Ms Zatulakhtar binti Yakop's photo

Ms Zatulakhtar binti Yakop

Dari Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah

Dicalonkan oleh NASHRUL LUKMAN HAZIQ BIN ABD AZIZ

Guruku yang aku panggil Teacher Zatul adalah seorang guru yang sangat aku kagumi dan sayangi dari mula mengenali dan dari mula menjadi anak muridnya sehinggalah kini, walaupun setelah tamat pengajianku di Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah. Biarpun setelah lima tahun menamatkan zaman persekolahan, tidak pernah sekalipun aku melupakan Teacher Zatul dan Alhamdulillah kami masih berhubung sehingga kini. Aku berjanji pada diriku sendiri, bahawa selagi hayat dikandung badan, aku tidak akan pernah melupakan guru idolaku ini dan akan sentiasa mendoakan beliau di dalam setiap doaku. Pertama kali mengenali beliau pada tahun 2013, apabila beliau mengajarku untuk subjek ‘General English’, benar-benar membuatkan aku gerun dengan ketegasan beliau. Tambahan pula apabila beliau mengajar dan bercakap menggunakan ‘Bahasa Inggeris’ sepenuhnya yang membuatkan aku betul-betul tidak keruan untuk terus berada di dalam kelas beliau. Itu membuatkan aku semakin merasakan bahawa subjek ‘Bahasa Inggeris’ ini memang tidak menjadi minatku sejak dari dulu lagi. Bagaimanapun, dari hari membawa ke minggu, membawa ke bulan, aku tidak pasti, ‘magis’ apakah yang berlaku padaku dan rakan-rakan sehingga kami mulai minat dan ternanti-nanti kelas ‘Bahasa Inggeris’ bersama dengan Teacher Zatul. Apa yang pasti, Teacher Zatul membuatkan aku merasakan ‘Bahasa Inggeris’ adalah bahasa yang sangat ‘enjoy’ kerana beliau mengajar subjek itu dengan cara yang menyeronokkan dan menggembirakan kami semua. Masih aku ingat lagi ketika kami diminta menyanyi lagu kegemaran kami secara berkumpulan ketika beliau mengajar topik tentang ‘adjectives’. Kami seisi kelas memang sangat seronok menyanyi seolah-olah kami sedang bertanding dalam rancangan ‘Akademi Fantasia’ yang popular pada masa itu. Beliau meminta kami membuat persembahan nyanyian tersebut mengikut kreativiti kami. Di akhirnya, beliau menghadiahkan kami dengan ayam goreng ‘KFC’ bagi persembahan terbaik. Melalui aktiviti nyanyian tersebut, aku dan rakan-rakan mampu menterjemahkan lirik lagu tersebut dan kami juga dapat mengenalpasti ‘adjectives’ atau kata sifat yang ada dalam lirik tersebut. Melalui pembelajaran ‘Bahasa Inggeris’ bersama Teacher Zatul juga aku mulai tahu akan potensi diri yang tersembunyi selama ini. Sungguh tidak aku sangka bahawa aku boleh berlakon rupanya, dan Teacher Zatullah yang mencungkil bakatku menerusi ‘English Drama Competition’ yang beliau anjurkan setelah beliau memegang jawatan sebagai Ketua Unit Bahasa di Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah. Memegang watak sebagai ketua gangster yang sentiasa membuli pelajar-pelajar lemah di kolej, membuatkan aku mulai dikenali sebagai ‘Bob Gangster’ walaupun pada hakikatnya aku sejenis yang ‘dalam hati ada taman.’ Menerusi drama itu juga, kelas kami menjuarai ‘English Drama Competition’ pada tahun itu. Sukar untuk digambarkan betapa seronoknya kami pada waktu itu, dan aku tahu Teacher Zatul sangat berbangga dengan kami pada ketika itu. Setelah dua tahun Teacher Zatul mengajar aku bagi subjek ‘Bahasa Inggeris’, aku berjaya meneruskan pengajian ke peringkat diploma di kolej yang sama dan kali ini Teacher Zatul masih lagi mengajar aku tetapi bagi subjek yang berbeza pula iaitu ‘Profesionalisme Pekerjaan.’ Satu subjek baru bagi aku dan juga Teacher Zatul, tetapi Alhamdulillah subjek baru yang dilihat agak membosankan pada mulanya menjadi seronok dan menggembirakan ditangan Teacher Zatul. Bagi subjek ini, aku didedahkan kepada alam pekerjaan dengan penekanan kepada kemahiran menghadiri temuduga, kemahiran berkomunikasi dengan majikan dan juga tentang protokol, prosedur dan juga etika sosial. Aku dan rakan-rakan akhirnya sangat seronok dengan semua pengalaman yang kami lalui bersama dengan Teacer Zatul bagi subjek ini. Aku masih ingat apabila beliau memberikan kami tugasan untuk mengadakan ‘Minggu Keusahawanan’. Aku dan rakan-rakan sekelas memilih untuk mengadakan perkhidmatan mencuci kereta di kolej yang mana sambutan yang kami terima amatlah menggalakkan. Melalui projek ini, aku belajar bagaimana untuk menguruskan sesebuah perniagaan dan bagaimana mengira untung dan rugi sesebuah perniagaan. Sememangnya ini adalah satu pengalaman yang sukar dilupakan dan aku sememangnya perlu berterima kasih kepada Teacher Zatul untuk pengalaman ini. Selain menjadi guruku di kelas, aku menjadi semakin rapat dengan Teacher Zatul apabila aku menawarkan diri untuk menjadi ‘coop crew’ atau Ahli Jawatankuasa Kedai Koperasi di asrama. Ini kerana, beliau juga adalah seorang guru Koperasi yang sangat komited dan berdedikasi. Aku dapat melihat dan menyaksikan kehadiran beliau setiap malam di Kedai Koperasi Asrama. Beliau tidak kekok untuk turut sama memasak dan memeriahkan ‘Coop Kitchen’ dengan masakan daripada air tangan beliau. Aku takkan lupa dengan menu ‘Sizuka Balls’ ciptaan beliau yang bagi aku sangat unik dan sedap. Tidak pernah lagi aku jumpa menu seumpama itu setelah aku meninggalkan Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah yang tercinta. Terlalu banyak kenangan, pembelajaran dan pengalaman yang aku lalui sebagai ‘coop crew’ di bawah tunjuk ajar Teacher Zatul. Beliau pernah membawa kami melalui pengalaman sebenar berniaga di gerai apabila beliau membawa kami menyertai ‘Karnival Jualan’ sempena Majlis Konvokesyen, Pameran Industri Kecil dan Sederhana Negeri Pahang dan juga Karnival Kolej Vokasional Kebangsaan. Tidak aku lupa juga apabila buat pertama kalinya aku menjejakkan diri ke luar negeri, walaupun hanya ke Singapura melalui ‘Lawatan Koperasi’ yang dikendalikan oleh Teacher Zatul. Sememangnya ini adalah satu lagi pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi seorang pelajar seperti aku. Thank you, teacher. Setelah sekian lama mengenali Teacher Zatul, aku semakin ingin tahu tentang keistimewaan guruku ini. Daripada cerita dan berita yang aku tahu, Teacher Zatul memulakan karier beliau sebagai pendidik seawal usia 25 tahun dan beliau terus ditugaskan berkhidmat di Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah yang pada waktu itu dikenali sebagai Sekolah Menengah Teknik Sultan Ahmad Shah. Tugas penting pertama yang diberikan kepada beliau pada masa itu adalah menjadi guru kelas yang kesemua pelajarnya adalah lelaki. Beliau juga menjadi guru pengawas pada masa itu dan beliau telah berjaya membentuk imej ‘Badan Pengawas Sekolah’ pada masa itu sebagai satu badan yang proaktif, berwibawa dan disegani kerana semua pengawas sekolah pada masa itu adalah mereka yang sangat menonjol dalam semua aspek di sekolah. Aku juga mendapat tahu bahawa beliau juga merupakan pengurus pasukan dan jurulatih bagi ‘Pasukan Bahas Bahasa Inggeris’ di sekolah ini. Beliau memang bersungguh-sungguh sehingga sanggup bersengkang mata menyiapkan teks bahas demi menyediakan dan memastikan Pasukan Bahas Sekolah berjaya dalam pertandingan ‘Parliamentary Style Debate’ yang diadakan pada setiap tahun. Kemuncak kejayaan Pasukan Bahas Sekolah di bawah kendalian beliau adalah menduduki Tempat Ketiga dalam Pertandingan Bahas Ala Parlimen Bahasa Inggeris Peringkat Negeri Pahang pada tahun 2009. Kehebatan guruku yang seorang ini tidak terhenti setakat itu sahaja. Walaupun beliau bukan seorang yang aktif dalam sukan pada zaman persekolahannya setahu aku, tetapi itu bukanlah alasan bagi beliau untuk menolak tugas sebagai Pengurus Pasukan dan Jurulatih Pasukan Bola Jaring Kolej. Beliau sangat gigih menimba pengetahuan sebagai Jurulatih Bola Jaring dan hasilnya beliau berjaya menaikkan imej dan reputasi pasukan Bola Jaring Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah yang selama ini dikenali sebagai pasukan belasahan setiap kali menyertai pertandingan. Di bawah kendalian beliau, pasukan Bola Jaring Kolej mula digeruni oleh pasukan lawan dan kemuncak kejayaan beliau adalah apabila beliau berjaya membawa pasukan Bola Jaring memenangi tempat ketiga pada Pertandingan Bola Jaring Karnival Vokasional Teknik peringkat Negeri Pahang. Aku diberitahu bahawa setelah memegang jawatan sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Bola Jaring Kolej, hampir setiap minggu beliau membawa pasukan ini menyertai perlawanan persahabatan dengan pasukan Bola Jaring dewasa dan aku percaya ini membuatkan pemain Bola Jaring Kolej lebih matang, berani dan mahir. Begitulah hebatnya guruku. Jika mahu ditulis setiap keistimewaan beliau, sudah tentulah tidak akan habis. Ini kerana beliau bukan sahaja seorang guru yang hanya hebat di dalam kelas, tetapi beliau sendiri adalah seorang individu yang hebat. Beliau seringkali aku lihat menjadi pengacara majlis di acara-acara utama sama ada pada peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan. Sesungguhnya tidak dinafikan beliau memang mempunyai suara yang lunak dan sesuai sebagai pengacara majlis, sesuai pula dengan cita-cita asal beliau untuk menjadi seorang pembaca berita seperti yang pernah beliau ceritakan kepada aku dan rakan-rakanku. Ada satu cerita yang aku dengar tentang guruku ini yang sangat menyentuh hatiku adalah tentang bagaimana Teacher Zatul telah menyelamatkan seorang pelajar yang hampir hanyut dalam hidupnya dan hampir berhenti sekolah kerana masalah keluarga yang dihadapinya. Sebagai seorang guru kelas pada ketika itu, beliau telah mengusahakan agar nasib pelajar tersebut terbela dengan mencadangkan agar dia tinggal di asrama supaya kebajikan dan pelajarannya tidak terabai. Beliau telah membawa pelajar tersebut untuk tinggal di asrama di mana beliau menyediakan segala keperluan dan perbelanjaan pelajar tersebut sehinggalah pelajar tersebut dapat menduduki peperiksaan SPM sehingga selesai. Beliau juga telah mencipta sejarah tersendiri pada SPM tahun 2006 tersebut apabila buat julung-julung kalinya pelajar Sekolah Menengah Teknik Sultan Ahmad Shah mendapat 8A, di mana beliau adalah guru kelasnya dan merupakan tahun pertama di mana paling ramai pelajar mendapat A bagi subjek ‘Bahasa Inggeris’. Alhamdulillah kesemua pelajar beliau pada ketika itu, telah pun menjadi mereka yang berjaya pada masa kini. Setahu aku, ada di antara mereka yang telahpun menjadi peguam, jurutera, guru dan pengoperasi komputer. Begitulah istimewanya seorang guru yang bernama Zatulakhtar binti Yakop. Bagiku, beliaulah seorang guru yang luar biasa kerana beliau adalah “a push when I stop, a word when I am lonely, a guide when I am searching, a smile when I am sad and a song when I am glad.”

Kembali