Pemenang Tahun
Lalu

Encik Lee Chiong Tee

Dari SM St Peter, Telipok, Sabah

Encik Lee Chiong Tee's photo

Dicalonkan oleh Hafizi Fazli Bin Bakar

“Ji, kau bukan tidak pandai, kau cuma pemalas.. kau ikut nasihat cikgu, sehari jawab dua soalan, kau tengoklah nanti, kau boleh lulus…” Kata-kata ini diucapkan oleh guru kelas saya pada hari penyerahan rekod prestasi peperiksaan penggal 1 tingkatan 4, dengan markah 23%, saya gagal Matematik Tambahan! Amat terkesan dihati saya hingga kini. Saya akui saya memang lemah dalam Matematik, apatah lagi Matematik Tambahan yang dilabel ramai sebagai subjek pembunuh di sekolah menengah. Beliau mula mengajar di sekolah saya pada tahun 2002 semasa saya di tingkatan 3, cuma beliau menjadi guru kelas dan guru subjek bagi Matematik dan Matematik Tambahan saya semasa di tingkatan 4 hinggalah tingkatan 5 di SM St Peter, Telipok, Sabah. Beliau berbangsa Cina dan berasal dari Kuching, Sarawak. Orangnya berkaca mata, bersuara lantang, berjalan cukup pantas dan bertenaga, ligat, seligat otaknya berfikir. Nama beliau ialah Cikgu Lee Chiong Tee. Panggil sahaja beliau Cikgu Lee. Didikannya meninggalkan bekas mendalam di hati ramai anak didiknya. Sebutlah nama Cikgu Lee, mana-mana pelajar dari tahun 2002 hingga kini yang bersekolah di SM St Peter pasti kenal siapa beliau. Sesetengah daripada kami menggelarnya Cikgu Legend! Gaya pengajaran yang bertenaga dan aktif, pendekatan yang mudah dan kaedah pengajaran yang kreatif dan menarik menyebabkan kelas Matematik dan Matematik Tambahan Cikgu Lee sentiasa menjadi kelas kegemaran saya dan rakan-rakan. Cikgu Lee tidak putus-putus memberikan motivasi kepada kami. Usaha beliau cukup luar biasa. Kelas tambahan lepas sekolah, kelas tambahan sabtu, kelas tambahan di rumah beliau, ini semua perkara normal. Usaha beliau membantu anak didik bukan setakat atas jadual sekolah, malah di luar masa bersekolah, semua percuma, malah beliau sering membawa makanan untuk kami. Pernah sekali, dia memanggil pelajar ke rumahnya untuk tusyen intensif Matematik Tambahan sebelum SPM, kerusi di rumahnya tidak mencukupi, beliau terus memandu ke kedai membeli kerusi agar semua pelajar ada tempat duduk. Itulah beliau, tidak pernah berkira untuk anak didiknya. Masih segar di ingatan saya, hari kami menduduki peperiksaan Matematik Tambahan SPM 2004, cikgu Lee mencukur rambutnya botak, beliau berkata beliau bernazar supaya kami semua lulus Matematik Tambahan. Sebelum kami melangkah masuk ke dewan peperiksaan, kata-kata dalam doa beliau membuatkan air mata saya mengalir. Saya pasang tekad untuk memberikan gred 1A kepadanya, tidak akan saya sia-siakan usaha beliau mendidik kami. Dan Alhamdulillah, kami semua lulus Matematik Tambahan! Malah 5 orang mendapat gred 1A dan 4 orang gred 2A. Semangat beliau dalam mendidik bagi saya adalah karakter beliau yang paling luar biasa. Semangatnya dalam membantu anak didik untuk celik Matematik tidak pernah lagi saya lihat dan temui di mana-mana. Saya sendiri merupakan pelajar yang lemah Matematik, itulah subjek yang paling saya takuti sejak dari sekolah rendah. Saya langsung tidak yakin dengan kebolehan Matematik sendiri. Tapi atas usaha Cikgu Lee yang tidak pernah putus asa mendorong dan mendidik, saya akhirnya melihat Matematik sebagai suatu subjek yang sangat cantik dan mudah. Matematik Tambahan mula menjadi subjek kegemaran saya. Nasihatnya untuk menjawab dua soalan sehari saya turuti, menjawab soalan Matematik Tambahan menjadi obsesi saya sejak itu, padahal sebelum itu, amatlah liat untuk saya membuat latih tubi Matematik. Saya kagum, bagaimana Cikgu Lee dapat mengubah saya dari pelajar lemah Matematik kepada seorang pelajar yang boleh mencapai 1A dalam Matematik dan Matematik Tambahan dalam SPM 2004. Tanpa saya sedari, selama beliau mendidik kami, saya sebenarnya amat mengagumi beliau dan keinginan untuk menjadi seorang guru Matematik Tambahan seperti beliau mula berputik semasa saya di tingkatan 5. Saya nyatakan hasrat kepada cikgu Lee yang saya mahu menjadi guru Matematik Tambahan seperti beliau semasa saya menghadiri Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang pada tahun 2005, saya lihat di wajahnya terukir senyuman ceria, saya tahu beliau gembira, dan bangga barangkali. Pejam celik, kini sudah 9 tahun saya bergelar seorang guru Matematik dan Matematik Tambahan di SMK Kemabong, sebuah sekolah nun jauh di pedalaman negeri Sabah. Hari pertama saya memulakan karier di SMK Kemabong, saya menelefon beliau bahawa saya berjaya mendapat tempat untuk mengajar subjek Matematik PMR dan SPM walaupun saya sebenarnya major Kimia semasa di universiti. Beliau menjawab dengan nada gembira “Baguslah Ji, jangan risau, nanti semua bahan cikgu, cikgu bagi kau, kau mengajarlah bagus-bagus..sebarkan Matematik di sana..”. Kata-kata ini membakar semangat saya untuk menjadi guru sebaik beliau. Saya cukup beruntung kerana dididik oleh seorang guru hebat seperti cikgu Lee, segala ilmu yang disampaikan beliau dulu saya guna untuk mendidik anak murid saya pula. Peluang keemasan menjadi guru ini akan saya guna sebaiknya, cikgu. Saya harap saya dapat menyambung legasi cikgu Lee. Akan saya sebar ilmu yang telah cikgu sampaikan kepada saya dulu. Cikgu Lee tetap menjadi idola dan inspirasi utama saya hingga ke hari ini. Namanya sering saya sebut di kelas, murid-murid saya sendiri juga kenal beliau walau hanya pada nama dan melalui foto. Bahan-bahan beliau masih saya guna hingga hari ini. Malah dia pernah menerima pelawaan saya untuk berkongsi ilmu dan memberi ceramah Matematik dan Matematik Tambahan SPM pada Ogos 2015 di sekolah saya walaupun jarak kami terpisah lebih 250 kilometer. Kesanggupan beliau hadir memenuhi undangan saya membuatkan saya dan murid-murid saya terharu. Dan kedatangan beliau tidak sia-sia, SPM pada tahun itu mencatatkan rekod terbaik dari segi pungutan bilangan gred A di sekolah saya bagi subjek Matematik. Pada tahun 2017 pula, perkongsian bahan dan idea cikgu Lee walaupun hanya melalui platform Telegran dan Whatsapp membolehkan anak-anak didik Matematik Tambahan 5 Intelek di sekolah saya mencatat GPMP 3.13 sekali gus menjadi sekolah terbaik di daerah Tenom bagi subjek Matematik Tambahan untuk SPM 2017. Begitulah hebatnya aura cikgu Lee, hinggakan anak didik saya juga terkesan. Saya juga berharap saya dapat memberi inspirasi kepada anak didik saya seperti mana cikgu Lee memberi harapan kepada kami dahulu. Cikgu Lee, ketahuilah bahawa anda seorang guru yang hebat, hasil didikan anda telah membuka peluang sehingga ada antara bekas anak didikmu kini sudah bergelar doktor, jurutera, penyelidik, guru, pensyarah, polis yang banyak lagi. Semoga Tuhan sentiasa merahmatimu dan membalas segala jasamu dengan kebaikan, kebahagiaan dan kesihatan yang baik. TERIMA KASIH CIKGU LEE CHIONG TEE, ENGKAULAH GURU INSPIRASIKU!

 

Back