Winners

Mrs Rosnah binti Abd Rahman

From SMK Teja Putra

Mrs Rosnah binti Abd Rahman's photo

Nominated by Muhammad Shahril Yuzaimie bin Mohd Nazri

‘’Sepasang kasut pengikat hati, demi sebuah langkah suci memburu impian’’ itulah yang terlahir dari hati nurani pelajar kerdil seperti saya. Kasut ini lambang kasih sayang seorang guru untuk kemenjadian anak muridnya. Terima kasih cikgu atas keperihatinan cikgu. Jujur saya katakan, insan inspirasi sanubari saya ini memang ibarat malaikat sentiasa ada kala hati saya gundah. Bak ibu, tidak pernah kedekut dari semua sudut. Menjadikan anak-anak di sekolah seperti anak-anaknya di rumah. Susahkan nak dapat guru seperti ini? Puan Rosnah Abd Rahman nama diberi. Beliau juga suka digelar ‘’Cikgu Seringgit’’ oleh semua pelajar sekolah saya. Kuasa seringgit beliau menyebabkan ramai yang bahagia dan gembira. Cikgu selalu kata ‘’ Seringgit tak pernah memiskinkan kita, sedekahlah hanya dengan seringgit’’ Ya, saya akui walaupun suara cikgu bak halilintar memecah bumi tatkala kuasa guru disiplinnya pada suis ‘’on’’ tapi semua orang sayang cikgu. Baik,tekun,Sporting,Penyayang dan peramah merupakan ciri cikgu inspirasi saya ni, garang tapi penyayang. Berhati mulia dan sangat baik. Saya tak pernah bermimpi untuk menyayangi seorang guru seperti menyayangi ibu. Kehadiran beliau di sekolah luar bandar dalam suasana felda mengubah 360’ suasana pengajaran beliau. Yelah dulu beliau datang dari Kota Metropolitan Kuala Lumpur. ‘’Memartabatkan Bahasa, Memanusiakan insan’’. Ungkapan yang secocok saya berikan kepada beliau kerana kredibiliti beliau dalam mengajar Bahasa Melayu memang tidak dapat dipertikaikan. Ketegasan beliau dalam memanusiakan kami sebagai guru disiplin. Saya berbangga dengan perubahan yang banyak dibuat oleh beliau terutamanya untuk diri saya. Dulu saya seringkali dikatakan lelaki lembut oleh kawan-kawan. Gelaran itu menyebabkan saya berasa kerdil dan rendah diri. Tapi kehadiran cikgu kiriman tuhan ini telah mentransformkan saya menjadi seorang yang baru lahir ke dunia. Beliau berjaya menjadikan saya hebat dalam Bahasa Melayu. Beliau berjaya meningkatkan keyakinan saya dalam berbicara. Mulut yang dahulu sentiasa berzip kemas untuk bertutur sudah tiada lagi. Nah, buktinya saya dahulu digelar lelaki lembut dan lemah telah menjadi ketua pengawas sekolah menerajui semua kawan-kawan di sekolah sebagai pemimpin, telah mewakili sekolah dalam pertandingan sajak dan Debat Bahasa Melayu peringkat daerah untuk 3 tahun berturut-turut. Semua itu datang dari suara halus Cikgu Seringgit yang telah menyuntik semangat baharu dalam diri saya. Jujur saya katakan saya berubah 100% kerana beliau. Keyakinan saya untuk berucap jelas terbukti apabila saya mewakili sekolah untuk menjadi speker Projek KEMELAM : Projek Mesra Alam dari Tandan Kosong Kelapa Sawit peringkat Kebangsaan mewakili negeri Terengganu di KLCC. Saya gunakan semua keyakinan dan semangat yang cikgu titipkan dalam diri saya. Di sekolah saya sering dibuli kawan-kawan, tetapi cikgu Rosnah seorang cikgu Disiplin, sentiasa memberikan semangat supaya saya kuat dan menjadi kental. Cikgu sentiasa bersama saya walaupun bukan pada waktu persekolahan. Jika saya mengulangkaji pelajaran di rumah dan tidak faham dengan sesuatu topik, saya akan merujuk cikgu walaupun atas talian. Ya, Guru bukanlah orang hebat,tetapi semua orang hebat disebabkan oleh guru. Melalui pengamatan saya, cikgu seringgit kesayangan saya ini antara cikgu paling ceria di sekolah. Tidak pernah berkira masa, wang ringgit dan tenaga. Sanggup melunaskan hasil kerja yang di amanahkan walaupun pada malam hari tatkala kekangan masa pada waktu siang. Sanggup meninggalkan anak dan suami demi kelangsungan tugas. Saya kagum dengan beliau. Saya saksi utama kegigihan beliau dalam menjadikan sekolah tempat yang selesa untuk belajar dan berkarya. Jangan tak tau, Cikgu Rosnah ni sangat kreatif orangnya. Setiap. Hasil kerja buatnya tidak pernah mengecewakan. Kegigihan dan ketekunan beliau telah menobatkan sekolah menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Daerah Dungun bagi Lorong Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) Terbaik tahun 2016. Seterusnya mewakili Dungun ke Peringkat Negeri Terengganu. Saya bangga dengan kegigihan beliau. Kesimpulanya, bagi saya guru sebegini amat luar biasa, menggunakan hanya sedikit kata nasihat untuk merubah saya yang dahulunya mempuyai sifat negatif kini telah berubah kepada yang lebih positif. Harapan saya hanyalah guru seperti Cikgu Rosnah akan terus wujud di dunia,mendapat ganjaran di akhirat, diberikan rezeki melimpah, nikmat kesihatan dan umur yang panjang. Kisah tentang cikgu mungkin tidak sehebat guru-guru luar biasa lain, tetapi saya tetap bangga kerana saya mempuyai guru hanya 1 dalam sejuta. Saya kini masih dalam proses mengejar cita-cita dan berada di langkah pertama iaitu SPM. Cikgu Seringgit, Saya berjanji pada cikgu, saya akan sentiasa membanggakan cikgu. Saya akan sentiasa ingat kata-kata cikgu ‘’ Biar kita bodoh, asalkan adab kita tinggi’’. Terima kasih atas segala perhatian dan pengorbanan cikgu selama bersama saya dari tingkatan 1 hingga 5. Tiada hadiah dan penghargaan yang mampu saya berikan. Hanya secebis doa dan harapan agar bingkisan inspirasi ini menjadi ingatan dari saya untuk cikgu. Bagi saya cikgu 100% selayaknya untuk menjadi yang teristimewa dan idola inspirasi semua guru di dunia. TERIMA KASIH CIKGU SERINGGIT. SAYA SAYANG CIKGU DUNIA DAN AKHIRAT.

Read More