Pemenang Tahun
Lalu

Encik MUHAMMAD ASHRAF BIN AHMAD

Dari SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN ALANG ISKANDAR

Encik MUHAMMAD ASHRAF BIN AHMAD's photo

Dicalonkan oleh FAKHRULLAH BIN FAIRUS

Cikgu Ashraf adalah seorang guru yang banyak memberi inspirasi kepada saya,malah dia adalah insan yang telah mengubah hidup saya. Suatu ketika dahulu, saya seorang pelajar bermasalah yang suka bergaduh, sering ponteng sekolah dan banyak membuat perkara yang tidak berfaedah. Saya bukanlah pelajar contoh atau pelajar cemerlang yang sering disanjung warga sekolah. Namun, setelah saya kenal dengan beliau, dia telah banyak mengubah hidup saya. Benar kata orang, setiap pertemuan itu adalah satu perancangan dari Tuhan. Pertama kali melihat beliau, saya menyangka bahawa dia sama seperti guru lain yang tidak memahami para pelajar. Oleh kerana beliau adalah guru penasihat unit berunifom yang saya sertai, saya sering bertemu beliau ketika perjumpaan. Lagaknya bersahaja, sama seperti guru biasa di sekolah saya. Pada suatu hari,saya terserempak dengan beliau dan dia terus menyapa dan menjemput saya ke rumahnya. Rupa-rupanya, beliau sudah mengenali saya dari cerita-cerita guru lain di sekolah. Disitulah titik permulaan yang mengubah hidup saya. 

Saya sering ponteng sekolah dan kesannya,saya berada dalam kumpulan pelajar paling lemah dalam pelajaran terutamanya subjek Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Beliau bertanyakan tentang keputusan peperiksaan saya dan saya menceritakan mengenai pencapaian saya tanpa sebarang perasaan. Saat itu, saya tidak mempunyai cita-cita mahu pun matlamat untuk berjaya. Sebagai pelajar yang lemah di sekolah, keputusan peperiksaan tidak begitu penting buat diri saya.

Saya melihat raut wajahnya berubah serta-merta, lalu beliau bertanyakan mengenai masalah yang membelenggu diri saya. Beliau kemudiannya memberi cadangan untuk mengajar saya subjek Matematik , Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu tanpa sebarang bayaran. Pada mulanya saya hanya ketawa tetapi saya lihat wajahnya bersungguh-sunguh ingin membantu saya. Dengan hati yang berat, saya menerima cadangan beliau dan bermulalah perjalanan mengubah masa depan saya. Hari demi hari silih berganti dan siang bertukar malam selama beberapa bulan. Saya menggagahkan diri untuk menghadiri kelas tambahan yang dibuat oleh Cikgu Ashraf. Marah,letih,terpaksa dan penat sering bermain di fikiran saya. Kadangkala saya terfikir, “ Untuk apa kita perlu belajar dan mengubah diri?”. Soalan yang saya sering lontarkan pada diri sendiri ketika saya masih hijau suatu masa dahulu. Namun saya teruskan usaha dengan bantuan Cikgu Ashraf yang tidak pernah berhenti menasihati saya.

Tatkala sehari sebelum ujian lisan Bahasa Melayu SPM 2015,saya telah ke rumahnya untuk berlatih bersama-sama Cikgu Ashraf. Pada hari ujian tersebut dijalankan,kumpulan saya telah mendapat kepujian tertinggi dari pentaksir kawasan Bagan Serai. Benarlah kata Cikgu Ashraf, “ Usaha tidak pernah mengkhianati kejayaan”. Tatkala keputusan SPM 2015 diumumkan, sekali lagi saya berbangga kerana subjek Matematik yang saya sering gagal telah bertukar menjadi pencapaian terbaik dalam sijil SPM saya. Pada tahun tersebut juga, saya telah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma. Tatkala saya membaca surat tawaran tersebut, muka Cikgu Ashraf menerjah ke dalam fikiran saya. Ini kerana syarat utama kemasukan ke jurusan tersebut adalah kepujian dalam Bahasa melayu dan Matematik. Tanpa tunjuk ajar beliau, tidak mungkin saya akan menerima tawaran tersebut. Kini saya sudah mendapat jawapan terhadap semua soalan yang saya lontarkan suatu ketika dahulu. 

Sekarang, saya baru menamatkan semester pertama dalam bidang Geomatik di sebuah Politeknik di Perak. Walaupun sudah dua tahun berlalu, kami masih berhubung untuk bertanya khabar dan berbincang tentang hala tuju masa depan saya. Kata-kata nasihat dari Cikgu Ashraf yang saya pegang hingga hari ini ialah “Hidup ini penuh dengan pilihan dan di tangan kita terletaknya harga sebuah masa depan. Berubahlah demi masa depan yang lebih cerah”. Tanpa cikgu, saya tidak akan berada dimana saya berada sekarang. Saya percaya pada tangan-tangan guru,terletaknya keberkatan ilmu yang mampu mengubah hidup seseorang individu.Terima kasih Cikgu Ashraf kerana anda telah membuka jalan untuk saya berubah. Anugerah ini saya tujukan khas buat anda, Cikgu Ashraf, guru inspirasiku...

Back