Pemenang Tahun
Lalu

Mr Hairul Azuan Bin Ahdan

Dari SK Felda Ulu Penggeli

Mr Hairul Azuan Bin Ahdan's photo

Dicalonkan oleh Siti Helmi Binti S.Hamid

10 tahun di SK. Felda Ulu Penggeli besar jasanya, Sangat bersemangat cekal jiwanya, Anugerah guru inspirasi sesuai untuknya, Cikgu Hairul Azuan anda perwira. Anugerah guru Inspirasi. Sejujurnya semua guru layak menerima gelaran ini kerana guru adalah insan yang sangat hebat. Merekalah yang sentiasa ada disisi kita dari saat kita mula mengenal huruf rumi,jawi atau nombor. Kini, selayaknya saya menceritakan kisah seorang guru dari sekolah felda yang berjiwa cekal dan bersemangat dalam membantu anak-anak dari sekolah felda setanding dengan anak-anak dari sekolah bandar. Saya, merupakan seorang ibu dan seorang surirumah tangga sepenuh masa. Mempunyai tiga orang anak yang berumur 12 tahun, 10 tahun dan 6 tahun. Saya juga merupakan seorang ahli persatuan ibubapa dan guru (PIBG). Saya melalui pengalaman bersama-sama dengan guru-guru di sekolah SK. Felda Ulu Penggeli. Namun,sesusuk tubuh ini sangat-sangat menarik hati saya kerana beliau merupakan seorang pendidik yang sangat saya kagumi. Beliau selayaknya dinobatkan menjadi penerima anugerah guru inspirasi pada tahun ini. Encik Hairul Azuan Bin Ahdan nama penuh beliau. Mengajar di Sekolah Kebangsaan Felda Ulu Penggeli genap 10 tahun pada tahun 2020 ini. Dalam tempoh 10 tahun ini, kejayaan demi kejayaan beliau lakarkan di dalam landskap kejayaan sekolah.Beliau merupakan guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu selama 8 tahun. Pada asalnya, opsyen subjek pelajaran yang di pilih adalah kemahiran hidup, namun beliau telah menyahut cabaran mengajar subjek Bahasa Melayu sepertimana yang telah diamanahkan kepada beliau. Bahasa Melayu bukanlah subjek yang mudah walaupun ia bahasa ibunda kita. Namun begitu, beliau sentiasa mencabar diri untuk memberi yang terbaik demi anak-anak muridnya. Beliau kemudian dilantik sebagai penyelaras murid tahun 6 (UPSR) sehingga kini. Menggalas tanggungjawab berat dalam memastikan anak-anak berjaya dengan cemerlang. Beliau juga dilantik menjadi setiausaha kurikulum dan bermula dari situ, beliau cuba untuk mengubah landskap kejayaan sekolah. Beliau bersungguh-sungguh untuk melihat anak-anak muridnya dari sekolah felda mendapat pengalaman berharga dan meraih kejayaan tidak kira di peringkat sekolah,zon,daerah mahupun negeri. Beliau cuba mencari peluang-peluang agar anak-anak felda di beri peluang menunjukkan bakat dalam apa jua pertandingan. Beliau mulakan dengan mencari bakat dalam bidang koakademik iaitu pantun dan bahas. Beliau perlahan-lahan mengambil langkah pertama mencari bakat anak-anak muridnya untuk di didik dan digilap. Tanpa lelah walaupun hari cuti beliau sanggup datang ke sekolah , ajar anak-anak yang dipilih untuk berlatih. Pantun dan berbahas bukan perkara yang mudah.Bayangkan beliau boleh didik anak-anak ini dari tidak tahu apa-apa tentang pantun dan bahas ala parlimen sehingga mereka dapat menguasainya.Cikgu ini tidak berputus asa bersemangat melatih mereka dari peringkat demi peringkat. Menjadi johan di peringkat zon dan daerah. Sehingga mereka dapat melayakkan diri ke peringkat negeri. Maha suci tuhan yang sangat membantu . Dari sekolah felda yang biasa-biasa sehingga nama sekolah SK. Felda Ulu Penggeli dikenali di peringkat negeri. Beliau juga cuba menonjolkan bakat anak-anak muridnya dalam bidang kebudayaan iaitu tarian melayu dan zapin. Beliau menjalinkan hubungan baik dengan komuniti bagi bersama-sama menjayakan projek bakat kebudayaan. Akhirnya tertubuhlah sebuah kumpulan tarian hasil usahasama dengan Persatuan ibubapa dan komuniti (PIBK) sekolah. Beliau yang berkebolehan dalam solekan dan menata rias sangat-sangat membantu anak-anak kebudayaan ini. Beliau juga sangat berkebolehan dalam bidang jahitan.Beliau menjahit sendiri busana anak-anak murid yang membuat persembahan. Kumpulan kebudayaan juga dibawa membuat persembahan dan bertanding ke peringkat luar untuk merasai pengalaman. Pelbagai kejayaan yang telah beliau lakukan dan capai sepanjang 10 tahun berkhidmat di sekolah kebangsaan Felda Ulu Penggeli ini. Antaranya adalah Anugerah Golden Hand award di peringkat sekola dan Anugerah emas kontinjen Johor di Festival Pelangi Budaya di Tanjung Balai Indonesia. Dari minat menjahit secara suka-suka , beliau telah dipilih menjadi pereka busana bagi konsert di Raja anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2019 di Istana Budaya. Beliau juga berpeluang menjadi pereka busana bagi persembahan majlis mesyuarat raja-raja melayu di Istana Negara. Kejayaan demi kejayaan dicapai, namun beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang guru. Beliau sentiasa mencuri masa mengajar anak-anak yang lemah dalam subjek Bahasa Melayu khasnya agar kesemua anak- anak muridnya berjaya dengan cemerlang. Beliau sangat tidak gemar untuk memberi tumpuan pada anak-anak murid yang cemerlang sahaja . Pada beliau, semua anak-anak ini layak untuk berjaya. Cuma cara dan kaedah yang perlu di pelbagaikan agar sesuai dengan kebolehan anak-anak muridnya. Hasilnya memang sangat memberangsangkan. Keputusan peperiksaan UPSR yang lepas, dari 19 orang anak murid tahun 6 seramai 15 orang memperolehi A dalam subjek Bahasa Melayu. Sayangnya beliau kepada semua anak-anak muridnya sehingga mereka dapat mencapai kejayaan yang sepatutnya. Usaha dan tiap titisan kudrat yang beliau lakukan , semuanya demi kejayaan anak-anak muridnya. Beliau hanya inginkan anak-anak murid yang datang dari sekolah felda ini juga dapat merasai peluang bersaing dan mendapat pengalaman seperti anak-anak dari sekolah bandar. Dan beliau berjaya membuka mata kami ,para ibubapa bahawa anak-anak kami dari sekolah Felda juga layak diketengahkan. Semoga kisah kesungguhan beliau, Cikgu Hairul Azuan Bin Ahdan menjadi inspirasi kepada semua guru-guru yang baru mula mengajar. Walau dimana anda ditempatkan, walau sepedalaman mana anda dihantar, anda mampu membina kejayaan anak-anak murid anda. Saya berharap, Cikgu Hairul Azuan diberikan anugerah Guru Inspirasi McDonalds ini kerana beliau sangat layak dan menjadi wakil dari Sekolah Felda . Terima kasih cikgu.Terima kasih McDonalds. Mcdonals tempat makan seisi keluarga, Makan sedap,tempat selesa, McDonalds memberi kegembiraan semua, Anugerah Inspirasi sangat berharga. Terima Kasih .

Back