Kisah Inspirasi

Puan Chung Sze Meang

Dari SMK Lake, Bau, Sarawak

Puan Chung Sze Meang's photo

Dicalonkan oleh Emily Chong Chiaw Yik

“Cikgu Chung Sze Meang” nama ini mula dikenali oleh saya semasa saya belajar Tingkatan 2 pada tahun 2014. Cikgu Chung seorang guru sesi pagi, beliau bukan guru mata pelajaran saya. Tapi disebabkan minat yang amat tinggi terhadap sains, beliau sanggup menjadi guru pengiring untuk mengiring saya dan rakan saya yang pada masa itu merupakan murid sesi petang untuk menyertai Pertandingan Kuiz Dinotrek. Demi melatih kami, Cikgu Chung sanggup menggunakan waktu malam di kuartersnya untuk melatih kami dalam Pertandingan Kuiz Dinotrek. Walaupun dalam pertandingan ini kami tidak memang, Cikgu Chung menggalakkan saya dan rakan saya tidak berputus asa, pengalaman adalah lebih penting daripada kejayaan. Jodoh saya dan Cikgu Chung diteruskan dengan pemilihan calon untuk mewakili Pertandingan Dapur Solar Peringkat Bahagian Kuching Tahun 2014. Pada masa itu, saya hampir nak tarik diri dengan alasan tertentu. Tetapi dengan galakan dan nasihat Cikgu Chung, saya dan rakan saya berjaya mendapat tempat ketiga. Usaha ini berbuah lagi iaitu semasa saya belajar Tingkatan 3 pada Tahun 2015, dengan bimbingan dan galakan Cikgu Chung, saya dengan rakan saya yang mewakili SMK Lake akhirya telah berjaya mendapat Johan dalam Pertandingan Dapur Solar Peringkat Kebangsaan. Saya memang mengagumi bakat cikgu dalam memberi idea dalam pembinaan dapur solar dengan mengaplikasi pelbagai konsep sains. Dapur solar yang direka cipta oleh kami dengan bimbingan Cikgu Chung memang mendapat kepujian daripada pasukan lain. Cikgu Chung juga selalu meningati kami bahawa apa yang telah dipelajari, mesti diaplikasikan dalam kehidupan harian seperti pelbagai konsep sains yang telah dipelajari dalam buku teks telah diaplikasikan dalma pembinaan dapur solar. Semasa tingkatan 4, Cikgu Chung merupakan guru mata pelajaran Kimia saya, beliau bukan sahaja mahir dalam bidang inovasi, tetapi juga merupakan seorang guru yang menggunakan cara yang kreatif untuk mengajar mata pelajaran Kimia. Contohya, beliau menggunakan kaedah mnemonik yang sangat menarik supaya kami boleh menghafal “electrochemical series” dengan senang sekali. Beliau juga menggunakan kaedah yang lucu seperti PPAP (Pen Pineapple Apple Pen) supaya kami dapat mengingati tindak balas kimia. Selain mempunyai kreativiti dalam mengajar mata pelajaran Kimia, sudah pasti beliau juga seorang guru yang bertanggungjawab dan penuh dengan kesabaran. Dengan kejayaan dalam bidang sains dan inovasi, Cikgu Chung telah menubuhkan Kelab Inovasi dan Kajian Sains pada Tahun 2016. Saya dipilih sebagai pengerusi Kelab Inovasi. Cikgu Chung memang bercita-cita tinggi, beliau selalu berharap pada suatu hari nanti, beliau berpeluang membawa anak murid luar bandar ke peringkat yang lebih tinggi, sampai peringkat antarabangsa. Cita-cita Cikgu Chung memang bukan dalam mimpi, dengan bimbingan Cikgu Chung, produk inovasi ciptaan saya dan rakan saya berjaya dipilih masuk ke peringkat antarabangsa dalam International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) Tahun 2016. Kami juga berjaya mendapat satu pingat emas dan satu pingat perak. Pada Tahun 2017, saya dan rakan saya berjaya mendapat satu pingat emas dan satu pingat perak lagi dalam ITEX Tahun 2017. Usaha Cikgu Chung berlangkah lebih jauh lagi dengan mengiringi saya dan pasukan SMK Lake menyertai Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition (IPITEX) Tahun 2019 telah berjaya mendapat 2 pingat perak dan Genius Award dari Citizen Innovation, Singapore. Usaha Cikgu Chung dalam Kelab Inovasi dan Kajian Sains telah berjaya membimbing banyak anak murid luar bandar menglibatkan diri dalam pelbagai pertandingan inovasi di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Bilangan ahli dalam Kelab Inovasi dan Kajian Sains juga semakin bertambah. Ahli-ahli diberikan bimbingan seperti kemahiran menyelesaikan masalah, membina produk inovasi dengan mengaplikasikan konsep sains, pembentangan dan persembahan. Banyak kenangan manis saya dengan Cikgu Chung. Cikgu Chung pernah mengiringi saya dan rakan saya pergi ke Sibu, Sabah, Kedah, Kuala Lumpur dan Bangkok, Thailand dalam pelbagai pertandingan inovasi dan rekacipta dan pertandingan dapur solar. Dalam keempat-empat tahun ini, kami bersama-sama mengkaji, menulis skrip, sampailah bersama-sama buat produk inovasi pertandingan hingga tengah malam. Dalam keempat-empat tahun ini, kami bersama-sama mengalami dan menghadapi pelbagai tekanan dalam pertandingan, tapi juga bersama-sama menikmati kemenangan dan kejayaan. Dalam hatiku, cikgu memanglah sangat “wonderful”, Cikgu Chung bersama-sama muridnya, langkah demi langkah, mencapai kejayaan di peringkat daerah, bahagian, negeri, kebangsaan hingga ke antarabangsa. Pelbagai pengalaman dan kemahiran dipelajari dalam pelbagai pertandingan di bawah bimbingan Cikgu Chung seperti pelbagai pertandingan inovasi dan rekacipta, pertandingan dapur solar, pertandingan “Petrosains Science Show Competition” dan lain-lain. Beliau merupakan seorangan guru pengiring yang sangat baik. Hal ini demikian kerana beliau bukan sahaja rajin melatih saya dan rakan supaya persembahan kami menjadi lebih baik tetapi juga sentiasa menjaga kesihatan kami. Walaupun saya sudah tamat persekolahan di sekolah menengah, saya masih amat rindu akan Cikgu Chung. Saya amat berterima kasih kepada cikgu kerana tanpa cikgu, saya tidak akan menjadi seorang pelajar yang mempunyai bakat dalam pelbagai bidang dan mempunyai pengalaman yang bervariasi sepanjang persekolahan di sekolah menengah. Segala yang saya pelajari daripada cikgu Chung amat berguna kepada saya pada hari ini. Contohnya, saya mahir dalam pembentangan yang amat berguna dalam pembentangan tugasan di universiti. Dengan melibatkan diri dalam pelbagai pertandingan inovasi, saya dapat berfikir dengan kreatif semasa menyelesaikan sesuatu masalah. Pengalaman membuat persembahan semasa pertandingan Petrosains Science Show Competition pula melatih saya untuk menjadi sangat yakin semasa bercakap dan membuat persembahan di depan orang ramai. Cikgu memang merupakan seorang guru yang sangat baik dan saya rasa beliau mempunyai kelayakan yang tidak dinafikan untuk mendapat anugerah ini.Terima kasih,Cikgu Chung!

 

Baca Seterusnya