbanding dunia luar. Minat saya akan Teknologi Maklumat dan Komunikasi juga semakin bercambah sehingga saya berjaya mempelajari satu bahasa pengaturcaraan pada usia 12 tahun. Mendapat keputusan 5A dalam UPSR merupakan satu anugerah dan juga detik kegembiraan pada ketika itu, saya ditawarkan untuk menyambung pengajian di Sm Sains Tuanku Jaafar. Oleh kerana tidak mahu menghampakan harapan kedua ibu bapa saya, saya menuruti kehendak mereka untuk menerima tawaran tersebut. Hati saya mula memberontak, fikiran mula bercelaru kerana saya sangat benci untuk ke sekolah lebih- lebih lagi asrama. Sepanjang berada di asrama, saya tidak berpeluang untuk meneruskan hajat saya untuk mempelajari bahasa pengaturcaraan kerana kami tidak dibenarkan untuk membawa sebarang laptop mahupun telefon. Hati saya kuat mengatakan bahawa saya perlu pindah daripada sekolah ini. Pada akhir tahun 2016, saya telah diperkenalkan oleh rakan sekelas akan Badan Kepemimpinan Murid yang berteraskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi iaitu BRIGED BESTARI. Tanpa melengahkan masa, saya mendaftar diri saya sebagai calon ahli Briged Bestari bagi sesi 2017. Sebelum diterima untuk menjadi ahli Briged, saya perlu menghadiri sesi temu duga dan di sinilah titik permulaan di mana saya bertemu dengan Cikgu Kamarulzamri bin Bakar atau dikenali sebagai Cikgu KZ. Dipendekkan cerita, saya diterima sebagai ahli Briged. Cikgu KZ selaku guru penyelaras ICT telah mengajar saya tentang perekaan grafik, penghasilan video dan cara menggunakan camera DSLR. Bagi saya, cara beliau mengajarkan sesuatu perkara kepada saya adalah sangat menarik. Selain daripada mengajarkan saya ilmu ICT, beliau juga memberi saya tips untuk menjadi pelajar cemerlang serta melatih saya kearah itu. Cikgu KZ seorang yang sangat teliti dalam menghasilkan sesuatu dan beliau juga sangat mementingkan masa. Beliau ibarat kaunselor kepada saya kerana sering mendengar masalah saya serta memberikan pendapat beliau walaupun ketika waktu cuti. Beliau juga seorang yang sangat prihatin terhadap diri saya sehingga menjadikan diri saya lebih selesa untuk terus berada di bumi SMSTJ. Adalah menjadi suatu kejutan apabila saya terpilih untuk menyertai World Skills Competition di Kazan,Rusia dalam bidang drone operating (Jemputan Kementerian Sumber Manusia). Saya berasa amat gembira dan sedih pada masa yang sama kerana tiada peruntukan yang disediakan, berpegang kepada prinsip "Katakan ya sebelum tidak", Cikgu KZ serta Pengetua saya telah berusaha mencari penaja untuk saya bertanding di peringkat Dunia, kerja keras beliau membuahkan hasil apabila berjaya mengutip sebanyak RM 12 000 untuk menghantar saya ke pertandingan tersebut.Malangnya, beliau tidak dapat mengiringi saya kerana perlu menghadiri Pentauliahan sebagai Google Innovator di Singapore. Saya pergi ke Rusia bersama Kontijen Malaysia yang turut bertanding dalam kategori berbeza. Sepanjang saya bertanding, saya menghadapi pelbagai masalah dan cabaran. Namun Cikgu KZ sentiasa menghantar mesej menerusi whatssap dan memberikan kata-kata semangat kepada saya.Akhirnya, saya berjaya membawa pulang pingat gangsa untuk negara Malaysia, Beliau sangat gembira dan menangis ketika mana saya menghubungi beliau. Setibanya saya di Malaysia, beliau memeluk erat diri saya (Bahan Sokongan), kegembiraan jelas terpancar di wajah beliau. Bagi saya beliau merupakan guru inpirasi saya kerana sentiasa mengambil berat akan pelajar beliau tanpa mengira waktu serta kelapangan kerana beliau merupakan seorang guru yang sangat sibuk kerana beliau merupakan seorang Certified Google Innovator dan telah membuat inovasi menggunakan google. Banyak sekolah yang menjemput beliau untuk berkongsi ilmu tentang google classroom sehinggakan jadual beliau agak padat. Bagi saya, mempunyai kelulusan dalam linguistik bahasa merupakan suatu yang menakjubkan apabila mampu menguasai ilmu ICT.

Back