Pemenang Tahun
Lalu

Encik Mohd Fadli Bin Salleh

Dari SK Gombak (1), Selangor

Encik Mohd Fadli Bin Salleh's photo

Dicalonkan oleh Suraya Binti Omar

Guru… Merupakan satu profesyen yang disanjung tinggi. Guru ini telah menjadi sumber inspirasi buat saya setelah saya mengenali beliau menerusi platform Facebook. Guru ini cukup dikenali oleh netizen. Guru yang saya maksudkan ialah Cikgu Korea (CK). Cikgu Korea ataupun nama sebenar beliau ialah Cikgu Mohd Fadli bin Salleh. Beliau kini mengajar di Sekolah Kebangsaan Gombak (1). Beliau terkenal bukan sahaja disebabkan video pengajaran subjek Matematiknya bahkan turut dikenali kerana sumbang baktinya kepada masyarakat setempat terutamanya mereka yang bergelar asnaf, yatim, kurang berkemampuan, kurang upaya dan sebagainya. Sesungguhnya ilmu yang CK berikan teramatlah diharapkan kerana cabaran dalam isu pendidikan masa kini bukan sahaja dihadapi oleh murid-murid itu sendiri bahkan juga kepada ibu bapa khususnya. Ibu bapa kini terpaksa mempersiapkan diri dengan ilmu yang secukupnya untuk memberi tunjuk ajar kepada anak-anak pabila dirumah. Kemunculan video-video CK ini sangat membantu saya iaitu ibu yang berkerjaya dalam mengajar anak-anak dirumah. Teknik-teknik yang diajar CK ini sangat membantu saya untuk lebih dan mudah faham tentang sesuatu topik yang dibincangkan. Saya kini tidak lagi bimbang sekiranya anak bertanya tentang jalan penggiraan sesuatu topik. CK juga ada membuat kelas online khas untuk para ibu bapa. Ada yang percuma ada yang berbayar. Tetapi percayalah bayaran yang dikenakan tersangatlah murah berbanding ilmu yang CK kongsikan. Saya setiap hari ternanti-nanti posting CK di FB beliau. Setiap hantaran FB beliau pasti mendapat perhatian dan komen yang positif daripada netizen. Selain itu, beliau juga sangat aktif dengan persatuan NGO yang ditubuhkan oleh beliau sendiri iaitu Dana Kita. Dana Kita membantu tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa. Menerusi Dana Kita ramai keluarga yang kurang berkemampuan dapat meneruskan kehidupan. CK bukan sahaja memberi sumbangan duit, pakaian, makanan malah memberikan jalan dan modal bagi mereka yang benar-benar ingin mengubah kehidupan. Antaranya projek beg sekolah yang menjadi tular penghujung tahun 2018 merupakan salah satu bukti keprihatinan CK dan tim Dana Kita dalam membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan dalam menyiapkan barangan keperluan sekolah anak-anak. Sesuai dengan tagline Dana Kita iaitu “Tidak banyak tapi sentiasa, tidak ramai tapi ada, tidak kaya tapi cakna”. Selain itu, CK juga merupakan seorang penulis buku best seller. Buku beliau berjudul Cikgu Kelas Sebelah. Buku ini memaparkan 100 kisah pendek yang pernah dilalui oleh beliau sendiri. Pelbagai kerenah anak muridnya diceritakan untuk perkongsian bersama. Kerjaya sebagai cikgu bukan semudah yang disangka. Banyak ragam anak murid yang mereka perlu hadapi, bukan setakat mengajar subjek yang ditetapkan oleh pihak sekolah saja. Di sini kita boleh lihat bagaimana seorang cikgu perlu bijak mengawal keadaan dengan menggunakan pendekatan psikologi. Bila baca nukilan beliau, ada kisah yang mampu menitiskan air mata, ada yang membuat kita ketawa tak ingat dunia dan ada yang menyebabkan kita merenung kembali ke dalam diri sendiri. Cerita yang ditulis sebenarnya dekat dengan hati kita kerana ada antaranya mungkin kita pernah melaluinya pada zaman sekolah dulu. Akhir kata, saya amat berharap agar Cikgu Mohd Fadli Saleh @ Cikgu Korea mendapat Anugerah Inspirasi McDonalds Tahun 2019 ini. Saya percaya ribuan ibu bapa di luar sana juga bersetuju. Ini merupakan sedikit penghargaan buat CK yang banyak berpeluh keringat dalam mendidik murid dan ibu bapa serta menyantuni golongan kurang berkemampuan.

 

Back