Ms Hajah Noraini Binti Ahmad's photo

Ms Hajah Noraini Binti Ahmad

Dari SM Sains Tuanku Jaafar

Dicalonkan oleh Muhammad Ariff Mursyidi Bin Noramali

Aku hampir tersungkur dek pemergian bondaku yang tercinta tatkala aku masih sedaya upaya beradaptasi dengan kehidupan di asrama. Peristiwa ini benar-benar meruntun jiwa dan aku sangat merindui bondaku. Pemergian bonda aku ratapi namun tidak pula ku zahirkan niat untuk berkabung. Saat ini aku sepatutnya sudah menetap di negeri Darul Iman yang sinonim sebagai destinasi pelancongan terkemuka. Namun apa yang tuhan rencanakan itu jauh lebih baik. Niat ayahandaku untuk membawaku berpindah ke negeri ini diterima dengan baik oleh pihak pengurusan sekolah. Pun begitu ada satu susuk tubuh yang tidak lekang memberikan motivasi dan inspirasi untuk aku kekal di bawah naungan langit Sains Tuanku Jaafar. Beliau merupakan seorang guru yang amat aku hormati dan kasihi. Walaupun usianya telah melebihi separuh abad, beliau kekal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik. Beliau menzahirkan perwatakannya sebagai seorang yang cekap, tegas dan amanah. Jika diselami isi hatinya dan disantuni tingkah lakunya sudah pasti akan menemukan seorang insan yang prihatin, penyayang dan pemurah. Pemikiran beliau yang kreatif dan inovatif memberikan nafas baharu kepada imej SM Sains Tuanku Jaafar (SMSTJ). Anugerah Hem Terbilang Negeri Sembilan pada tahun 2019 membuktikan kehebatan beliau dalam mencorak pengurusan sekolah terhadap murid (Gambar sokongan). Bukan itu sahaja, Anugerah Sistem Rumah Terbilang Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pada 2017 juga berjaya digenggam oleh beliau. Selain itu, beliau turut merangkul anugerah lain seperti Anugerah Pengurusan Dewan Makan Asrama Terbilang SBP dan Anugerah Emas dalam Anugerah Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) Terbilang SBP pada pada tahun 2018. Dek kerana ketelitian beliau dalam pengurusan, nama SMSTJ telah merih populariti dalam sektor pendidikan khususnya di SBP. Kehebatan beliau tidak terhenti setakat itu sahaja, kebijaksanaan beliau dalam mengendalikan kewangan sekolah memberikan impak positif kepada keselesaan pelajar. Kemudahan seperti televisyen, punching bag dan spotlight di gelanggang bola keranjang dan futsal. Beliau telah merancang untuk mengecat semula asrama bagi meraih anugerah pengurusan asrama terbilang kerana usaha beliau sebelum ini telah terbukti keberkesanannya. Bagi meringankan beban kepada pekerja dewan makan, beliau dengan sukarela membantu pekerja-pekerja tersebut dalam proses penyediaan makanan. Pengurusan masa yang sistematik membolehkan beliau menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti. Pada kaca mata saya, beliau merupakan seorang yang amat setia kerana beliau kembali mencurahkan baktinya kepada tempat asal beliau pernah menuntut ilmu pada suatu ketika dahulu. Secara tidak langsung, beliau telah menjadi super-duper senior di Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar. Pada 22 Januari 2021. aku dibedah buat kali kelima bagi mengetahui lebih lanjut mengenai peenyakitku sejak tahun 2009. Pada awalnya, aku penghidap penyakit jantung berlubang dan mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak kecil lagi. Berita tentang pembedahanku telah sampai kepada beliau. Beliau dengan segera menghubungiku untuk mengetahui dengan lebih mendalam. Beliau umpama telah menggantikan tempat bondaku yang telah pergi pada tahun 2017. Aku berasal dari keluarga yang serba kekurangan. Kos perbelanjaan untuk prosedur ini telah ditampung serba sedikit oleh pihak sekolah dek kerana budi bicara beliau. Sifat empati dan simpati beliau ini telah meringankan beban yang ditanggung oleh ayahandaku yang bekerja sebagai seorang peniaga kecil. Aku menghela nafas lega atas bantuan tersebut. Hasil daripada pembedahan ini mendapati aku menghidap penyakit pulmonary hypertension yang tiada penawarnya. Nasihat daripada doktor yang tidak membenarkanku melakukan aktiviti lasak diterima oleh pihak sekolah. Beliau telah memaklumkan kepada semua guru mengenai status kesihatanku agar tiada perkara yang tidak diingini terhadapku. Motivasi yang tinggi sentiasa beliau berikan kepadaku bagi menaikkan semangat untuk terus berjaya dalam peperiksaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal dihadapi kelak seperti insan-insan yang lain. “Segala yang berlaku ada hikmahnya”. Kata-kata ini terpahat dalam lubuk hatiku. Kadangkala apabila aku berasa sedih akan aku sentiasa mengingati beliau yang merupakan orang yang sentiasa memberikan dorongan dan bantuan untuk sentiasa memajukan diriku. Tanpa beliau aku aku ibarat layang-layang yang terputus talinya. Aku berharap segala bentuk bantuan yang beliau hulurkan dapat menjadi insprasi kepada insan-insan lain untuk dijadikan sebagai modal relatif dalam pelbagai aspek. Apa yang aku ceritakan ini hanyalah setitis baktinya daripada lautan yang luas dan tidak bertepi. Hanya tuhan yang mampu membalas segala jasanya yang tidak terhitung dek jari-jemari.

Kembali